Mencari Wasiat Tok-Tok Guru

KU TEMUI WASIAT SHEIKH ABDULLAH FAHIM

Sekarang sudah ada timbul di Malaya mazhab Khawarij yakni mazhab yang keluar dari mazhab 4 mazhab Ahlis Sunnah wal Jama`ah. Maksud mereka itu hendak mengelirukan faham awam yang sebati dan hendak merobohkan pakatan bangsa Melayu yang jati. Dan menyalahkan kebanyakan bangsa Melayu.

Hukum-hukum mereka itu diambil daripada kitab Hadyur-Rasul yang mukhtasar daripada kitab Hadyul-'Ibad dikarang akan dia oleh Ibnul Qayyim al-Khariji, maka Ibnul Qayyim dan segala kitabnya ditolak oleh ulama Ahlis Sunnah wal Jama`ah.


Tuan - tuan bangsa Melayu jangan tertipu daya hasutan mereka itu dikeluar hukum - hukum yang tiada terpakai dalam Mazhab Syafie, dan fatwa mereka itu akan masalah yang buruk - buruk, sudah terdengar kepada awam, harapan bangsa Melayu jangan berpecah belah sesama bangsa sendiri.


Siapa yang datang kepada kamu dan menyuruh kamu semua supaya taat kepada seorang lelaki tertentu tujuannya untuk memecahkan persatuan kamu dan menghancurkan kesatuan kamu maka bunuhlah akan dia.


[dipetik sepenuhnya dari blog 'Takut Pada Azab Allah']

Masih Mencari Wasiat Bangsa Melayu

KU TEMUI WARKAH WASIAT ANAK BUGIS UNTUK ANAK MELAYU SEKELIAN

(Ku mohon petik untuk tatapan anak Melayu seluruhnya)


SEGALA puji bagi Allah dan selawat salam ke atas Nabi serta keluarganya sekalian. Ke hadrat umat Melayu di seluruh dunia. Wa ba’du, maka inilah warkah daripada Raja Haji yang fakir lagi hina di depan Allah taala. Demi malaikat yang menjadi saksi, demi pena yang melarikkan wacana dan demi lembaran yang menjadi wahana.

Ketahuilah olehmu wahai umat Melayu, peperangan ini bukanlah peperangan orang-orang Bugis. Tetapi ini adalah peperangan untuk mengembalikan maruah dan kehormatan sekalian diri orang-orang Melayu yang telah dipijak-pijak oleh penjajah Belanda laknatullah. Akan tetapi Belanda itu telah mencanangkan bahawa aku dan sekalian orang Bugis tidak berpuas hati dengan pengagihan hasil rampasan tembakau dari Kapal Betsy kepunyaan Perancis yang menceroboh Selat Melaka itu. Adapun kita adalah orang-orang Melayu yang beriman kepada Allah Taala juga menyakini bahawa peristiwa itu hanyalah asbab yang telah menyatukan orang-orang Melayu dari Teluk Ketapang, Selangor, Rembau dan dari Batang Tiga untuk menghambat Belanda keluar dari Punggor, Duyung, Pernu, Semabok, Ujung Pasir, Bunga Raya, Bandar Hilir, Bukit Cina, Tanjung Keling dan Tengkera sebelum kita berkubu di Teluk Ketapang. Orang Serani, Cina dan India turut bergabung dengan kita dalam peperangan ini. Kini Gabenor Belanda menjadi seperti tikus dikejar naga berkubu di Kota Melaka. Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja.

Yakni dengan kata lain, peperangan ini adalah untuk mengembalikan tanah, udara, air dan laut yang telah dirampas oleh penjajah kepada orang-orang Melayu yang sudah beratus tahun membina kehidupan, membina kota dan pelabuhan di tanah air ini. Jikalau terdapat satu pun kampung, daerah, kota dan pelabuhan yang terbakar dan ditawan oleh penjajah, maka seluruh orang Melayu di seluruh kampung, daerah, kota dan pelabuhan wajiblah bangun menentang dan menghalau mereka. Sesungguhnya orang-orang Melayu itu bersaudara dan kita tidak akan kalah dalam mana-mana peperangan pun, jika kita bersatu padu di jalan Allah.

Syahadan untuk kita bersatu di jalan Allah bukanlah suatu perkara yang mudah. Ia bagai mengepal pasir yang kering. Syaitan adalah musuh yang nyata sama ada yang terang-terang terlihat pada mata kasar mahupun yang berselindung di sebalik hati manusia. Terbukti kebenaran wahyu sejak kakiku berjejak di Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Bangka, Pontianak, Mempawah dan negeri-negeri Melayu yang lain.

Telah bersungguh-sungguh aku membantu meleraikan persengketaan yang berlaku sesama sendiri dan mematahkan muslihat penjajah laknatullah. Mana dapat dibuat damai, maka damailah yang kumeterai. Mana yang berkehendakkan peperangan, maka peperanganlah yang kupimpin kerana sudah dua ratus tahun lebih kita masih dijajah bahana berebutkan kuasa yang tidak habis-habisnya, saling berhasad dengki dan bersubahat dengan musuh. Yang ruginya rakyat jelata. Tanah diambil, hasil diperas dan tubuh diperhamba.

Maka pada hari ini, tanggal 19 Rejab 1198 Hijrah bersamaan dengan 17 Jun 1784, di Tanjung Palas Teluk Ketapang inilah warkah yang tertulis. Warkah ini kutulis di atas sejadah, mengadap kiblat dalam keadaan berwuduk setelah selesai solat dan doa panjang untuk sekalian umat Melayu. Al-Quran di sebelah kananku. Kitab Dalilul Khairat di sebelah kiriku. Badik pusaka di pinggangku.

Sungguhpun demikian, aku amat menyedari bahawa terdapat di kalangan armada perang Melayu yang aku satukan dan pimpin ini terdapat golongan Melayu yang menjadi musuh dalam selimut. Berwajah Melayu berhati Belanda. Usahlah ditanya bagaimana aku mengetahuinya kerana tahu di angin turun naiknya. Apabila Allah mengkehendaki terjadi sesuatu perkara, maka tiadalah siapapun yang dapat mengelakkannya.

Biarkan sahaja mereka menyelinap ke dalam kubu kami dan mengepung aku. Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah! Nah, wahai si munafik! Aku sesekali tidak pernah takut kepada kalian. Marilah kita berdepan sebagai seorang lelaki Melayu yang sejati! Engkau kendonglah panji perjuanganmu. Aku junjung panji perjuanganku! Nyawa kita di tangan Allah. Matiku di medan perang ini, tandanya sentiasalah aku hidup di sisi Allah Taala. Matimu di medan perang ini, tandanya celakalah engkau di akhirat kelak.

Seyogia, ketahuilah saudaraku. Walau apapun yang terjadi kepadaku janganlah dimungkirkan kafiat jalanku ini kerana ia akan hanya mengulangi kekhilafan malaikat apabila Allah menyatakan kehendak-Nya mahu menciptakan manusia untuk dijadikan khalifah di atas muka bumi yang akan ada di kalangan manusia saling menumpahkan darah.

Janganlah kita lupa pengakuan azali kita di depan Allah. Janganlah kita melupai ilmu yang Allah ajarkan secara langsung daripada sisi-Nya kepada kita. Kerana dengan itulah kita, manusia ini, dibangga-banggakan Allah di hadapan para malaikat-Nya, kata Allah ‘Sudah kunyatakan bahawa aku lebih mengetahui daripada apa yang kamu tahu.’

Allah Maha Besar!
Andai aku mati di medan perang ini akan berlanjutan fitnah demi fitnah yang tidak habis-habis, menghujani orang-orang Melayu di sepanjang sejarah akan datang. Manusia Melayu munafik, pengkhianat, pendengki dan petualang akan sentiasa muncul di kalangan kalian sebagai semut hitam yang melata di atas batu hitam pada waktu malam, tanpa bulan dan bintang.

Akan ada di kalangan kalian, Melayulah juga ia, yang akan menyambung lidah Belanda menuduh aku berjuang dan berperang kerana mabukkan harta dan kuasa. Sesungguhnya moyang poyangku para Opu Daeng Lima Bersaudara bukanlah mahu disanjung-sanjung dan dimegah-megah. Memadailah kukatakan apa yang kami inginkan ialah bangsa kita umat Melayu ini hidup bermaruah dan mempunyai kehormatan diri.

Maka Maha Adillah Allah Taala sebagaimana terdapat golongan yang munafik dan petualang bangsa, akan ada golongan di kalangan umat Melayu sesudah kami ini yang akan menyambung perjuangan kami. Mereka menyambut panji perjuangan kami dengan penuh harga diri. Dalam hati merekalah aku hidup dan menjadi cita-cita mereka pula mati kerana berjuang. Semangat mereka menyerupai kami, walaupun bilangan mereka tidaklah seramai golongan munafik dan petualang.

Mereka berani mati sehinggalah si petualang bangkit daripada sujud tatkala imam dan jemaah masih bersujud, lalu ditancamkan pisau di belakang antara mereka. Maka sesekali tidak mengundang gundah kerana apabila sudah datang janji Allah, maka syahidah dia. Jika yang ditikam itu masih terus hidup, maka dia akan menjadi saksi kepetualangan si munafik tersebut, lalu mudahlah dicam dan diberkas seketika itu juga. Maha Besar Allah Yang Awal dan Yang Akhir.

Ketahuilah wahai saudaraku. Bahawasanya umat Melayu tidak akan sesekali ghaib daripada muka bumi ini yang Allah telah takdirkan gunung, dataran, sungai, kuala, selat dan lautan untuknya. Semuanya akan diwariskan Allah kepada raja yang adil lagi saksama dan pembesar yang mukmin dan mukminat untuk memerintah. Maka Allah mengurniakan rahmat dan berkat daripada tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan semua penduduk bumi dan langit mendoakan kesejahteraan bagi segenap isi negeri.

Sesungguhnya akan tibalah pada hari dan zaman itu orang-orang Melayu semuanya akan bersatu dan sanggup mati di jalan Allah. Mereka bersedia berperang dengan musuh daripada belahan dunia mana sekalipun. Kota-kota mereka terbina daripada peradaban ilmu yang dihiasi dengan mutiara kebijaksanaan. Ulama dan cendikiawan diterima sebagai penasihat ulil amri. Para ahli sufi terbebas daripada fitnah ajaran sesat dan batil. Rakyatnya cukup makan dan untung berniaga, tanpa ada penindasan dan perampasan. Kaum-kaum lain mendapat naungan dan jaminan keadilan sehingga taat dan setia mereka tidak berbelah bahagi lagi. Zaman makmur itu akan tiba juga apabila hak-hak Allah dipenuhi. Hak-hak rakyat dilaksanakan. Peraturan-peraturan mereka ditimbang dengan syariat dan disukat dengan adat.

Syahadan, ketahuilah olehmu wahai saudaraku. Ingatlah bahawa ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait. Justeru tetapkanlah waspada sebagai pengawal di pintu gerbang zaman makmur. Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga. Runtuhnya zaman makmur kerajaan Melayu sebelum ini adalah kerana raja dan pembesarnya sudah ada biduk, tetapi serempu pula. Lalu timbullah perebutan, hasad, iri hati dan sengketa. Kalau rakyatnya pula suka menuntut piutang lapuk. Ditelan kemewahan dilambung mabuk. Ada juga yang menjadi seperti itik bertaji. Tandanya, keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya sahaja.

Musuh yang nyata disetiakawankan. Manakala sesama sendiri sanggup ‘berjuang’ hingga memancung leher. Kesudahan mereka adalah dengan suul khatimah kerana lekat pada ingatan mereka akan harta dan kuasa yang terlepas daripada tangan. Dipamerkan pula tempatnya di neraka jahanam, wa nauzubillah. Itulah jihad di jalan syaitan adanya. Benarlah, ujian-ujian daripada Allah turun bersama-sama zaman makmur.

Maka jika kita alpa dan lalai diri dengan melakukan kegiatan dan perbuatan yang dilarang Allah, maka tunggulah bala bencana daripada tujuh petala bumi dan tujuh petala langit bertali arus menimpa umat Melayu itu. Ya Allah menitis pula air mataku. Ketahuilah bahawa aku tidak pernah menitiskan air mata sebagai seorang lelaki Melayu berhati kecut. Tetapi air mataku ini mengalir apabila memikirkan anak cucu cicit yang terkemudian hari. Apalah pula ujian dan balanya; apalah pula sengketanya; apalah pula pengkhianatannya; apalah pula penyelewengannya dan apalah pula kesudahannya.

Segala ribut badai perasaanku menyatu bersama ingatan terhadap junjungan nabi kita ketika saat-saat sakaratulmaut menjelang, telah terucap di mulutnya yang mulia ‘umatku, umatku, umatku!’ Aduhai Nabi kekasih Allah! Ingatlah pada zaman manapun kalian berada sentiasalah berselawat ke atas nabi dan beramal dengan sunnah-sunnahnya kerana itulah penyelamat agung penyedar daripada alpa dan lalai, pengikis sifat munafik dan menghidupkan jiwa.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada awalnya
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad. pada akhirnya.
Ya Allah limpahkan selawat dan salam ke atas Muhammad pada setiap ketika.

Tatkala sampai di baris ini, aku sedang melihat berpuluh kapal perang armada Belanda pimpinan Peter van Braam dari Betawi itu, sudahpun tiba di pantai. Demi Allah, yang hidup dan matiku hanyalah di tangan-Nya, sedikitpun aku tidak berasa gentar, apatah lagi untuk berundur walau seinci pun ke belakang kerana kuyakini Allah sentiasalah ada bersamaku dengan panji janji-Nya dan panji kebenaran-Nya. Biarlah luka di dada jangan luka di belakang.

Rencana si munafik itu sampailah ke kemuncaknya apabila mereka dapat masuk menyelinap ke dalam kubuku, merampas pemurasku yang disandarkan ke dinding, maka ketika itu sampailah ilham daripada Allah kepadaku. Bahawa aku kini hanya ada sebilah badik tersisip di pinggang dan hijap yang terangkat antara aku dengan Tuhanku. Seraya langsung aku memanjatkan doa, “Ya Allah sesungguhnya aku telah dizalimi dan dikhianati. Aku bentangkan ke hadrat-Mu seluruh pengharapan-Mu dengan segala fakir dan hina diriku, Engkau jadikanlah warkahku ini terhijab daripada pandangan mata setiap munafik dan musuh-musuhku serta Engkau peliharakanlah warkahku ini hingga sampai ke hujung zaman agar dapat dibaca dan ditilik oleh anak cucu cicit kami pada kemudian hari.

“Ya Allah. Tidak sampai hati mahu kupinta celaka untuk segolongan Melayu yang bersubahat dengan penjajah itu. Ya Allah jadikanlah anak cucu cicit kami di kemudian hari berjuang dan berperang dengan lebih berani dan gagah di jalan-Mu. Ya Allah tempat aku juga di sisi kekasih-Mu, Rasulullah yang aku rindui dan cintai segenap hatiku sekiranya aku gugur di jalan-Mu Ya Allah. Sungguh Engkau Maha Mengabulkan doa.”

Tatkala itu munafik-munafik itu mahu menangkap aku yang masih bertimpuh di atas sejadah. Namun demikian dengan kuasa Allah Taala segala sendi pada tubuh mereka, terkunci kaku seperti patung adanya. Maka bingkaslah aku daripada duduk lalu aku pandang satu persatu wajah-wajah Melayu munafik itu. Benarlah, peluru perak pemecah kubu yang kuat. Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang. Tiada gunanya lagi kata-kata kerana perut tidak bertelinga. Sesudah itu berjalanlah aku menuju ke muka kubu dan tersergamlah kapal perang penjajah laknatullah itu pada pandanganku. Inilah Raja Haji yang kalian cari-cari. Syarak yang mengata, adat yang memaksa. Dengan badik di tangan kanan dan Dalilul Khairat di tangan kiri, lidahku berwiridkan selawat.

Bammm!!!

Bunyi bedilan sebuah meriam daripada salah sebuah kapal Belanda yang muncungnya dihala ke batang tubuhku, bergema ke udara. Ah! Sungguh beruntung pengkhianat itu kerana dapat menyaksikan lagi kuasa Allah apabila peluru lela rentaka meletup di dalam lubangnya sendiri, lalu terpelantinglah askar Belanda berselerak di atas kapal dan sebahagiannya pula jatuh ke dalam laut. Beranak pinaklah pula bunga-bunga api membakar kapal perang itu. Panglima Perang Belanda Peter van Braam nyatalah amatlah terkejut adanya. Bertambah maraklah lagi semangat jihad yang menjulang-julang dalam dada pejuang-pejuang Melayu. Bertambah amuklah mereka hingga berkecamuk barisan penembak pasukan askar Belanda itu.

Lantas bertafakurlah aku apabila melihat keadaan itu. Aku berserah sepenuhnya kepada Allah untuk menetapkan apa jua keputusan-Nya. Beberapa ketika kemudian dapatlah aku ilham daripada-Nya seraya aku bermohon, “Ya Allah aku berserah kepada-Mu seluruh jiwa dan ragaku. Aku rela syahid Ya Allah di jalan-Mu, daripada kehormatanku dan kehormatan umat Melayu ini dipijak-pijak oleh penjajah laknat ini setelah ditipudayakan oleh petualang daripada bangsa kami sendiri.” Arakian Panglima Perang Belanda itu sendiri segera menyalakan sumbu ubat bedil merim lela rentaka yang muncungnya dihalakan tepat ke dadaku.
Bammm!!!

Maka sampailah janji Allah. Mencurahlah darah daripada dadaku.
Jasadku rebah ke tanah. Tiada Tuhan Melainkan Allah. Maka terpinga-pingalah para munafik dan petualang apabila melihat askar penjajah memijak-mijak batang tubuhku, membakar al-Quran dan Dalilul Khairat. Badikku pula dilemparkan ke dalam laut. Pecahlah kapi, putuslah suai. Datanglah masyghulku, tetapi seketika itu juga difahamkan Allah kepadaku bahawa itulah tanda-tanda doaku yang telah dimakbulkan Allah.

GLOSARI:
• Ke hilir kena kutuk sultan, ke mudik kena kutuk raja = Orang yang serba salah kerana melanggar perjanjian.
• Bagai mengepal pasir yang kering = Kesukaran menyatukan perbezaan pandangan tahu di
angin turun naiknya, tahu tentang alamat tentang peristiwa yang bakal terjadi.
• Syak fasik, yakin salih; batulah yang jadi juadah = Yakin maksud tercapai.
• Ranting yang akan melenting, dahan yang akan mencucuk dan duri yang akan mengait = Halangan dan rintangan dalam sesuatu usaha.
• Bulan terang paksa baik: payang ke laut, baluk pun ke laut juga = Dalam zaman kemakmuran semua orang berlumba-lumba mencari keuntungan.
• Sudah ada biduk, tetapi serempu pula = Berebut kuasa.
• Menuntut piutang lapuk = Melakukan sesuatu yang sia-sia.
• Itik bertaji = Sangat penakut tetapi sombong.
• Keris tersisip di dinding, pedang tajam dalam sarungnya = Perbuatan yang pandir.
• Biarlah luka di dada jangan luka di belakang = Biar alah kerana melawan jangan alah kerana melarikan diri.
• Peluru perak pemecah kubu yang kuat = Kerana duit semuanya dibongkarkan
• Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang = Tipu muslihat yang tersembunyi demi mencari keuntungan diri.
• Perut tidak bertelinga = Nasihat yang tidak akan diturutkan
• Syarak yang mengata, adat yang memaksa = Syarak dan adat tidak dapat dipisahkan
• Pecahlah kapi, putuslah suai = Sesuatu yang tidak dapat dibaiki lagi (sejarah) dan menanggung malu teramat sangat.

Mencari Wasiat Untuk Bangsa Melayu

KU TEMUI 7 WASIAT RAJA MELAYU

Wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan

tandatangan persetujuan pembentukan

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu

pada 5 Ogos 1957 itu ialah:


1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).


2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.


3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejiman Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.


4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.


5. Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.


6. Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.


7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).

Mencari Teras MELAYU

KU TEMUI PERKARA 25 NILAI KEMELAYUAN

Pakaian Duapuluh lima : Nilai-nilai ini meresap dan berakar umbi menjadi sifat masyarakat Melayu. Ini menyebabkan anak Melayu “menjadi orang” yang sempurna lahirian dan batiniah. Inilah asas jati diri Melayu.

• Sifat tahu asal mula jadi, tahu berpegang pada Yang Satu.
• Sifat tahu membalas budi.
• Sifat hidup bertenggangan, mati berpegangan.
• Sifat tahukan bodoh diri.
• Sifat tahu diri.
• Sifat hidup memegang amanah.
• Sifat benang orang.
• Sifat tahan menentang matahari.
• Sifat tahu menyimak, pandai menyimpai.
• Sifat menang dalam kalah.
• Sifat tahan berkering, mau berbasah.
• Sifat tahu unjuk dengan beri, tahu hidup bertenggangan.
• Sifat timbang dengan sukat.
• Sifat tahukan malu.
• Sifat berpada-pada.
• Sifat ingat dengan minat.
• Sifat hemat dan cermat.
• Sifat tahu harta berpunya, tahu pinjam memulangkan.
• Sifat tahu hidup meninggalkan, tahu mati mewariskan.
• Sifat lasak mengekas, tekun mengais.
• Sifat menggulat air setimba.
• Sifat merendah menjunjung tuah.
• Sifat lapang terbuka tangan.
• Sifat berbaik sangka.
• Sifat Yang Pucuk.

Pantangan anak Melayu : “Pantangan yang dua puluh lima.“ adalah seperti berikut :

• Membelakangi syarak
• Durhaka kepada orang tua
• Membuang adat lembaga
• Bermanja-manja
• Mengada-ada
• Berlengah-lengah
• Besar kepala
• Buta keta atau mata kayu
• Bercawat ekor
• Makan menghabiskan
• Bercabang lidah
• Jilat menjilat
• Meminta-minta
• Menjilat ludah
• Membuang petuah
• Bermegah-megah
• Membabi buta
• Lupakan hutang
• Berburuk sangka
• Muka tebal atau tebal muka
• Mencampakkan beban di bahu
• Mengoyak baju di badan
• Menggunting dalam lipatan
• Menjala angin
• Kerja tak menyudah

Nilai-nilai kemelayuan yang dibentangkan di atas menggambarkan jatidiri Melayu yang murni dan mantap. Jatidiri ini menjadikan masyarakat Melayu mampu menghadapi sebarang cabaran dan kemungkinan.

[cut & paste dari net sebagai catatan peribadi]

Mencari Adat Resam Melayu Yang Semakin Hilang

KU TEMUI RESAM YANG LAMA TAK KEDENGARAN

Lalu aku petik untuk tatapan rakan-rakan agar kita terus berusaha mempertahankan budaya murni bangsa kita dengan harapan tidak terjunam di lapah zaman....

Yang tertinggal untuk kita ....

.....................................

BERENDOI

Berendoi masih bergerak aktif hingga ke hari ini dan boleh ditonton kebanyakannya di negeri Perlis, Kedah, dan Perak. Di negeri Perak nyanyian berendoi ini menggunakan nama Dendang Siti Fatimah dan seni katanya berlainan dengan seni kata yang dibawa oleh kumpulan Berendoi di Perlis dan Kedah. Adat berendoi atau buai bayi ini dipersembahkan sebagai tanda keriangan atau kesyukuran menyambut kelahiran cahaya mata. Lagu-lagu Berendoi atau Dendang Siti Fatimah membawa seni kata yang memuji junjungan Nabi Muhammad s.a.w, menceritakan perihal susah payah ibu mengandung dan melahirkan anak dan juga nasihat-nasihat kepada kanak-kanak. Ada juga seni kata yang dicipta oleh kumpulan ini disesuaikan dengan keadaan semasa. Antara lagu yang dibawa dalam majlis berendoi ialah Tuhan Rabbul'alamin, Anak di dalam Buaian, Ayuhai Anak Cahaya Mata, Kebesaran Allah, dan Aduhai Anak Jangan Durhaka. Berikut ialah lagu Anak di dalam Buaian:

Ayuhai anak di dalam buaian,
Pejamkan mata jangan tangiskan,
Lagu Berendoi kami dendangkan,
Di dalam majlis tanda kesyukuran.

Lamalah sudah kami menanti,
Namun engkau tak kunjung tiba,
Dengan takdir ilahi rabbi,
Kini engkau sudah menjelma.





Mencari kehebatan Melayu

KU TEMUI PADA SEHELAI BAJU MELAYU


Memang kita Melayu!... Emak Melayu, Bapak Melayu malah nenek moyang kita Melayu. Majlis rasmi pakai baju Melayu dan terkadang penuh dengan istiadat orang-orang Melayu. Tapi sayang! Hanya sekadar itu sudah kita merasakan bahawa kita sudah benar2 Melayu. Rupa paras, nama dan keturunan Melayu mungkin, akan tetapi jiwa kita telah terasuk jiwa penjajah. Apa tidaknya! kita bangga dengan budaya asing sehingga menganggap budaya kita tidak masuk di akal lagi.

Kita hanya sekadar pakai baju Melayu pada majlis sekali sekala.... lantas kita kata kita sudah Melayu..... Tengok saja pada kesibukan sambutan raya yang lalu.... baju Melayu sekadar kita beli di pasar raya seperti di Tesco, Giant, Jusco dan kalau ingin lebih murah, kita lekas-lekas ke Kamdar atau ke Maidin.... Janji asal ada, janji asal pakai dan terkadang pakai pun tak cukup syarat.

Zaman moden ini, pakaian Budaya kita sudah boleh dibeli dengan mudah dan pastinya saya kira ciptaan baju Melayu itu bukan buatan bangsa kita lagi.... telah di mass produksikan atas nama keuntungan tanpa menghiraukan falafah dan sejarah teras budaya pada sehelai baju Melayu.

Siapa kata baju budaya kita itu saja saja dijahitcipta tanpa ada maknanya? Kita beranggapan bergitu kerana kita tidak tahu, malah tidak ingin ambil tahu.... akhirnya kita percaya bahawa bangsa Melayu tidak hebat. Bangsa Melayu lemah dan kita relakan tanah air, budaya kita di jajah orang lain.

Pada pencarian sebegini, mencari kehebatan temadun bangsa sendiri... aku temui ini...

....................................

Kini pakaian tradisional kaum lelaki Melayu yakni baju Melayu sudah berusia lebih kurang 700 tahun. Ini dikira sejak Sultan Muhammad Syah (1424-1444) , memberi titah, ' di larang memakai cara Atas Angin (Arab termasuk China) , cara ******(ga/gi)....' (Sejarah Melayu Tun Sri Lanang).

Sebaliknya apabila baginda menunaikan fardu solat Hari Raya, baginda menyarung baju Melayu (dipakai cara sarung, lengkap destar. Tiba di masjid barulah baginda mengena jubah (pakaian Atas Angin). Dalam teks Hikayat Hang Tuah pula diperikan memakai Cara Melayu = termasuk segala peralatan pakaian kebesaran diraja ditambah dengan tingkah laku sopan yang selaras dengan pegangan Islam. Dalam sejarah melayu juga dikatakan bahawa baju melayu yang di pakai oleh rakyat melaka singkat dan sendat, tetapi seorang pembesar melayu telah memanjangkannya dan membesarkan pesaknya, maka terbentuklah baju melayu seperti sekarang.

Persoalannya kenapa baju kurung Cekak Musang berhias lima butir kancing atau butang? Dua butir bertindih di cekak leher, dan diikuti dengan tiga butir di bahgian bawah (belahan).

Menurut seorang bekas budayaawan dari UKM, dari segi entnografi sosiobudaya kancing itulah lambang keharmonian rumah tangga masyarakat melayu. Dua butir bertindih di bahagian atas ibarat kerukunan diantara pasangan suami isteri = ayah ibu. Tiga butir di bawahnya melambangkan tiga orang anak mereka = sulung, tengah dan bungsu. Ini sekadar pandangan umum. Kalau anak mereka hanya satu atau lebih lima orang maka tujuh butir lah butangnya, atau sebutir seperti baju Melayu Teluk Belanga?

Sebenarnya bukan begitu. Menurut Azah Aziz (Mak Engku),
Tujuh butir untuk kalangan bangsawan atau raja di istana!
Dalam hal ini kita juga harus merujuk kepada sistem nombor, yang juga wujud dalam rekabentuk keris = berlok 3 - 11. Lok 11 ialah milik Sultan = pemerintah termasuk Ratu, lok 9 (Cik Siti Wan Kembang), lok 5 untuk bendahara dan anak-anak raja. Begitu juga tangga rumah Melayu dikira berurutan 3-9 mata. Bumbung perabung Masjid Kampung Laut 3-5 tinggat. Kajian seni rupa Melayu harus lagi merujuk kepada filsafat Nakula. Nah, disini dapat kita lihat bahawa betapa berilmu dan berseninya bangsa melayu yang sering dikatakan pelupa ini. Siapa kata orang melayu bukan bangsa filosuf. Walaupun karya filosufi kita tidak dicatatkan dengan tinta atau di cetak ia tidak bermakna kita buta falsafah.

Dalam Islam semua nombor hanya di kira dari 1- 9. Dalam kiraan ilmu keislamanan kita boleh merujuk langsung kepada 5 = rukun Islam, atau 6 Rukun Iman. Jadi setujukah anda dengan jumlah butir baju Melayu Cekak Musang mengira jumlah 5 sesuai dengan pegangan kita, Rukun Islam. Insya Allah sesuai dengan fahaman kita terutama dalam konsep Dakwah yang paling sederhana, " Salah satu pokok da'wah itu ialah 'HUSNUL JIWARI - iaitu pergaulan yang baik dengan tetangga dekat . Inilah yang dihurai oleh Prof Dr HAMKA (lih.Prinsip Kebijaksanaan Da'wah Islam, Pustaka Melayu Baru, K.L.1981,hal.13).

Sekarang anda buatlah kesimpulan samaada anda masih lagi merasakan bangsa kita tidak setanding atau sehebat bangsa lain. Adakah benar seperti apa yang dikatakan oleh orientalis barat bahawa orang Melayu hanya memakai cawat dan ada yang bertelanjang.

dipetik dari : Sejarah baju Melayu

........................................

Maka seharusnya sudah lama kita wajar mencari kehebatan bangsa kita dengan melihat kebelakang agar kita kenal akan bangsa kita secara lebih halus. Itulah Melayu!

KE MANA HILANG ISTIADAT HULUBALANG MELAYU

KU TEMUI DI ANTARA NAMPAK DAN TIDAK

Tidak siapa boleh nafikan bahawasanya mereka-mereka itu telah banyak berjasa kepada kita.

Hulubalang Melayu!

Bertaruh nyawa dan berputih tulang untuk berkorban demi tanah air sendiri. Biar apa sekali pun, mereka akan tetap cekal berpijak di bumi yang nyata. Bumi dan tanah yang telah dianugerahkan kepada bangsa sendiri.

Mereka ini bukan saja berpakaian Melayu…

Hati berteraskan jiwa bangsa…

Tutur kata alunan beradab…

Langkah mengikut isyarat…

Menuntut segerak istiadat…


Sedih!… cukup sedih! Zaman menyatukan budaya telah memaksa kita melontar budaya dan adat martabat peradaban istiadat hulubalang Melayu, tercampak ke dalam longkang yang kian tersumbat dengan hanyir nafsu kemodenan dunia gara-gara penyatuan budaya carca marba.

Jika dulu kita duduk bersidang bersila bersama guru dengan penuh adab dan tatacara hulubalang Melayu…. Kini kita pakai duduk atas kerusi dan terkadang bersilang kaki dan malah terkadang terkangkang menonjol keangkuhan diri.

Itulah! Itulah yang semakin tak Nampak dipandang pada ketika zaman serba mencari nama…… asal terkenal… biarpun tergadai budaya sendiri.

Lantas!

Aku terkenang… melihat akan satu upacara…… Upacara istiadat Hulubalang Melayu yang disembunyikan di mata umum…. Bukan apa-apa agaknya! Mungkin kerana upacara sebegini tidak lagi di fikir sesuai pada zaman ini. Zaman Jahanam!


Upacara Satu : Pesan dan bisik dalam upacara menyampaikan petua serta syarat.

Malam itu mereka bertemu di tempat yang dijanjikan. Berpakaian kemas rapi seperti selalu-selalunya. Maklumlah membawa hajat bertandang ke rumah YM Ayahanda Guru. Guru persilatan mereka dan juga guru yang telah banyak Berjasa kepada mereka dalam membentuk kesucian hati-hati mereka.

Alhamdullillah….. sempat juga dalam hidup mereka ini dapat bertemu dengan seorang yang sebegitu murni hidupnya….. seorang hulubalang bangsa yang tidak pernah lupa pada bangsanya dan tinggi amal budaya serta peradaban Melayu.

Setiba mereka di rumah Ayahanda Guru dengan langkah menyusun mengadap hulubalang lalu bersalaman dengan Ayahanda Guru….

Pada malam itulah guru membisikan rahsia-rahsia dunia persilatan, peradaban dan pakaian hulubalang dan seterusnya memberi syarat ukur pakai senjata seorang hulubalang…

Mereka kembali membawa pesan YM Ayahanda Guru untuk mempersiapkan senjata peribadi pakaian isyarat seorang hulubalang Melayu…

Pesan Tok Guru…. “ini cara ukuran senjata kamu”

Pesan Tok Guru… “ini syarat campuran besi”

Pesan Tok Guru… “ini pakaian memulakan kerja”

Pesan Tok Guru… “ini hari dan tarikh ketika membuatnya”

Pesan Tok Guru… “ini arah hadap menukang senjata”

Pesan Tok Guru… “ini lafas niat mula pada hatinya”

Pesan Tok Guru… “ini zikir dibaca ketika membentuk ia”

Pesan Tok Guru… “ini petua cara menyepuh senjata”

Pesan Tok Guru… “ini jenis air pakai menyepuhnya”

Pesan Tok Guru… “ini ayat dibaca pada air sepuhan”

(Genap sepuluh syarat dibicara agar senjata tak lekang dari jari sepuluh yang ada)


Lalu mereka melahirkan kerja agar dapat menyusul pada upacara seberikutnya…



Upacara kedua: (akan bersambung)

Mencari Kata Bicara Yang Semakin Pudar

KU TEMUI INDAHNYA BAHASA YANG TERSOROK DI DALAM BANGSA

Ambil perahu bawalah jermal
Anak Maluku bermain tifa
Tak tahu maka tak kenal
Tak kenal maka tak cinta

Begitulah kata seloka yang telah menjadi perhiasan bibir para cerdik cendekia, begitu bicara orang yang arif bijaksana. Betapa kita dapat mengecap menikmati indah cuitnya sesuatu bahasa dan betapa kita akan dapat menikmati lazat cita suatu hasil budaya. Seandainya kata kita tidak dapat memahami apa yang tersembunyi dalam peribahasa, perpatah dan perumpamaannya, maka semakin hilanglah kata seni pujanga, samakin pudarlah budaya dan semakin samarlah akan bangsa. Padahal kata bicara itu adalah mata air keindahan yang seharusnya tak kering biarpun teriknya panas di musim kemarau.

Sesungguhnya tiap-tiap bangsa yang beradab mempunyai tatacara yang tertentu serta teratur dalam lingkar-lingkar kesopanan untuk menyampaikan kata hatinya, untuk mencurahkan limpahan perasaan dan untuk mengutarakan tujuan maksudnya. Tergubahlah dan diciptakanlah bentuk pengucapan fikiran dan perasaan itu dengan cara berkias dan beribarat, beradab dan beradat, agar maksud tercapai tetapi hati tak luka.

Bagaikan dikata;

Manusia tahan kias, binatang tahan palu


Bangsa Melayu sudah terkenal akan kehalusan hatinya apabila berbicara, baik dalam pergaulan hidup hari-hari mau pun dalam hasil sastera sehingga terbit pelbagai kata bicara dalam berbudaya yang dipakai milik bangsa ini.

Bahasa lambang Budaya

Budaya warisan Bangsa

Bangsa tersusun Adat

Adat menjaga Sifat

Maka lahirlah sesuatu bangsa dengan mengamalkan budayanya dan bahasa itu merupakan salah satu pakaian pada bangsa, untuk kita mengenal sebenarnya sifat sesuatu bangsa.

“Buka kulit tampak isi”. Kata bicara itu adalah suatu bukti kepada kita, bahawa bangsa Melayu bukan bersifat malu-malu kuching, bukan manusia yang segan-segan bertindak berterus terang bila dirasakan perlu. Tetapi harus pula diingat, bahawa sikap berani berterus terang itu mesti bertempat. Bukankah ada peribahasa mengatakan;

Sawah harus diberi pamatang, ladang harus diberi perenggan


Seterusnya kata-kata seni dalam bahasa Melayu ini dapatlah kita jadikan panduan untuk mengenal akan amalan adab dan adat budaya bangsa kita.

Sifat hormat menghormati;

Budi yang baik kenang-kenangan, budi yang jahat buang sekali.

Yang tua dimuliakan, sesama besar dihormati, yang kecil dihormati.

Pergi nampak punggung, datang nampak muka.

Berkata pelihara lidah, berjalan pelihara kaki.


Sifat suka merendah diri dan menjaga kesopanan;

Kalau kita di rantau orang, airnya diasuk, rantingnya dipatah, mandinya dihilir-hilir, duduknya dibawah-bawah. Perginya bertanya, pulangnya berberita.


Sifat tidak suka membuang masa dan tenaga;

Masa itu emas.

Hari pagi dibuang-buang, hari petang di kejar-kejar.

Tegak meninjau jarak, duduk meraut ranjau.

Berkayuh hilir tertawa buaya, bersuluh diwaktu terang tertawa harimau.

Bagai menghasta kain sarung.

Mencurah garam ke laut.

Adakah duri dipertajam.


Sifat hati-hati dan cermat sebelum melakukan sesuatu perkara;

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tak berguna.

Pikir itu pelita hati.

Malu bertanya sesat jalan, segan bergalah hanyut serantau.

Silap mata hilang kepala.


Sifat patuh akan aturan kerana teguh berpegang adat kebiasaan;

Jangan menumbuk di periuk, bertanak di lesung.

Adat diisi lembaga dituang.

Berjenjeng naik, bertangga turun.


Sifat pahlawan;

Membujur lalu, melintang patah.

Musuh jangan dicari, bertemu pantang dielakkan.

Bersilang tombak dipeperangan, tak ajal berpantang mati.

Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang tanah.


Demikianlah jelas kepada kita sifat dan watak masyarakat yang diucapkan oleh peribahasa Melayu.

Maka seharusnyalah kita pertahankan dalam budaya kita agar tidak ia hilang di telan zaman…. Akan hilanglah keindahan bahasa semakin samarlah keaslian bangsa.

Masih Mencari Panglima Ismail

KU TEMUI PULAU TEMPAT BERSEMADINYA PARA HULUBALANG MELAYU

Memang tidak semudah seperti pulut dengan serawa, mencari sesuatu yang tidak pasti di mana harus di cari. Nak di korek bumi kedah, tak ku tahu tanah di mana. Nak diselak helaian kitab sejarah, tak ku tahu lagi kitab yang mana. Nak diteliang pada nisan bertanda, tak ku pasti nisan yang mana.

Semakin jenuh langkah ku mencari, semakin lengguh kian menjadi. Apa pun pesan Ayahanda guru, “dua perkara jangan kita buat, satu putus asa dan kedua merugut semata-mata”. Langsung aku teruskan pencarian ini setelah sekian lama terhenti….

Sempat seketika pada bulan lepas setelah aku menemui gambar makam Panglima Ismail hasil dari maklumat oleh seorang saudara ku yang berasal dari kampung sebelah ibu ku, Yan, Kedah, telah mengajak aku kembali mengembara meneruskan pencarian aku akan panglima tersebut.

Pada peringkat awalnya aku agak gembira apabila ku lihat gambar itu, tetapi kemudian teringat pula pada kata Guru yang arif “Dengar dengan telinga, jangan percaya. Lihat dengan mata, jangan percaya”. Inilah yang membuat aku mengambil keputusan untuk meneruskan usaha seterusnya ke Utara semula untuk melihat sendiri kesahihan makam Panglima Ismail.

Aku berenjak pada malam jumaat bertemankan anak lelaki aku setelah melepasi jam 12 malam menaiki kenderaan 4x4 dengan dilengkapi radio cb, wakie talkie, khemah, camp bed, kelengkapan memasak… kerana aku tak pasti ke mana sebenarnya aku akan tiba, makan-minum dan bermalam.

Setelah berjam-jam bersengkang mata melawan cahaya lampu menyilaukan pandangan ku ketika memandu, maka tiba aku di Desa Rimba, Padang Rengas untuk merehatkan tubuh, tidur seketika dan bermandi manda sebelum meneruskan perjalanan ke daerah kerian, kawasan yang aku agak bersemadinya Panglima Ismail seperti di dalam photo itu.

Tiba aku di sebuah masjid lalu menekapkan mata ku pada pandangan sekeliling kawasannya cuba memastikan kawasan itu sama seperti di dalam photo itu....... Di sini agaknya bermakam Panglima Ismail, Tok Bidin dan Panglima Tok Rashid. Tanya aku pada diri sendiri, cuba memastikan sesuatu yang masih belum pasti.

Lagi sekali perasan ku semakin celaru. Apa tidaknya….. Kisah telah menyebutkan bahawa Panglima Tok Rashid yang berasal dari Sedaka, lahir dalam tahun 1863 beserta Panglima Ismail yang ketika itu dalam tahun 1890 membuat keputusan untuk berhijrah dari Mukim Dulang Yan ke Sungai Tuntung Krian, setelah berlaku satu wabak taun di Sungai Limau Yan, Dulang Besar dan Dulang Kecil.

Akan tetapi sebelum sempat berpindah, Panglima Ismail telah meninggal dunia terlebih dahulu dan jasad Panglima Ismail itu telah disemadikan di sebuah pulau yang terletak di negeri Kedah.

Mana mungkin! Mana mungkin Panglima Ismail di semadikan di kawasan yang sama dengan Tok Rashid dan anaknya Tok Bidin di tanah besar semenanjung padahal kisah tersebut tadi menyatakan Panglima Ismail telah disemadikan di sebuah pulau. Pulau yang mana? Lantas jawab aku sendiri dengan cukup yakin, pastinya pulau empat beradik. Pulau yang telah menjadi medan latihan panglima-panglima melayu beserta Ulama nusantara berhimpun menyiapkan diri, mengumpul kekuatan untuk berperang dengan tentera bangsa Thai dalam peperangan bergelar ‘Perang Musuh Bisik’.

Aku teruskan langkah ku setelah melepasi waktu Asar dari tanah Kerian untuk menuju ke daerah Yan, ke kampung tok nenek aku sendiri......... tetapi keletihan telah mengheret tubuh ku sehingga terasa terlalu lemah dan memaksa aku berhenti bermalam di Sungai Petani.

Pagi sabtu, seawal pagi telah siap aku untuk meneruskan perjalanan ke makam Merong Mahawangsa terlebih dahulu sebelum ke kawasan terletaknya pulau empat beradik tersebut. Terpaksa aku bertanya-tanyakan orang kampung untuk sampai ke makam Sultan Kedah yang pertama ini (1160-1179) . Mana tidaknya! Terpaksa melepasi kampung dan ladang kelapa sawit sebelum tiba di kaki Gunung Jerai di mana terletaknya makam tersebut.

Aku berhenti hanya seketika di sini…. Teruskan perjalanan ke kawasan pulau-pulau tersebut…….

Mengenai pulau-pulau itulah, bait-bait ini telah ku rakamkan seperti dalam karya Tanah Kedah Tersimbah Darah :

“Semangat wira-wira Melayu sepakat berhimpun
di pulau empat beradik strategi mula disusun
disitulah di Pulau Bidan, Telor, Bunting dan Pulau Songsong
menguatkan iman, bersilat dan siapkan angkatan perang”








akan bersambung…. kisah penemuan di pulau……

Tersemat Rindu Sehingga Ketemu

JIHATY ABADI
(Yahya bin Husin, Noryla, Saiful, Saiful Anuar, Yahya Abadi)

LAHIR: 19 Mei 1938 di Titi Baru, Kepala Batas, Alor Setar, Kedah Darul Aman.
ALAMAT : 44, Jalan SS2/53, 47300 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.


TELAH lebih 40 tahun Jihaty Abadi mengabdikan diri dalam dunia persajakan Melayu. Beliau antara penyair yang prolifik dalam dunia kesusasteraan Melayu. Jihaty telah menghasilkan ratusan puisi, rencana dan beberapa buah novel dan juga cerpen.

Jihaty bersekolah Melayu di beberapa tempat di Kedah seperti di Tok Jalai, Kepala Batas, dan Jitra dari tahun 1947 hingga tahun 1952. Kemudian beliau memasuki latihan guru normal selama enam tahun dari tahun 1953 hingga tahun 1959. Setelah mengajar beberapa lama, Jihaty dipilih memasuki Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Tamat latihan perguruan, Jihaty mengajar di Sekolah Kebangsaan Yan. Kemudian mengajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Sik dan setelah itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pumpang, Alor Setar dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Merah juga di Alor Setar. Pada tahun 1965, beliau lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sambil bertugas sebagai guru, Jihaty terus berusaha meningkatkan ilmu pengetahuannya dalam bidang bahasa dan sastera dengan mengikuti kursus bahasa dan sastera secara bertulis dan Universitas Nasional (UNAS), Jakarta. Kursus ini dikelolakan oleh Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dengan kerjasama Fakultas Sastera universiti berkenaan. Jihaty lulus dengan ijazah Sarjana Muda Sastera dalam sesi 1971/72. Beliau meneruskan studinya pada peringkat sarjana pada tahun 1977 dengan mengemukakan tesisnya bertajuk “Hikayat Indera Bangsawan: Sebuah Transkripsi dan Kajian” di bawah bimbingan H.B. Jassin. Jihaty Abadi pernah menjadi guru sastera di kelas bimbingan di Maktab Mahmud dan juga di Sekolah Arab Perempuan Tarbiyah Islamiah sebelum bertugas sebagai guru Bahasa di Pusat Bahasa Universiti Malaya sejak Julai 1972 hingga bersara.

Beliau menceburkan diri dalam lapangan penulisan kreatif khususnya dalam dunia perpuisian sejak tahun 1953 dan mula bergiat cergas dalam tahun 1956. Pada peringkat awalnya Jihaty mendapat bimbingan dan galakan daripada beberapa orang penulis mendapat bimbingan dan galakan daripada beberapa orang penulis terutamanya Affrini Adham dan M. Noor Azam. Jihaty merupakan contoh daripada kalangan penulis tahun 1950-an yang masih giat menulis, masih terus berkarya dan berkat kesabaran, kegigihan dan keyakinannya itu, beliau berjaya menempa namanya sebagai penyair. Beberapa buah sajaknya terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera bagi tahun 1973 dan 1976. Beliau juga pernah memenangi hadiah dalam Peraduan Sajak-sajak Kuala Lumpur anjuran GAPENA.

Kita memang dapat mengharapkan keanekaragaman nada pada sajak-sajak Jihaty kerana beliau juga berbicara tentang banyak hal; daripada soal kisah derita masyarakat sehinggalah kepada yang bersifat rohaniah. Namun satu hal yang cukup ketara pada sajak-sajaknya ialah nada protes yang kadang-kadang terasa amat keras dan tajam, meskipun ia cuba disembunyikannya di sebalik permainan kata-kata atau lambang. Jihaty melihat kegelapan, kepunahan, keruntuhan, dan kepalsuan di sekitarnya. Penyair ini cuba mencari penyelesaian kepada masalah-masalah itu dengan penuh harapan. Prof. Ismail Hussein, ketika menulis kata pengantar antologi sajak Jihaty yang berjudul Gada-gada Merah menyebut:

Alangkah bahagianya kita rasa yang anak desa ini, walaupun dilanda seribu cabaran, tidak
pernah terputus ikatannya dengan tanah dan ibunya, malah semua itu memberi
kekuatan padanya.

Selain puisi, Jihaty pernah memperlihatkan bakatnya dalam penulisan novel. Novel pertama ditulisnya bertajuk Korban Penari Joget terbit pada tahun 1958, dan setakat ini sudah lima buah novel telah berjaya dihasilkannya.

Dalam organisasi penulis pula, Jihaty merupakan salah seorang pengasas Persatuan Sahabat Pena Utara Malaya yang berpusat di Sekolah Arab Darul Makri Al-Wataniah di Kepala Batas. Seberang Prai pada tahun 1956. Tetapi persatuan ini tidak panjang usianya dan pada tahun 1958, tertubuh pula Persatuan Penulis Muda Kedah dan Jihaty sendiri menjadi Setiausahanya. Setahun berikutnya persatuan ini berjaya menerbitkan majalah Angkatan sehinggalah persatuan ini bubar pada tahun 1966.

Pada bulan November 1966, tertubuh pula Gabungan Sasterawan Sedar (GATRA) dengan Shahnon Ahmad menjadi Ketua, dan Jihaty menjadi Setiausahanya. Tetapi apabila Jihaty berhijrah ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat di Universiti Malaya, hubungannya ternyata lebih dekat dengan GAPENA. Beliau dilantik menjadi anggota jawatankuasa GAPENA dan selama beberapa tahun, Jihaty menjadi Setiausaha I GAPENA. Sejak 1976, Jihaty terpilih menjadi anggota Redaksi Sastera, Majlis Penasihat Kebangsaan Hal-Ehwal Kebudayaan yang ditubuhkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Jihaty bukan sahaja aktif dalam organisasi penulis tetapi terus giat menghasilkan puisi-puisi yang merupakan bidang penulisannya yang utama.

Memandangkan sumbangan Jihaty Abadi dalam perkembangan sastera tanah air dan kegiatan beliau dalam organisasi penulis terutama GAPENA dan badan-badan penulis yang lain, beliau telah menerima “Anugerah Penyair GAPENA” 1996 dengan kumpulan puisi terbaharunya berjudul Sajak-sajak Tangkai Padi. Sebelum itu Jihaty Abadi telah menerima anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok pada tahun 1991.

KARYA


Novel
- Korban Penari Joget, Kuala Pilah: The Sentosa Store, 1958, 46 hlm.
- Jalan Penuh Debu, Alor Setar: Pustaka Maha, 1967, 122 hlm.
- Terkulai, Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1967, 118 hlm.
- Mereka yang Jahanam, Kuala Lumpur: Usaha Remaja, 1973, 112 hlm.
- Tumpang Kasih Suami Orang, Kuala Lumpur: Usaha Remaja, 1973, 142 hlm.


Puisi
- Bingkisan Angkatan Baru (Peny.), Kuala Pilah: Pustaka Hang Tuah, 1956, 62 hlm.
-

Puisi Baru Melayu 1942 – 1960 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1961, 266 hlm.

- Anak Rempang Karam di Kota, Alor Setar: Pustaka Maha, 1968, 126 hlm.
- Gegaran (bersama A. Ghafar Ibrahim), Alor Setar: Dinas Penerbitan Pustaka Sekolah, 1968, 33 hlm.
-

Himpunan Sajak (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, 33 hlm.

- Darah Marah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 61 hlm.
- Seperti Angin Malam, Kuala Lumpur: Pustaka Zakry Abadi, 1974, 20 hlm.
- Tidak Roboh Kota Melaka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1974, 44 hlm.
- Kuala Lumpur, (antologi bersama), Kuala Lumpur: GAPENA, 1975, 57 hlm.
-

Bila Kita Berbicara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Ikatan Sastera Universiti Malaya, 1976, 115 hlm.

- Gada-gada Merah, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1978, 110 hlm.
-

Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294 hlm.

- Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.
-

Lagu Kehidupan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.

- Saat Sebelum Berangkat, Kuala Lumpur: Media Intelek, 1983, 56 hlm.
- Bahasa Alam (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1983, 108 hlm.
-

Bintang Mengerdip (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 75 hlm.

-

Titian Laut (Peny. Bersama Ismail Hussein), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 431 hlm.

-

Bunga Gerimis (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 1986, 132 hlm.

- Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.
-

Kumpulan Sajak-Sajak Hadiah Sastera 1971-73 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, 129 hlm.

-

Kumpulan Puisi Malaysia 1975 – 1985 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.

-

Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.

-

Malaysia dalam Puisi (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 316 hlm.

- Suara Rasa (Voice From Within) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm
-

Puisi-puisi Kunjungan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 253 hlm

- Sajak-sajak Tangkai Padi, Kuala Lumpur: GAPENA, 1966, 100 hlm.


Kajian
-

Sari Sejarah Kesusasteraan Malaysia-Indonesia (bersama Azran Rahman dan Amida Abdul Hamid), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1979, 320 hlm.



Esei/Kritikan
-

Warisan Sastera Pulau Pinang (antologi bersama), Kuala Lumpur: Biro Penerbitan GAPENA, 1985, 190 hlm.


Dikemaskini pada 25 Nov 2008
dipetik dari http://dbp.gov.my

MENCARI LUBUK untuk MANCING

MARI BERTEMU DI LINGGA

Sekadar menyampai hasrat teman aku yang bekerja keras mempromosikan Kepulauan Riau... aku paparkan poster Tamasya Kepri iaitu event memancing di LINGGA, Riau sana. Nampaknya percuma saja event ini, cuma perlu tambang dari sini ke Bentan dengan menaiki feri...itu saja. Dari Bentan rombongan mancing ini disediakan feri ke LINGGA dan tempat tinggal disediakan secara percuma..... memang menarik!

Aku pernah ke sana beberapa tahun yang lalu dan ketika itulah aku berkenalan dengan sdr Sapril Sembiring ini, seorang yang baik hati dan sentiasa ingin membantu. Sehinggakan aku dapat melihat keseluruhan Pulau Bentan dan sudah pasti dapat aku melawat makam-makam lama di sana termasuk makam Raja Haji.

Eloklah.. sesekali kita ingin makan angin... kita ke sana... sana itu orang-orang kita belaka dan dengan kesempatan itu, pasti sudah kita dapat merapatkan diri kita dengan sejarah-sejarah bangsa kita. Agar kita akan terus jadi Melayu.......

Tanah Kedah Tersimbah Darah

BERTEMU KISAH UNTUK DICERITAKAN

CERITA 1 :

Hari itu bumi bertuah Kedah sedang berpesta
rakyat bumi jelapang padi penuh gembira
dalam keramaian di pekarangan kota Kuala Kedah
12 November 1821 masihi, 15 Safar 1237 Hijrah

Ada majlis perkahwinan si teruna dan si dara
anak dua orang pembesar negeri tercinta
anak Dato Bendahara Paduka Seri Maharaja
dengan anak Dato Paduka Seri Raja Laksamana

Dalam temasya padat dengan riak senang hati
ada pukulan kompang, ada rebana berbunyi
ada pencak silat diiringi gendang dan serunai
menyusun sembah menyambut tetamu yang ramai


CERITA 2:

Tiba-tiba semasa istiadat menjamu pesta
Kota Kuala Kedah diserang musuh durjana
lantas bumi Kedah jadi porak peranda
ramai bertempiaran ingin selamatkan nyawa

Ada yang tidak ketahuan punca
ada yang sembunyi sambil berdoa
tapi masih ada juga wira dan hulubalang
yang bangkit pertahankan dan berjuang

Namun kekuatan tentera laut Thai Legor begitu ramai
7000 musuh tidak dapat ditentang dan dikecai
sekoyong anak jati bumi Kedah menjadi korban
termasuklah Dato Bendehara, Temenggong dan Shahbandar terkujur di tanah halaman

Tetapi masih ada nasib disebelah kita
Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin II terselamat jua
kerana masih bersemayam di Pulau Tiga
tak berkesempatan ke majlis pesta

Bangsa Thai bermaharajalela, bersultan di mata
merampas segala harta benda yang berharga
ramai ditawan dibawa pulang ke Legor disumpat ke penjara
putuslah saudara, hilang hubungan, hendak dicari di mana

Maka bermula dari saat itu Kedah dijajah Thai Legor
yang mempertahankan tanahair telah ramai tersungkur
belakulah perhijrahan beramai-ramai anah kedah ke Seberang Prai
70000 meninggalkan Alor Setar dengan harapan telah bersepai

Kedah menjadi sepi, siapakah wira yang akan bangkit lagi.....


CERITA 3 :

1829, seorang wira diraja bernama Tunku Kudin telah hadir
bersama 5000 orang Melayu yang handal dan mahir
menyerang kejut merampas kembali Kota Kuala Kedah
agar negeri ini dapat orang Melayu semula memerintah

Tetapi musuh Thai Legor dengan Inggeris punya helah
musuh mengepung sekeliling kota Kuala Kedah
angkatan Melayu hanya bertahan selama 5 bulan
pertahanan jadi lemah dalam serba kurang makanan

Hanya beralas perut dengan nasi gerit dan manisan tebu
kekuatan menjadi semakin ragu, tubuh jadi kian lesu
lalu musuh Thai dengan kekuatan masuk menyerbu
lagi sekali angkatan kita tumbang satu persatu...

Tetapi pantang hulubalang Melayu menyerah kalah
walaupun tinggal 30 orang panglima bertegap langkah
menghadapi 7000 musuh Thai dengan 300 ekor gajah
sehingga mati mereka berperang biar badan berlumuran darah

Begitulah kisah perebutan di kota Kuala Kedah pada April 1831
sehinggakan tersemat di dalam pantun Melayu dulu-dulu
"Pulau Sembilan tinggal delapan, satu merajuk ke Kuala Kedah
Sudah nasib menimpa badan, kita di bawah Kehendak Allah"

Namun cerita Tunku Kudin tidak berakhir begitu saja
kepalanya dipenggal diletakkan di atas talam tembaga
berkaki beralas serta berenda dan dibawa dengan gajah
ditatang oleh panglima Thai yang paling tuan dengan gah

Kepala dibawa mengadap Raja Legor Nakhon Sithamarat
sambil mengesut dipersembahkan kepada raja keparat

dan berkata panglima tu:
"ni khe hua kong thap Melayu, tee thantan sayam tat kho!!!
Ni lek rau dhai rak buk wa, kong kamlang nakhon, tii kheng kreng!!!"

diterjemahkan pula:
"Ini kepala panglima Melayu yang siam kerat!!!
sebagai bukti tentera Legor lebih hebat!!!"

Pakat demi pakat nak mengambil semula Kedah semua gagal
oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah yang hampir kesal
akhirnya baginda terpaksa bersemayam di negeri Melaka
kerana terlalu hampa, dicipta baginda syair 'Duka Nestapa'

"Demikian beta sehari hari, kekanda nian dibuang negeri
Jika tak boleh muda bistari, Meninggalkan bumi istana sendiri"

"Atau kemercu Gunung Jerai, Remuklah bahadi dan cangrai
Anggur nyawa badan bercerai, Emas itu sahaja ikatan urai"

"Demikianlah sudah ibarat madah, Habis kias badingan sudah
Yang diberahi itu bukan mudah, Manikam gemala di negeri Kedah"


CERITA 4 :

Ini tahun 1838, di mana terletak sejuta harapan
muncullah wira-wira pemintaan raja yang cukup sakan
bangkit berjuang supaya Kedah dapat dibebaskan
itulah Tunku Mohamad Saad bersama rakan-rakan

Bergandingan dengan Datuk Mohd Ali anak Langkawi
berjaya mengumpul 10 ribu perjuang dari serata Tanah Jawi
dari Acheh ke Sumatera, dari Perak ke Pattani
Langkawi ke Tanjung, bersatu, berdiri lurus lagi berani

Semangat wira-wira Melayu sepakat berhimpun
di pulau empat beradik strategi mula disusun
disitulah di Pulau Bidan, Telor, Bunting dan Pulau Songsong
menguatkan iman, bersilat dan siapkan angkatan perang

Pada ketika dan waktu yang sama.....
bersidanglah para ulama berjiwa panglima
lalu sepakat menyertai angkatan perang tadi
untuk melancarkan serangan terakhir sekali

Dan di antara para ulama ini;
Sheikh Abdus Samad Al Palembangi
Sheikh Abdul Kadir Tok Kadir
Sheikh Daud Al Fathani
Panglima Sheik Wan Mustapa Tok Bendang Daya
Hulubalang Sheikh Wan Jamal serta Sheikh Masu'ud Al Banjari

Dan...

Tercatat pula nama para hulubalang Melayu
yang berani-berani menghadapi musuh beribu

seperti;

Tok Morris, Tok Merah, Tok Kameh, Tok Madi, Taib Itam, Haji Long
dan mungkin juga ada, Panglima Ismail turut bergabung tenaga

Hairan..., sungguh menghairankan
macam mana depa bersungguh-sungguhan
sehingga sanggup tinggalkan anak isteri
pi berjuang dan tak hiraukan mati

Adakah ini atas nama perang sabil
dan atau seruan jihad sudah terpanggil
namun apa pun tersemat di hati mereka
ada bicara sebelum pergi meninggalkan desa

Seperti ada terselit dalam madah
ucap selamat tinggal sebelum berpisah
"Umur panjang bertemu kembali,
pantang hidup bercerminkan bangkai,
kalau ditakdirkanya menemui ajal
di surga kita bertemu
sebab mati hanya sekali
dan sekali ini ialah mati syahid"

Maka dari itu, angkatan hulubalang Melayu
telah dibahagikan kepada empat regu
yang satu hebat tahan jika dipahat mata
kedua ibarat tulang besi urat dawai adanya

Yang ketiga adalah pakatan orang-orang Patani
Keempat siap sedia menjaga pelusuk negeri
mereka semua menghambat musuh-musuh keparat
sehingga sampai ke Legor Nakhon SiThamarat

Peperangan kali ini beroleh kejayaan
sehingga diabadikan di secebis karangan
nukilan Sheikh Abdus Samad Al Palembangi
tentang kemenangan Tunku Mohamad Saad yang berbunyi;
"Putera bukan sebarang putera
putera raja siltan pilihan
negeri Kedah telah berjaya
mengecapi nikmat anugerah tuhan
agama Islam bergerak semula
begitu lama dalam tekanan"

Serta dicatat oleh seorang putera diraja Kelantan
oleh Tuan Long Salleh dalam suratnya 1254, 13 Syaaban
antaranya tertulis;
"tengah berkira, tiba-tiba Cik Jid mari dari Patani
menyatakan negeri Legor sudah binasa pada Melayu Kedah
dan negeri Singgora pun terlengkong oleh Kedah
Negeri Patani pun orang Kedah masuk penuh
Jam(b)u pun boleh kepada orang Kedah...."

Kemenangan kita dek panglima dan hulubalang
turut tercatat pada panji-panji perang
yang mengandungi baris puisi berbahasa Arab
menandakan kejayaan sudah dikecap

puisi bermaksud;
"lantaran ini maka berakhirlah pembukaan yang bersejarah
dengan pertolongan Islam kemenangan dicapai oleh negeri Kedah"


CERITA 5 :

Kemenangan kali ini tidak juga dapat bertahan lama
kerana pasukan bantuan Trengganu Kelantan tak sempat tiba
dan pada masa itu juga raja Thai Rama mengerah armada laut
supaya menyrang kembali orang Melayu dengan mengejut

seramai tiga puluh ribu dari Bangkok mula bergerak
membantu tentera Legor agar Melayu semua berselerak
sehingga angkatan Melayu menjadi semakin sesak
mereka berundur ke Kelantan serta ke Belum di Perak

Maka detik mula tragedi pada hari itu
sepilah angkatan hulubalang Melayu
turut lenyap nama-nama ulama berjiwa panglima
entah kenapa, entah ke mana untuk sekian lama

Turut terkubur seiringan dengan mereka
seni silat yang mereka bawa bersama
Umat Melayu jadi belaka tak menentu
budaya bangsa semakin lusuh dan tepu

sehinggakan keutamaan seni silat tidak lagi diambil kira
yang selama ini milik para ulama dan hulubalang kita
dijadikan benteng mempertahankan bangsa, tanah air dan agama
dan hari ini, kenikmatan hidup kita juga yang merasa.

"Harap kini, api jauh dari panggang
Harap nanti, sireh pulang ke ganggang"

ALLAH HU AKHBAR!!!

nota: karya ini pertama kali diperdengarkan pada acara pembukaan seminar 'ULAMA BERJIWA PANGLIMA' di UIAM, Gombak, 21hb Disember 2003 / 27 Syawal 1424

AMANAH BUAT PANGLIMA ISMAIL

HILANG PERGI ENTAH KE MANA…

Ruang dan waktu di dalam istana cukup gelap, sepi dan kaku. Biarpun indah segala warna terdapat di balai rong namun sepi lebih memurami waktu ini. Malah ruang itu hampir kosong tanpa penghuni, tanpa dayang-dayang dan segala pak menteri dan orang besar-besar sudah lama tidak menghampiri istana ini… yang tinggal hanya sultan dengan di temani beberapa kerat para hulubalang dan tok penasihat sultan semata-mata.

Murung semuanya di istana, murung sungguh kali ini, malah seluruh negeri jelapang padi ini cukup bersedih dan terhiba. Negeri telah di serang angkatan bangsa thai sehingga bencana melata seluruh tanah air. Orang sudah ramai keluar negeri, tinggal kampung halaman berhijrah ke seberang perak. Kot-kot di sana dapat berteduh buat seketika.

Mana mereka dapat tahan lagi, nak keluar rumah untuk mencari rezeki pasti di bunuh seraya. Mesjid sudah di selimuti lalang dan azan sudah lama tak berkumandang…

Sultan mundar mandir di balai rong, para hulubalang hanya terpaku tanpa mengangkat kepala, tok penasihat yang cukup warak orangnya masih berdiri di belakang sultan menanti. Menanti Yang Mulai Tuanku tenang sedikit agar dapat mula bicara. Puas juga Syeik Ahmad, penasihat sultan menanti… akhirnya sultan mula menatap ke wajah Sheik Ahmad seolah mengharapkan sesuatu….

Inilah peluang terakhir agaknya untuk menyelamatkan bangsa jawi di bumi tercinta ini. Ini lah masanya Sheik Ahmad akan menyampaikan nasihat terakhir setelah perlbagai susuncara telah sultan iktiar untuk menyelamat negeri baginda.

Baginda sultan menghampiri Sheik Ahmad dan terus memeluh dalam seribu kerunsingan tersemat di jiwa… Sheik Ahmad turut memeluk balas dan meletakkan bibirnya hampit di telinga sultan dan bebisik sesuatu dengan pelahan-lahan… Agak lama juga bicara bisik Sheik Ahmad… sultan amati dengan teliti dan sesekali mengangguk-angguk kepala seolah mula mengerti sebenar cerita.

Setelah Sheik Ahmad berhenti berbisik, sultan menoleh ke belakang memandang tepat kepada para hulubalang empat yang sedia menanti sesuatu. “Panglima Ismail, kita mohon dari kamu agar segera melaksanakan perintah kita’. Titah tuanku kepada salah seorang hulubalang istana. Panglima Ismail bergegas melangkah mengadap sultan, rapat panglima, sambil menanti perintah arah YM Tuanku, “Ampun Tuanku, hamba patik menanti arah’.

Sultan memang percaya benar dengan panglima Ismail itu tetapi sultan tidak segera bertitah perintah malah Sultan bergerak keluar balai rong dan mengarah langkah ke kamar di raja meninggalkan segala orang-orang setia terpingga-pingga. Para hulubalang mengalih pandangan dari sultan dan memandang Sheikh Ahmad, Sheik Ahmad tenang sahaja tanpa menunjukkan kerisauaan apa-pa. “Insyallah… kita serah saja pada Yang Maha Esa”.

Setekita berlalu…Sultan kembali ke ruang penghimpunan para hulubalang tadi yang setia dan sedia menanti, menghampiri ke arah Panglima Ismail dengan membawa sebuah peti kecil, lalu bertitah “Kamu Panglima istana Beta, Ismail Panglima Kanan, kita taruh harapan agar kamu membawa amanah kita agar bumi ini kekal hak bangsa kita sampai bila-bila”. “ Ampun Tuanku” sahut Panglima Ismail tegas menanti perintah agar lebih jelas. “Kita minta kamu segera pergi ke Kampung Binjai membawa peti amanat ini dan beri kepada penghulunya”, perintah sultan dengan penuh harapan.

(draf ini akan ku lakar-lakarkan lagi agar lebih jelas tentang kisah para hulubalang misteri buat tatapan anak2 bangsa jawi)

Ella & Aku di Zaman Batu

BERTEMU ARAH MENYAMPAIKAN HASRAT

Tahun 2008 telah berlalu... pergi tanpa menunggu sesiapa... begitulah juga 1998 dan 1988. Sedar-sedar sudah 20 tahun jarak waktu ini dengan tahun 1988 itu .... Itulah tahun di zaman batu aku, masih bujang, anak muda trang-tang-tang yang hampir lemas karam di kota.

Pada zaman 88 itu aku terpaut dengan zaman batu..... zaman rock... yang panas (hot) bagi anak-anak muda ketika itu..... Aku berdamping dengan ramai rocker termasuklah si Ella dari group The Boys....

Siang malam, pagi petang asyik aje aku dengan budak-budak rock ini.... dan serata pelusuk Tanah Air kami jelajah... buat konsert dan persembahan di kelab-kelab.

Memang seronok...maklumlah anak muda, pergi mana sapa pun tak larang dan pulang rumah jam berapapun... mak ayah tak pernah halang...

Namun apa pun.... aku tetap seorang pencari.... mencari ruang menyampai hasrat.... hasrat yang terpendam didalam dada....yang terbuku didalam kalbu..... bait-bait kasih.... atas rasa cinta.... tetapi bukan untuk diri Ella.... ia adalah untuk semua... anak-anak bangsa yang cintakan Tanah Air kita..

Di celah rebah waktu itulah aku temui ruang menghasilkan lirik-lirik lagu (mengunakan nama samaran JEPUN) untuk dinyanyikan oleh sahabat ku Ella demi membina semangat anak-anak di tanah ini.....dan sudah pasti jua untuk anak-anak kita di satu hari nanti.....












Anak
Merdeka

SENIKATA: Mel & Jepun
SENILAGU: Lord

ARTIS: Ella & The Boys

Kami anak merdeka
Bangga pada negara
Kami maju, satu hati bersama

Kita telah berjaya
Satu hati bersama
Terima kasih pada semua
Pahlawan dan Bapa Malaysia

Wahai anak merdeka
Tanah kita yang punya
Giat usaha, pasti maju sentiasa

Nyalakan semangatmu
Saling bantu membantu
Segala cita yang kau bina
Akan pasti kau rasa

Usaha gigih yang ikhlas pasti 'kan dibangga
Binakanlah semangat cinta Malaysia


Selepas beberapa ketika setelah kelahiran album ini..... maka aku pun menghilangkan diri dari dunia Batu (rock) dan berhijrah ke dunia seni yang lainnya.......

Selamat tinggal rockers, Selamat tinggal Ella..... semoga kamu semua berjaya juga menyampaikan hasrat mengikut aliran seni yang kamu semua pilih.....

Salam dari JEPUN.