Kalau di Susun Pasti Menarik

YANG MANA SATU HARUS DI DAHULUKAN?

Saban hari kita meneruskan perjalanan hidup kita, kita sering menemui pelbagai halangan dan dugaan hidup. Terlalu banyak masalah di hadapan kita, boleh kita ibaratkan terlalu banyak batu-batu sebagai penghalang hidup kita. Kita menjadi malas untuk mengalihkannya dan akhirnya yang rugi maka kitalah sendiri.

Apa yang perlu kita buat? Tiada pilihan lain kecuali berusahalah mengalihkannya dan kita susunlah semula batu-batu itu agar dapat selalu memperingati kita disetiap masa. Kalau kita dapat susun kehidupan kita dengan cermat dan teliti pasti kita akan berjaya dalam hidup dan orang lain dapat menghayati kejayaan kita.

Ini cuba dibuktikan oleh saudara Junaidi apabila beliau sanggup meluangkan masa setiap kali bercuti di Desa Rimba Resort. Meluangkan masa buat seketika menyusun batu-batu sungai menjadi ‘Arca Batu Sungai’, cuba mengambarkan bahawa; ‘kehidupkan kita perlu disusun agar menjadi indah dan berguna untuk semua termasuk alam semesta’.


Apapun kita kenalah kaji;
'yang mana satu harus di dahulukan'.

oleh:say

Biarlah Kita Ke Sana

MENCARI PENTAS BARU

Budaya kita harus di perkembangkan! Sama ada hasrat itu datang dari pihak kebudayaan peringkat kerajaan, swasta, persatuan NGO mahu pun pihak individu. Persoalannya, bagaimana? Inilah satu persoalan yang memang sukar kita mencari jawaban. Akhirnya semua pihak terutamanya persatuan NGO dan individu, mereka buatlah kerja-kerja ini ikut cara tersendiri…. Akhir kisah usaha mereka ini, entah berjaya entah tidaknya. Semua bermain atas bicara yang belum pasti.

Pihak kerajaan, mudah! Mereka buat ikut barget yang mereka ada dan mereka tak perlu berhutang untuk melaksanakan apa-apa promosi budaya. Yang utamanya sekarang, budaya Malaysia harus diadakan untuk kita pertontonkan pada pelancung bahawa kita ada budaya…. Promosinya, ‘Selamat Datang ke Malaysia…..Kaya dengan Budaya’, Tetapi apa yang mereka tak akan beritahu ialah : ‘Datang hanya pada waktu show sahaja dan jangan datang pada waktu lainnya’. Sebab! Selain waktu dan tempat show di adakan, budaya itu sukar untuk kita cari. Malah tempat latihan budaya pun tak tahu kita di mana tempatnya. Seolah budaya kita tak ujud lansung, khususnya budaya Melayu….

Pihak swasta, ambil mudah! Itu bukan agenda kerja mereka tetapi mereka punya banyak wang……Boleh! Mereka boleh bantu mempromosikan budaya kalau ada keuntungan kepada mereka. Keuntungan dari segi memperindahkan nama organisasi mereka…..Itu tak punya masalah! Masalahnya, pintu pejabat mereka terlalu ketat untuk dibuka oleh orang biasa, mungkin pintu mereka itu adalah jenis pintu besi seperti di bank-bank. Nak diketuk, tak bunyi. Nak dipicit loceng, tak ada pula. Pasti yang ada ialah loceng penggera untuk halau penyamun atau orang-orang yang tidak dikenali. Dan, orang-orang budayalah antara orang-orang yang tidak dikenali…..

Lantas bagaimana ni? Mungkin pihak kebudayaan kerajaan mahu usaha untuk menghimpun sebanyak mana ada para pengiat budaya. Itu sudah! Sudah beberapa kali perhimpunan dibuat untuk membicarakan kegiatan budaya (seperti Kerajaan Negeri Selangor sahaja, sudah dua tiga pertemuan, hasilnya sana kondem sini, sini kondem sana… semua ini pasal wang tak cukup untuk adakan kegiatan seni dan budaya). Yang belum? Pihak kerajaan menghimpunkan pihak swasta yang mahu bersama membantu memperkayakan budaya kita. Apa kemungkinannya? Mungkin satu program tajaan kebudayaan pada persatuan, kelab atau individu tertentu. Macam bola sepak tu! Pasti usaha seperti ini, tiada siapa yang rugi. Kalau ada rugi pun ialah kerana kita tak mahu usaha. Itu saja!

Pihak persatuan NGO, cubalah sendiri-sendiri! Rancang dan buatlah sebaik mungkin…. Kalau tak ada duit, cuba mintalah di mana-mana. Kalau tak dapat? Pakai duit persatuan yang tak seberapa itu. Kalau tak cukup juga? Terpaksalah minta sumbangan ahli-ahli.

Inilah kelaziman yang berlaku dalam sesebuah persatuan…akhirnya yang ramai-ramai cuba memperkayakan kegiatan budaya itu akan jadi letih dan duit habis….Lalu, mereka akan berlalu dari usaha itu, pergi entah kemana. Sebab terkadang mereka rasa penat dan rugi…

Apa pun pada situasi ini, ramai yang tidak sedar bahawa usaha-usaha dari individu kerdil memperkembangkan budaya kita sebenarnya menguntungkan banyak pihak terutamanya Negara…. Pelancung percaya, mereka mahu benar datang kesini. Pelabur yakin keharmonian hidup kita dengan berbudaya, pihak swasta boleh terus maju berniaga… Maka yang penting anak-anak Malaysia tahu hidup berbudaya dan mungkin satu hari nanti anak-anak kita boleh hidup dengan memperkembangkan seni dan budaya, warisan Negara.

Akhir kalam, pada penutup bicara ini: Syabas! kita ucapkan kepada golongan anak-anak muda dari sebuah persatuan seni silat Melayu asli yang telah mempromosikan budaya kita di sebuah komplek membeli belah di Shah Alam pada 5hb Ogos 2007.
Usaha mereka membawa budaya di tempat orang ramai mendapat perhatian… yang penting orang-orang kita diperingatkan bahawa budaya sendiri masih lagi wujud dan boleh dipelajari jika kita masih mahu meneruskan budaya kita…

Bak kata seorang yang arif :
‘Sains dan teknologi
boleh dipelajari di mana-mana.
Budaya Melayu tetap hak kita’.


oleh:say

Pilihan Yang Rumit

MENCARI JALAN YANG TERBUNTU (1)

Tak seorang pun anak Melayu yang menolak bahawa dia Melayu, kecuali dia sendiri sudah lupa asal usul nenek moyangnya…. Tapi yang jelas anak Melayu hari ini terlupa bahawa Melayu itu ada budaya dan peradabannya. Bukan semua!

Anak Melayu masih berbahasa Melayu dan terkadang lebih banyak tercampur bahasa penjajah…itu anak melayu kota. Di kampung, anak Melayu masih kuat berbahasa ibunda dan tak mampu langsung sesetengahnya berbahasa dunia. Ini yang rumit! Mana satu anak Melayu yang sejati?

Anak desa menolak seratus peratus bahasa penjajah di agungkan, anak Melayu kota ada juga memperjuangkan yang sama, but most of the time they speaks English among themselves…. 'Bahasa Melayu tak cukup suku', kata mereka (maksudnya bahasa Melayu tak cukup perkataan untuk memantapkan keterangan), lalu, mereka berfikirlah dalam bahasa penjajah…..

Macam mana ni?… kita perlu anak Melayu yang mampu berbahasa dunia agar dapat gegar dunia, bukan anak Melayu yang berjiwa penjajah yang akhirnya tumpang jajah anak bangsa sendiri….

Kata aku di dalam jiwa;
‘sekadar merenung di saat-saat menanti kedatangan hari ulangtahun kemerdekaan yang terpilih’

oleh:say

Jalur Gemilang Terpalit Perang

MENCARI JALAN YANG TERBUNTU (2)

Memang betul kita anak Melayu punya budaya tersendiri… ramai yang sokong itu, tetapi lebih ramai lagi yang lupa mengamalkannya…. Malah teramailah di antara kita yang malu kalau mengamal dan mengembangkan budaya sendiri…

Pening! Memang pening, tetapi pening ini bukan pening untuk satu dua orang sahaja… ia adalah pening untuk semua anak Melayu yang yakin bahawa kita ada budaya sendiri.

Sekarang, kita tanya;

Mana budaya yang kita kata kita ada?
Mana satu budaya yang ada pada kita?

Lihatlah diri kita sendiri dan mula ceritakanlah pada dunia! Takut-takut yang ada hanyalah nama sahaja, itu pun pinjam-pinjam dari nama orang-orang Arab!

Cakap pun dah campur-campur, malah adap bertutur pun dah tah mana halanya, tak percaya rujuk pengacara-pengacara program Melayu di radio dan TV.

Kalau nak kata masih ada rupa melayu….kadang-kadang kita jadi keliru, mukanya ada…..kerana warna kulit…tapi lihat pada rambut dah jadi macam rona (warna) bulu kucing Parsi….Pasai apa macam tu? Pasai itu kala (color dalam bahasa Inggeris) rambut orang putih…. Adakah ini Fesyen atau pesen? (pesen itu bahasa arwah Tok Minah 'bret' aku bermaksud perangai).

Apa pun, aku sendiri pun sedang pening…
Yang mampu aku katakan dari dalam jiwa;
‘sekadar merenung di saat-saat menanti kedatangan hari ulangtahun kemerdekaan yang terpilih’


oleh:say

Macam mana aku nak pilih?

MENCARI SEBUAH HASIL SENI

Memang banyaklah soalan yang perlu dijawab sekiranya hendak kita memberi jelas pada seseorang yang ingin memahami sebuah hasil seni kerana berminat untuk membelinya. Itulah persoalan yang ditujukan kepada aku melalui email dari seorang sahabat yang mula berminat untuk membeli karya-karya seni hasil pelukis tempatan. Soalannya ‘ Macam mana aku nak pilih' , ingin memastikan pembelian itu adalah yang terbaik mengukur dengan jumlah yang ada di dalam saku poket… Jenuhlah aku ingin menjawabnya, tak mampu aku balas email itu dengan hujah-hujah panjang lebar dari kuliah-kuliah semasa aku menuntut dari USM dari guru-guru aku seperti Ismail Hashim, Allahyarham Piyadasa dan Zakaria Ali

Ini soalan dari seseorang yang ingin berjinak dengan karya seni. Satu kebanggaan kerana seorang professional sudah mula berminat dengan karya seni…. Apa pun aku harus menjawab juga agar sahabat ku ini dapat membuat keputusan dalam minat yang baru ini.

Yang mampu aku menulis balas dalam email kepada dia hanya sekadar ;
‘…yang mudahnya, belilah karya seni yang mana kamu sendiri berkenan, itu yang penting… nasihat aku, memilih karya seni ini sepertilah kita memilih bini…. Kita berkenan, mungkin baik bagi kita tetapi pada orang lain ia tidak baik dan tidak berkenan.

Kalau karya seni yang kita miliki mula di berkenan oleh orang lain, kita bolehlah menjualnya dengan harga yang lebih tinggi, tapi kalau bini kita orang mula berkenan….maka itu pertanda kita ada masalah besar dan dah pasti kita tak boleh jual bini kita tu…jadi… lebih baiklah kita collect karya seni dan jangan collect bini’.


Itu saja.....


oleh:say

Ke Mana Akan Pergi Anak Bangsa Kita?

MENCARI JALAN KE HADAPAN

Tanya soalan itu pada diri, pasti kita sama-sama akan merenung jauh meraba-raba dalam fikiran kita…. Entahlah! Itu jawaban yang pertama akan bermain-main dalam kotak kepala kita.

Kita bukan tak sedar, malah ternampak dengan mata kepala kita sendiri setiap hari akan anak-anak bangsa kita telah dipengaruhi dek pelbagai gaya dan cara kehidupan….yang teramainya telah semakin hanyut, hidup tanpa kenal akan budaya kita sendiri, kalau berbudaya pun, hidup tanda adap….

Apapun soalan sebegitu memang sukar hendak mencari jawaban tanpa ada usaha yang jelas dan usaha tanpa henti-henti….. mujurlah ada juga segelitir pengusaha untuk bangsa gigih menabur bakti tanpa dipaksa, tanpa mengejar wang dan pingat, berbakti kepada anak bangsa sendiri.

Usaha seperti ini telah dibawa oleh seorang pegawai bank; Sdr Dal.. dan seorang peguam; Sdr Ad.. pada 28hb Julai 2007 yang lalu ketika memberi ceramah dalam program motivasi di SMK Meru..

Bagi aku, hanya sekadar dapat mengajak…

‘Marilah kita sama-sama membina bangsa kita tanpa tau erti menyerah kalah… kalau kita kalah, maka hilanglah bangsa di tanah tumpah darah kita sendiri’

oleh:say

Jalan Ke2 ke Gunung Bubu

MENCARI JALAN LAIN KE PUNCAK

Hidup ini memang penuh dengan pancaroba, 9 hingga 5 setiap hari mengejar dan dikejar, semua ini untuk terus hidup. Setiap hari kita terpaksa menempuh pelbagai ujian dan halangan, untuk memenuhi pemintaan kehidupan demi mencapai kejayaan, mahupun terkadang terasa seperti tiada pilihan.

Tetapi, sesekali keluar dari sistem tersebut dan memilih cabaran tersendiri dalam bercuti adalah satu kepuasan bagi mengimbangkan hidup kita yang tercipta seakan tiada pilihan atau tiada jalan lain untuk sampai ke puncak kehidupan.

Pilihan ini telah dibuat oleh beberapa anak muda penghuni kota besar dari Lembah Klang, berhasrat bercuti, menguji kekuatan mental dan fisikal, ingin cuba mendaki Gunung Bubu dalam masa sesingkat 3 hari, kerana itulah sahaja masa yang mereka ada di waktu cuti. Itu pun ada yang terpaksa ambil cuti kerana bekerja kilang dan sebagainya.

Selalunya, para pendaki Gunung Bubu akan ke puncak melalui jalan dari Ulu Kenas, akan tetapi pasukan ini akan mendaki dengan mencari jalan lain ke Gunung Bubu dari Padang Rengas. Pasti pilihan ini adalah pilihan yang sungguh berani lagi mencabar.

Mereka berjaya juga akhirnya walaupun hanya 2 orang dari 10 orang yang melaksanakan misi ‘mencari jalan lain ke Bubu’. Tahniah kepada saudara Adi dan Salman dan pada yang lain turut disyabaskan juga kerana sanggup menanti di pertengahan Gunung Bubu, bermalam di situ menanti 2 orang sahabat mereka meneruskan misi naik ke puncak.

Pada mereka semua, inilah pengalaman yang cukup mencabar kerana dengan hanya berbekalkan peta topo fotokopi hitam-putih sumbangan dari pejabat renjer Kuala Kangsar, mereka terpaksa membelah hutan tebal, meredah beberapa anak-anak sungai bukit dan yang paling geram lagi ialah terpaksa bertarung dengan ribuan pacat yang telah menyerang mereka dalam setiap detik.

Apa pun, mereka tetap puas kerana kejayaan melepasi pelbagai halangan dalam cabaran ini telah terupaya…

Kata mereka;
‘tempat kita memang indah,
kalau sesekali kita dapat melihatnya dari puncak’



oleh:say

Makan Buah, Makan Ayam & Makan Angin

MENCARI ERTI HIDUP BERKONGSI

Memang seronok, kalau penat-penat bekerja melunaskan kehendak dunia, sesekali kita mencuri (secara halal) ruang waktu keluar makan angin terutamanya bersama keluarga kita yang tersayang.

Bergitulah terhasratnya cita-cita beberapa orang ahli perkongsian niaga persyarikatan WIRAWANGSA, telah memilih untuk bercuti makan angin dengan membawa keluarga bersama di Desa Rimba Resort. Moga-moga eratan persaudara dalam perkongsian niaga dan antara keluarga-keluarga terikat kuat dan kekal selamanya terjalin ibarat air sungai yang mengalir di dusun tempat pilihan mereka ini. Bak kata orang tua-tua, ‘Air mengalir, dicincang tak kan putus’, Kalau tak percaya datanglah ke sini dan lihatlah kebenaran kata-kata pujangga tersebut.

Hari bercuti hanya sabtu dan ahad, tetapi mereka dapat penuhi setiap saat dan ketika dengan melapangkan diri menguasai keindahan alam dan hidup bagai orang yang bebas dari masalah kota. Apa tidaknya, aktiviti setiap masa hanyalah makan-makan, mandi-mandi dan setelah penat, tidur-tidur.

Memang seronok, sedap lagi syok di sini, makan buah-buah tempatan yang terhasil dari dusun, tanah milik orang kita, seperti; durian, manggis, rambutan dan cempedak, diselang dengan makan ayam panggang dan kemudian terjun ke dalam sungai, mandi sepuas-puasnya, air di sini sungguh sejuk dan percuma sahaja…….


Akhir kata;

‘Nikmatilah sepuas-puasnya, ini semua kami usahakan untuk kamu wahai anak cucu, agar kamu dapat berkongsi hidup dengan penuh bermakna dan bersatu hati’.


oleh:say

Resort Bersebelahan Sawah

MENCARI DAMAI DI TEPI BENDANG

Kalau kita berada di negeri Kedah, khususnya berhampiran Titi Gajah atau pun Jitra sana, singgahlah sebentar di Bohor. Di sana tersembunyi satu lokasi di mana damai dapat kita temui.

Terdapat beberapa chalet-chalet yang nenarik terletak di tepi sungai dan bendang hasil usaha orang kita yang memperkenalkan dirinya sebagai Bang Lah sahaja. Beliau usahakan tempat ini sedikit demi sedikit, bertahun-tahun lamanya dengan unsur-unsur Melayu dan Bali menjadi panduan dalam mengindahkan rumah dan kawasan tempat peranginan ini.

Kata Bang Lah, tempat ini tidak lama lagi akan tersedia pada sesiapa yang ingin bercuti dan mengadakan program sambil merasakan bagai pesawah kerana lokasi disini benar-benar ditepi bendang. Moga-moga apabila melihat bendang, tersentuhlah di hati bahawa anak bumi ini bekerja kuat untuk menghasilkan makanan untuk kita selain untuk sara hidup mereka sendiri.

‘selalulah makan nasi, kurang-kuranglah makan burger’

Setibanya kita di sana, terlihatlah wajah Bang Lah yang riang dan pasti menjemput kita dengan ayat;

‘mai-mai, mai-mai’.


Oleh:say

Potret Shaimy Aku Bawa Pulang

BERTEMU KAWAN LAMA

Perjalanan aku kali ini, tanggal 13hb Julai 2007 dari Shah Alam ke Kelantan, Kedah dan Perak, tersinggah aku sebentar di pekan Kuantan. Apa yang menjadi kenangan bagi aku di sini ialah aku pernah pertama kali datang ke sini kira-kira 26 tahun yang lalu. Aku datang kerana menerima hadiah pertandingan mencipta logo Majlis Perbandaran Kuantan. Itulah pertama kali aku masuk pertandingan seperti ini atas saranan pensyarah kami Ismail Hashim (aku panggil dia, boss).

Aku menang tempat pertama, dapatlah hadiah sebanyak seribu ringgit, bukan aku saja yang bangga malah Ismail Hashim turut berasa girang, seluruh pelajar seni kreatif USM turut seronok, bukan kejayaan aku seorang tetapi kejayaan Pusat Seni ketika itu dan bagi aku juga adalah kejayaan kami semua. ‘Terima kasih pada boss yang kerap kali meramas fikiran kami sehingga terperah idea-idea unggul’.

Lain cerita kali ini aku singgah di Kuantan, aku mencari kenalan lama semasa di USM sebagai pelajar seni kreatif. ‘mana aku nak cari ni?’. Aku ke pondok penerangan pelancongan untuk bertanya-tanya, Pegawai di situ telefon sana telefon sini, akhirnya dapat juga menghubungi kenalan itu. Bukanlah susah sangat nak cari saudara Mohd Shaimy bin Hashim, pengerusi SENIKA, orang terkenal di Pahang dalam bidang seni lukis.

Kami berdua berborak panjang, menyentuh kisah-kisah lama semasa di USM, sdr Riz yang menemani aku terlentok di kerusi dalam studio SENIKA. Tiba tengah hari kami bertiga pi perkena nasi kandar penang di bandar Kuantan. Bukan apa-apa, hanya mengingati nostalgia lama, hidup dan makan nasi kandar semasa di Tanjung dahulu.

Sebuah lukisan Potret diri saudara ku itu aku bawa pulang sebagai kenangan, tercantumlah kembali satu persaudaraan yang telah 26 tahun terputus....

‘sama-sama akan kita perjuangankan seni dan budaya
anak-anak bumi Tanah Air kita’
oleh:say

Raja Shahriman Berkarya dengan Jiwa

MENCARI DAN BERTEMU RAJA SHAHRIMAN

Setiap kali aku singgah di pekan Kuala Kangsar, aku akan pergi menjengguk pada sebuah kedai menjual jamu yang terletak di komplek karyaneka di tebing sungai Perak itu. Kedai yang yang bagi aku cukup unik ini, juga menjual beberapa bilah senjata lama dan perkakas antik milik orang-orang Melayu. Apa yang lebih menarik sekali, kedai itu terpamer sebuah arca yang aku tahu hasil ciptaan oleh Raja Shahriman.

Sudah beberapa kali aku ke kedai itu, dan aku akan pasti bertanya sama ada arca tersebut juga untuk dijual. Jawapannya, ‘Tidak’, kalau untuk dijual pun, aku pasti tidak mampu membelinya kerana aku tahu karya-karya Raja Shahriman bukan mampu dek orang seperti aku.

Karya itu memang menembus jiwa aku, berdiri sebuah arca terhunus bilah-bilah keris dengan tulisan wafak padanya, seolah karya seorang hulubalang Melayu ingin mengamik sesuatu (sayangnya aku terlupa mengambil gambar). Akhirnya aku bertanya juga, bagaimana aku bisa menemui penghasil karya tersebut, agar aku dapat berkenalan dengan lebih rapat.

Aku lekas-lekas ke Bukit Chandan setelah mendapat maklumat bahawa dia berkampung dan berkarya di sana. Sebuah rumah papan hitam terletak di atas gon dan Raja Shahriman sedang bersembang dengan seorang kawan di hadapan bengkel arcanya setibanya aku.

Salam pengenalan, tapi diluar dugaan. Aku ingatkan orangnya mirip hulubalang Melayu, gah dan bertubuh besar seperti kasanya arca-arca beliau. Yang pasti orangnya benar Melayu jati, bersopan dan rendah diri dalam bicara ketika mengambarkan sesuatu.
.
Banyak sungguh kami bersembang hal-hal karya, seniman, malah tersentuh kami hal-hal hulubalang Melayu serta para Ulama dalam mempertahankan hak dan budaya bangsa. Maka terbitlah nama tokoh seperti Sheikh Arsyad Al-Banjari, Sheikh Samad Palembang sehingga jauh ke 1000 tahun lalu dengan kisah-kisah Sheikh Abdullah Al-Madani.

Melihat pada karya-karya Raja Shahriman, pastilah kita dapat melihat ada jiwa dalam setiap arcanya, sekiranya kita kenal dengan lebih dekat diri beliau….

’semoga kita bertemu lagi’

oleh:say

Jauh Berjalan Luas Pandangan Banyak Pengelaman

MENCARI KEBENARAN KATA ORANG TUA-TUA

Kata orang tua-tuan memang susah kita nak sangkal, mungkin kata-kata orang tua-tua itu datangnya dari orang-orang yang bijaksana, (bukan dari orang-orang yang terpacak ditengah bendang buat mengerunkan sitikus dan siburung).

Banyak pepatah, bidalan dan kata-kata hikmat terkeluar dari mulut mereka, demi membimbing dan membentuk anak-anak bangsa agar menjadi bangsa yang terhormat. Anak Bangsa yang penuh dengan susila, punya santun dan berbudaya. Manis di mulut bila berbicara, masih lagi di hati bila berkata-kala. Hidup mengekal adat dalam apa suasana dan tidak takut pada kemodenan yang datang menerpa. Apa pun usaha mereka-mereka yang terdahulu dari kita telah pun berjaya mengekalkan apa yang perlu agar kita bergelar bangsa Melayu. Tinggal yang gagal adalah kita di masa kini semata-mata untuk meneruskan budaya mereka.

Mana ada lagikah ciptaan terbaru karya kata bidalan ini? kalau ada pun di petik dari lirik-lirik lagu yang kerap di mainkan di radio-radio. Itu pun kita terdengar sambil-sambil memandu kereta menuju kesesuatu tempat mengejar atau terkejar kehidupan yang penuh dengan terpaksa.

Pernah sekali aku bersembang dengan seorang tua yang sedang duduk diberanda rumahnya melihat ke arah jalan raya, pembahagi antara kampung dan sawah bendang. Pak Mail namanya, usia kira-kira 70 tahun, seorang pesawah dan mahir dalam ilmu persilatan Melayu kita. Semasa lamun melihat kenderaan berpusu-pusu melintas di hadapan mata di kala waktu tengahari, terkeluarlah kata-kata, 'kalau aku kaya dan punya wang berjuta-juta, akan aku sedekahkan pada orang-orang susah..', tanya aku terus, 'masih ramaikan orang susah di kampung kita ni?'. Selamba sahaja Pak Mail menjawab,'kau lihat di sana, berapa ramai orang-orang susah.....", 'mana?' tanya aku... , lalu Pak Mail menjawab.'tengok tu, mereka pagi-pagi telah keluar rumah, nak pergi kerja, nak hantar anak-anak dulu ke sekolah, hantar bini pulak, baru pi kerja, kalau sempat makan pagi depa makan, kalau tak pukul 10 lah depa makan dengan kawan-kawan. Lepas tu tengahari terkejan pula balik rumah ambik anak pasai nak pi hantaq pi kelas mengaji. Lepas tu lari pulak ke tempat kerja. Petang lagi sekali terkejan sana, terkejan sini. Macam tu lah hari-hari'. Itulah yang terkeluar dari mulut Pak Mail dengan penuh kehairanan. 'Inilah dunia sekarang Pak Mail'. kata aku dan sambung Pak Mail ' sebab tu lah depa tak ada masa nak tengok dunia....'

Kata-kata dari orang yang memikirkan tentang orang sebegitulah yang membuat aku kadang-kadang ingin berjalan-jalan melihat dunia dan kehidupan..... agar aku sedar erti kehidupan, khususnya, perlu apa aku ini meneruskan kehidupan dan ke arah manakah aku tuju seterusnya...

Dan, dalam perjalanan aku ini aku terkejut juga kerana sedar bahawa bukan manusia sahaja mencari luas pandangan malah haiwan, sigajah pun berjalan-jalan bersiar-siar berkenderaan, mungkin melihat akan tamadun manusia, atau mungkin dihantar pulang setelah sesat dihutan batu ciptaan manusia...


'sedangkan gajah pergi berjalan, kenapa manusia tidak punya masa?'

oleh:say

Desa Rimba menyorok Keindahan Alam

MENCARI TEMPAT YANG NYAMAN

Bukanlah mudah untuk kita mencari sesuatu tempat yang memeliki keindahan alam yang jauh dari pencemaran orang-orang kota..Begitulah payah juga CHIP serta rakan-rakan berusaha mencari tempat sebegitu walaupun makan masa bertahun-tahun, tetapi syabas kerana mereka telah berjaya menemuinya (setelah ditunjukkan oleh arwah Asrul Amir) malah mereka telah memiliki tempat tersebut.

Sebuah tanah yang nyaman dikelilingi kabus di waktu awal pagi, tersorok di atas bukit, berhampiran dengan gunung Bubu, terletak kira-kira 5 km dari pekan Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak. Sebuah dusun yang mempunyai sebatang sungai air bukit mengalih di tengahnya pasti mengoda setiap insan untuk terjun bermandi-manda, mahu saja melupakan dunia buat seketika.

Begitulah indahnya tempat ini, sehingga terbutir kata-kata manis dari bibir bahawa; ‘ku rasa nyaman & menawan’ pada saat pertama berada di sini dan lantas CHIP namakan tempat ini ‘DESA RIMBA RESORT’.

Walaubagaimanapun, tempat ini masih dalam usaha oleh CHIP serta rakan-rakan untuk dijadikan tempat percutian bagi sesiapa sahaja yang ingin berkongsi keindahan alam. Namun pun begitu, telah ramai yang datang ke situ untuk bermandi-manda, berkelah, bercuti,memancing anak-anak ikan, mengadakan program dan sebagainya….

: kata CHIP :

(penghulu DESA RIMBA, Kampung Sg Buaia)

'Tempat ini terbuka pada semua,
mailah, jangan segan-segan, ini tempat kita'.
...

'Hubungi saya kalau mahu tahu lagi mengenai tempat ini,
tel : 0192205850, saya sedia membantu’
.....
'pasti ada sesuatu yang indah
untuk kita di sini'

oleh:say