Tersemat Rindu Sehingga Ketemu

JIHATY ABADI
(Yahya bin Husin, Noryla, Saiful, Saiful Anuar, Yahya Abadi)

LAHIR: 19 Mei 1938 di Titi Baru, Kepala Batas, Alor Setar, Kedah Darul Aman.
ALAMAT : 44, Jalan SS2/53, 47300 Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.


TELAH lebih 40 tahun Jihaty Abadi mengabdikan diri dalam dunia persajakan Melayu. Beliau antara penyair yang prolifik dalam dunia kesusasteraan Melayu. Jihaty telah menghasilkan ratusan puisi, rencana dan beberapa buah novel dan juga cerpen.

Jihaty bersekolah Melayu di beberapa tempat di Kedah seperti di Tok Jalai, Kepala Batas, dan Jitra dari tahun 1947 hingga tahun 1952. Kemudian beliau memasuki latihan guru normal selama enam tahun dari tahun 1953 hingga tahun 1959. Setelah mengajar beberapa lama, Jihaty dipilih memasuki Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Tamat latihan perguruan, Jihaty mengajar di Sekolah Kebangsaan Yan. Kemudian mengajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Sik dan setelah itu di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pumpang, Alor Setar dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Merah juga di Alor Setar. Pada tahun 1965, beliau lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

Sambil bertugas sebagai guru, Jihaty terus berusaha meningkatkan ilmu pengetahuannya dalam bidang bahasa dan sastera dengan mengikuti kursus bahasa dan sastera secara bertulis dan Universitas Nasional (UNAS), Jakarta. Kursus ini dikelolakan oleh Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dengan kerjasama Fakultas Sastera universiti berkenaan. Jihaty lulus dengan ijazah Sarjana Muda Sastera dalam sesi 1971/72. Beliau meneruskan studinya pada peringkat sarjana pada tahun 1977 dengan mengemukakan tesisnya bertajuk “Hikayat Indera Bangsawan: Sebuah Transkripsi dan Kajian” di bawah bimbingan H.B. Jassin. Jihaty Abadi pernah menjadi guru sastera di kelas bimbingan di Maktab Mahmud dan juga di Sekolah Arab Perempuan Tarbiyah Islamiah sebelum bertugas sebagai guru Bahasa di Pusat Bahasa Universiti Malaya sejak Julai 1972 hingga bersara.

Beliau menceburkan diri dalam lapangan penulisan kreatif khususnya dalam dunia perpuisian sejak tahun 1953 dan mula bergiat cergas dalam tahun 1956. Pada peringkat awalnya Jihaty mendapat bimbingan dan galakan daripada beberapa orang penulis mendapat bimbingan dan galakan daripada beberapa orang penulis terutamanya Affrini Adham dan M. Noor Azam. Jihaty merupakan contoh daripada kalangan penulis tahun 1950-an yang masih giat menulis, masih terus berkarya dan berkat kesabaran, kegigihan dan keyakinannya itu, beliau berjaya menempa namanya sebagai penyair. Beberapa buah sajaknya terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera bagi tahun 1973 dan 1976. Beliau juga pernah memenangi hadiah dalam Peraduan Sajak-sajak Kuala Lumpur anjuran GAPENA.

Kita memang dapat mengharapkan keanekaragaman nada pada sajak-sajak Jihaty kerana beliau juga berbicara tentang banyak hal; daripada soal kisah derita masyarakat sehinggalah kepada yang bersifat rohaniah. Namun satu hal yang cukup ketara pada sajak-sajaknya ialah nada protes yang kadang-kadang terasa amat keras dan tajam, meskipun ia cuba disembunyikannya di sebalik permainan kata-kata atau lambang. Jihaty melihat kegelapan, kepunahan, keruntuhan, dan kepalsuan di sekitarnya. Penyair ini cuba mencari penyelesaian kepada masalah-masalah itu dengan penuh harapan. Prof. Ismail Hussein, ketika menulis kata pengantar antologi sajak Jihaty yang berjudul Gada-gada Merah menyebut:

Alangkah bahagianya kita rasa yang anak desa ini, walaupun dilanda seribu cabaran, tidak
pernah terputus ikatannya dengan tanah dan ibunya, malah semua itu memberi
kekuatan padanya.

Selain puisi, Jihaty pernah memperlihatkan bakatnya dalam penulisan novel. Novel pertama ditulisnya bertajuk Korban Penari Joget terbit pada tahun 1958, dan setakat ini sudah lima buah novel telah berjaya dihasilkannya.

Dalam organisasi penulis pula, Jihaty merupakan salah seorang pengasas Persatuan Sahabat Pena Utara Malaya yang berpusat di Sekolah Arab Darul Makri Al-Wataniah di Kepala Batas. Seberang Prai pada tahun 1956. Tetapi persatuan ini tidak panjang usianya dan pada tahun 1958, tertubuh pula Persatuan Penulis Muda Kedah dan Jihaty sendiri menjadi Setiausahanya. Setahun berikutnya persatuan ini berjaya menerbitkan majalah Angkatan sehinggalah persatuan ini bubar pada tahun 1966.

Pada bulan November 1966, tertubuh pula Gabungan Sasterawan Sedar (GATRA) dengan Shahnon Ahmad menjadi Ketua, dan Jihaty menjadi Setiausahanya. Tetapi apabila Jihaty berhijrah ke Kuala Lumpur untuk berkhidmat di Universiti Malaya, hubungannya ternyata lebih dekat dengan GAPENA. Beliau dilantik menjadi anggota jawatankuasa GAPENA dan selama beberapa tahun, Jihaty menjadi Setiausaha I GAPENA. Sejak 1976, Jihaty terpilih menjadi anggota Redaksi Sastera, Majlis Penasihat Kebangsaan Hal-Ehwal Kebudayaan yang ditubuhkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Jihaty bukan sahaja aktif dalam organisasi penulis tetapi terus giat menghasilkan puisi-puisi yang merupakan bidang penulisannya yang utama.

Memandangkan sumbangan Jihaty Abadi dalam perkembangan sastera tanah air dan kegiatan beliau dalam organisasi penulis terutama GAPENA dan badan-badan penulis yang lain, beliau telah menerima “Anugerah Penyair GAPENA” 1996 dengan kumpulan puisi terbaharunya berjudul Sajak-sajak Tangkai Padi. Sebelum itu Jihaty Abadi telah menerima anugerah S.E.A. Write Awards di Bangkok pada tahun 1991.

KARYA


Novel
- Korban Penari Joget, Kuala Pilah: The Sentosa Store, 1958, 46 hlm.
- Jalan Penuh Debu, Alor Setar: Pustaka Maha, 1967, 122 hlm.
- Terkulai, Melaka: Penerbitan Abbas Bandung, 1967, 118 hlm.
- Mereka yang Jahanam, Kuala Lumpur: Usaha Remaja, 1973, 112 hlm.
- Tumpang Kasih Suami Orang, Kuala Lumpur: Usaha Remaja, 1973, 142 hlm.


Puisi
- Bingkisan Angkatan Baru (Peny.), Kuala Pilah: Pustaka Hang Tuah, 1956, 62 hlm.
-

Puisi Baru Melayu 1942 – 1960 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1961, 266 hlm.

- Anak Rempang Karam di Kota, Alor Setar: Pustaka Maha, 1968, 126 hlm.
- Gegaran (bersama A. Ghafar Ibrahim), Alor Setar: Dinas Penerbitan Pustaka Sekolah, 1968, 33 hlm.
-

Himpunan Sajak (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1969, 33 hlm.

- Darah Marah, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1973, 61 hlm.
- Seperti Angin Malam, Kuala Lumpur: Pustaka Zakry Abadi, 1974, 20 hlm.
- Tidak Roboh Kota Melaka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1974, 44 hlm.
- Kuala Lumpur, (antologi bersama), Kuala Lumpur: GAPENA, 1975, 57 hlm.
-

Bila Kita Berbicara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Ikatan Sastera Universiti Malaya, 1976, 115 hlm.

- Gada-gada Merah, Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd., 1978, 110 hlm.
-

Puisi-puisi Nusantara (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981, 294 hlm.

- Tinta Pena (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1981, 631 hlm.
-

Lagu Kehidupan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1983, 302 hlm.

- Saat Sebelum Berangkat, Kuala Lumpur: Media Intelek, 1983, 56 hlm.
- Bahasa Alam (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., 1983, 108 hlm.
-

Bintang Mengerdip (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 75 hlm.

-

Titian Laut (Peny. Bersama Ismail Hussein), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1984, 431 hlm.

-

Bunga Gerimis (antologi bersama), Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. 1986, 132 hlm.

- Puisirama Merdeka (antologi bersama), Kuala Lumpur: PENA, 1986, 141 hlm.
-

Kumpulan Sajak-Sajak Hadiah Sastera 1971-73 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, 129 hlm.

-

Kumpulan Puisi Malaysia 1975 – 1985 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988, 167 hlm.

-

Puisi Baharu Melayu 1961 – 1986 (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, 941 hlm.

-

Malaysia dalam Puisi (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, 316 hlm.

- Suara Rasa (Voice From Within) (antologi bersama), Kuala Lumpur: Maybank, 1993, 228 hlm
-

Puisi-puisi Kunjungan (antologi bersama), Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1995, 253 hlm

- Sajak-sajak Tangkai Padi, Kuala Lumpur: GAPENA, 1966, 100 hlm.


Kajian
-

Sari Sejarah Kesusasteraan Malaysia-Indonesia (bersama Azran Rahman dan Amida Abdul Hamid), Kuala Lumpur: Penerbitan Adabi Sdn. Bhd., 1979, 320 hlm.



Esei/Kritikan
-

Warisan Sastera Pulau Pinang (antologi bersama), Kuala Lumpur: Biro Penerbitan GAPENA, 1985, 190 hlm.


Dikemaskini pada 25 Nov 2008
dipetik dari http://dbp.gov.my