Dari Semenanjung ke Ayutthaya

TERSANGKUT DI AWAL PERJALANAN

Aku sudah mula naik rimas dengan keadaan ini, sudah begitu lama di sini tetap tidak dapat menyelesai masalah yang tidak di duga sejak awal kami cuba melepasi tempat ini.

Aku bukan setakat rimas dengan kerenah yang ada tetapi bertambah rimas apabila melihat rakan-rakan yang lain terpaksa menanti sejak awal tengah hari membawa ke petang dek kerana menunggu aku dan Anas menyelesaikan masalah kami di sempadan ini.

Rasanya, rakan-rakan lain sudah naik jemu mundar mandir di pekan kecil ini, pekan Danok, setelah hampir 5 jam tersangkut di sini kerana kenderaan pacuan empat roda aku dan Anas bawa tidak dapat melepasi sempadan kerana dokumen kederaan yang tak lengkap. Puas kami mencari akal dengan bantuan rakan-rakan lain agar dapat menyelesaikan masalah kecil ini. Hanya kerana tuan nama kenderaan dalam grannya tidak menyediakan surat kebenaran melepasi sempadan.

Nampaknya, seolah rakan-rakan yang lain semua dah jemu sangat dengan situasi ini, pakat semuanya melepak di kedai Tom Yam behampiran dengan pos imigresen Thailand. Mereka sudah makan, minum dan makan dan minum, akhirnya ada yang terlentuk di meja makan dengan harapan apabila terjaga nanti semua masalah selesailah sudah.

Rasanya pasukan yang melalui jalan ini pada tahun 1820an dulu tidak pernah merasai masalah dan kerenah seperti yang kami lalui ini. Rasanya Sheikh Abdul Samad Palembang, Panglima Muhammad Ali, Panglima Ismail, Tok Morris, Tengku Muhammad Saad dan rakan-rakan yang lain pasti tidak mengalami masalah seperti ini ketika mereka melepasi di bukit kayu hitam ketika menghambat angkatan Thai ketika dalam peperangan ‘Perang Musuh Bisik’.

Tentu mereka akan ketawa dan merasa hairan sekiranya kami ceritakan masalah ini kepada mereka. Mana tidaknya, Danok, Satun sehinggalah ke Ranong di Segenting Kra masih dalam jajahan pemerintahan Kedah ketika itu.

Sempadan kita semenanjung berada di atas Ranong sana, diberikan pada orang Melayu semenanjung untuk tadbir dek kerana Sultan Muhammad Jiwa telah berkahwin dengan Paduka Bonda, anak raja Ayutthaya satu masa dahulu.

Jadi mereka –mereka pada zaman itu tidak punya masalah dokumen untuk melepasi sempadan. Mana ada surat beranak, kad pengenalan apa tah lagi paspot untuk ke mana mana di bumi Allah ini. Malah sempadan Benua Melayu pada ketika itu adalah mengikut pertuturan bahasa, amalan budaya dan kuasa pemerintahannya. Tidak pernah mengikut garisan sempadan di dalam peta di atas kertas semata-mata.

Tetapi mungkin juga hulubalang yang mempertahankan bumi semenanjung pada ketika perang musuh bisik itu dahulu akan maki hamun kita anak-anak Melayu pada zaman moden ini kerana tidak pernah mahu memahami dan meneruskan perjuangan mereka selama ini.

Mereka korbankan segala keindahan duniawi yang ada ketika itu, meninggalkan harta benda, keluarga dan pekerjaan kerana turut bersatu dan berhimpun di pulau empat beradik, Pulau Songsong, Pulau Bunting, Pulau Bidan dan Pulau Telor di Yan, Kedah. Di pulau inilah hulubalang-hulubalang Melayu yang datang dari seluruh pelusuk benua Melayu, berlatih dan menyusun strategi untuk menghalau angkatan Thai yang telah menakluk bumi Kedah pada tahun 1821 agar pulang ke negeri sendiri. Agar umat Melayu yang berada di semenanjung kekal dengan amalan Melayu dan Islamnya. Maka Kedah pada ketika itu telah diistiharkan sempadan dan medan peperangan Jihad fi sabilillah mempertahankan Islam daripada lenyap di bumi semenanjung ini.

Syukor kita pada hari ini, umat Melayu di semenanjung yang bersempadankan dari Perlis, Kedah dan Kelantan masih menjadi mejoriti beragama Islam. Kita terselamat, tidak seperti umat Melayu di utara semenanjung seperti di Krabi, Phatalung, Puket, Ranung, Chaya dan lainnya agak ramai telah gugur Melayu serta Islamnya dek kerana terjajah oleh pemerintah yang beragama lain.

Malah bukan di utara semenanjung Melayu ini saja telah hilang ketuanan asalnya, kerajaan Ayutthaya yang pada asalnya di bawah pemerintah seorang raja Islam akhirnya turut hilang identiti Islamnya bertukar menjadi kerajaan penganut agama Buddha setelah jatuh ke tangan Bangsa Sokhothai rakan bantu kepada angkatan Burma.

Segala perstiwa yang berlaku sebelum 190 tahun yang lalu ini tidak pernah secara jelas di ceritakan oleh nenek moyang kita dahulu. Ibarat bangsa Melayu ini bagai bangsa yang dayus dan tidak pernah mempunyai tokoh dan hero yang tulin dalam mempertahankan Bumi Melayu atas nama Agama dan Bangsa.

Inilah yang membuat aku serta rakan-rakan yang tersangkut di Danok bertambah risau kerana perjalanan kami menuju ke Ayutthaya tersangkut di sini dek kerana kerenah di pos imigresen Thailand. Terasa ruang waktu 10 hari cuba menjelajah bumi Siam melihat kehidupan bangsa Melayu tinggalan dari kesan perang musuh bisk akan terjejals kerana telah bermula dengan kepayahan, namun usaha tetap diteruskan dan keputusan terakhir sekiranya tidak dapat juga membawa kedua kenderaan kami melepasi sempadan, adalah meninggalkan kedua kenderaan kami di sebelah Malaysia dan meneruskan perjalanan dengan 4 kenderaan lain.

“Okey, kita boleh gerak sekarang”, arahan datang dari Zainon yang baru menyelesaikan masalah kenderaan kami di pos imegresen. Aku dan Anas tersenyum gembira apabila melihat rombongan Zainon berserta Nik, Adnan dan Nazri yang masing-masing berwajah riang sambil menceritakan pengelaman mereka dalam menyelesaikan masalah dokumen kenderaan kami.

Rakan-rakan yang lain turut berkumpul setelah mendapat berita baik selepas hampir 6 jam menunggu. Wajah masing-masing kembali cerah kerana perjalanan kami ke Pulau Koh Klang di Krabi, destinasi seterusnya akan menjadi kenyataan.

Turut tersenyum lebar tampak di raut wajah wartawan dan jurufoto Berita Harian, saudara Shaarani dan Pak Ya serta saudara Herman dari majalah Realiti.

“Okey, rakan-rakan konvoi. Kita akan bergerak sekarang ke Koh Klang kerana penduduk Melayu di sana telah menanti kita, makanan telah lama disediakan untuk kita sejak tengah hari tadi dan malam ini kita kan berkampung di sana”, pengumuman ketua konvoi kami, Ustaz Zaid melalui radio amatur dari kenderaannya.

“Radio cek dari kenderaan lead” Zaid meneruskan

“Bangau cek” Balas Tazmizi yang lebih di kenali sebagai ‘bangau’.

“K1 cek” oleh Chip atau nama sebenarnya Saiful Affendi

“K2 cek” dari Dalim

“Zaki cek” oleh Zaki dari kenderaan Hariri

“okey sweeper cek, semua konvoi nampaknya telah bersedia sekarang dan lead kita boleh rolling sekarang, over and standby” makluman dari aku sebagai sweeper konvoi kali ini.

“Okey konvoi, kita roliing sekarang” arahan dari Zaid sebagai kepten konvoi ekspedisi ‘dari Semenanjung ke Ayutthaya’ bermula tarikh 12 sehingga 21 Februari 2010.

Maka 6 buah kenderaan pacuan 4 roda dari anggota Blackwind Adventure Team yang telah memulakan perjalanan sejak semalam dari Kelang, Selangor telah dapat meneruskan perjalanan setelah tersangkut di Danok hampir 6 jam yang lalu.

Seterusnya ke Pulau Koh Klang……..


Rentas 7 Negara - Jejak Warisan Jawi 2011




FALSAFAH TERSIRAT BUNGA TERATAI :

Bunga Teratai (Nymphaea famili Nymphaeaceae) sering dikelirukan dengan bunga Seroja.Seroja memiliki tangkai bunga tegak dan bunganya tidak mengapung di permukaan air, sebagaimana pada teratai.Pada zaman dulu, orang memang sering mencampuradukkan antara tanaman ‘genus Nelumbo’ seperti seroja dengan ‘genus Nymphaea’ (teratai). Pada bunga jenis Nelumbo, bunga terdapat di atas permukaan air (tidak mengapung), kelopak berwarna merah (teratai berwarna putih hingga kuning), daun berbentuk lingkaran penuh dan rimpangnya biasa digunakan.Jika Seroja amat rapat dalam menerangkan pencerahan dan kebijaksanaan dalam agama Buddha,apabila umat Melayu menerima Islam,bunga Teratai menjadi ganti menerangkan falsafah yang kompleks.

Bunga Teratai menjadi perlambangan kepada ajaran Islam dan konsep ketuhanan sebagaimana kajian seorang pengkaji,Abdullah Bin Mohemed (lahir 1931) tentang konsep bunga Teratai di Alam Melayu:

Bagi tingkat ketuhanan tangkai adalah adalah lambang Zat Allah yang kuat berpegang kepada sekuntum bunga. Zat Allah yang dimaksudkan ialah Zat Allah yang berada pada “Tingkat al-Ahadiyah”. Bila terjadi perdampaan di antara dua sifat Jamal dan Jalal maka lahirlah seketul “kudup” bunga teratai, Ketika ini tangkai itu menjadi ghaib dan wujudnya bersama kudup.

Kudup adalah melambangkan “Hakikat Muhammadiyah” yang mula-mula lahir dalam alam hakikat, sebelum lahirnya hakikat-hakikat segala sesuatu. Sebagaimana pada diri Hakikat Muhammdiyah terhimpun hakikat-hakikat segala sesuatu, begitu juga pada kudup yang kuncup itu terhimpun segala kelopak, stamen, rahim bunga, stigma dan lain-lain. Selepas segala kelopak berkembang, segala stamen terbuka dan segala-galanya wujud beberapa banyak, menjadi sekuntum bunga yang berkembang. Bunga yang berkembang dari hakikat-hakikat segala sesuatu yang terkeluar dari diri Hakikat Muhammadiyah.

Bagi lambang kejadian alam dalam tingkat kealaman, menurut Abdullah, zat Tuhan kepada tangkai adalah sifat alam kejadian, apabila berlakunya kejadian maka lahirlah kudup bunga teratai. Ketika itu tangkai akan ghaib dan wujud bersama kudup. Kudup adalah melambangkan manusia atau alam kecil yang mula kelahiran sebelum lahirnya alam besar. Bagi tingkat kealaman ini Kudup bunga adalah sebagi lambang ‘Nur Muhammad’. Sementara Sekuntum bunga teratai yang berkembang adalah sebagai lambang alam besar. Setiap kelopak bunga itu adalah melambangkan tiap-tiap peribadi makhluk.

Abdullah juga dalam kajian falsafah Teratai menyatakan bahawa bunga teratai adalah lambang kejadian alam dan lambang bentuknya adalah suatu amalan tradisi yang lama dalam masyarakat Melayu. Penggunaan motif atau bunga teratai digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Menurut beliau sejak zaman raja Ahmad bentuk bunga teratai digunakan dalam upacara tradisi dan mempunyai makna-makna tertentu.

Banjir Lagi di Kampung Ku




Beginilah keadaannya... Bah mai dan pi, sejak dari dulu sampai la ni.. macam tu lah keadaan di tempat tumpah darah ku ni.

Bila saja aku dengar berita ni, aku cuba hubungi saudara mara yang masih setia menjadi penjaga di tanah hak keturunan kami, sebidang tanah yang terletaknya sebatang sungai besar di belakang tanah ini dan mengadap sawah bendang di hadapannya.

Tanah pusaka ini telah diterokasi oleh moyang aku, Tok Sudin setelah merajuk lalu bawa diri dari Istana Bukit Pinang. Entahlah apa yang dia ni merajuk sangat sehingga sanggup bawa anak bini memugar tanah di kawasan Titi Baru ni.

Saudara mara aku telah beberapa hari berpindah dan di tempatkan di masjid, kawasan yang agak tinggi setelah hujan lebat turun tanpa henti berhari yang lalu. Berginilah nasib mangsa-mangsa banjir terpaksa hadapi bencana ini dan terkadang terasa juga sedih di hati memandangkan harta benda akan rosak segala.... Apa pun mereka ini terpaksa juga lalui dan dengan harapan padi musim akan datang menjadi sakan agar dapat memulihkan keadaan.

Tahun ini bukan setakat banjir saja melanda tanah air kita, malah telah di selang selikan dengan ribut dan puting beliung. Anak-anak tanah air ini harus tabah dan sama-sama berkeyakinan bahawa esok pasti cerah semula dalam kehidupan.

Benarlah bagai kata orang arif bahawa "sesuatu kurnia akan diterima oleh orang-orang tertentu sahaja, sesuatu bala akan diterima oleh ramai orang".



Panglima Ishak Itam

KU TEMUI SEORANG PANGLIMA DALAM DIRI SEORANG GURU




Sekiranya kita kenal benar dengan diri YM Tuan Haji Ishak bin Itam dan setelah diteliti sejarah perjalanan hidup beliau dari muda sehinggalah ke hari ini... maka pengorbanan dan tanggungjawab beliau selama ini terhadap bangsa Melayu telah mengiktirafkan beliau sebagai Hulubalang Bani Jawi dengan gelaran Panglima Ishak Itam

KE MANA HILANG ISTIADAT HULUBALANG MELAYU (II)

KU TEMUI DI ANTARA NAMPAK DAN TIDAK (II)

Sambungan dari [click] Upacara kedua ...

Setelah beberapa purnama berlalu, setelah puas menghasilkan beberapa bilah senjata mengikut segala syarat dan petua sebagai pakaian hulubalang, mereka memutuskan untuk bersiap semua peralatan adat untuk mengadap YM Ayahanda Guru secara beradat Hulubalang Melayu.

Tepak sireh sudah pun disusun rapi perkakasnya, berikat kain merah, bersimpul ‘undang’, terletak di atas dulang dan kepala tepak menghala ke arah tuju sebagai penanda ‘kepala adat’. Begitulah juga dengan senjata ‘lading’ telah kemas tersusun melintang di atas dulang beralaskan ‘sejadah’. Dan sedulang lagi tersusun pula senjata ‘wali jantan’ dan ‘badik teruna’ sebagai pakaian sikembar parang lading.

Mereka tiba pagi itu mengikut rencana yang telah ditetapkan oleh Ayahanda Guru. Mereka lengkap berpakaian tradisi Melayu dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki. Langkah permula turun dari rumah cukup pula dengan syaratnya seperti pesan-pesan yang telah di beri.

Waktu dan ketika yang dinantikan telah tiba, setiba mereka itu berdiri di hadapan rumah Ayahanda Guru dengan keadaan sedikit gementar kerana upacara sebegini belum pernah sama sekali di lalui oleh mereka-mereka itu.

Entah apa dan entah bagaimana agaknya upacara ini akan berlaku mengikut aturan Guru. Tidak siapa pun tahu kerana mereka juga tergolong di antara anak-anak Melayu yang daif tentang istiadat para Hulubalang Melayu.

Apa pun waktu tidak mengizinkan mereka itu berfikir panjang melayan lamunan dan perasaan kerana mereka telah agak lama tercegat di hadapan pintu rumah Ayahanda Guru. Mahu atau tidak mahu, lafas salam terbit dari salah seorang dari mereka itu.

Lafas salam hanya sekali terbit dan tanpa sempat untuk diulang, pintu rumah di buka lembut oleh isteri Ayahanda Guru dengan sambut jawaban salam yang telah diberi. Tanpa sempat bertanya khabar pada bonda Radziyah, isteri guru, mereka di minta menunggu sebentar di luar rumah dan dengan lekas pintu ditutupkan kembali tetapi tidak lah rapat. Mereka faham isyarat itu, mereka faham ada sesuatu yang masih belum selesai di dalam dan mereka harus menunggu buat seketika waktu….. Ini lah yang membuat mereka semakin gelabah dan gementar…. Apa sebenarnya akan berlaku pada pagi itu. Adakah mereka akan berlaku songsang dalam upacara istiadat hulubalang Melayu? Satu pertanyaan sesama mereka yang sempat dibicarakan sementara menanti kedatangan seterusnya menjemput masuk ke dalam rumah.

Bonda Radziyah muncul sekali lagi dan membuka dua kelopak pintu luas-luas seraya menjemput masuk. Mereka cepat-cepat bersalaman dengan bonda walaupun agak kekok kerana mereka bertiga dalam keadaan menatang dulang membawa perkakas.

Lalu bonda berlalu pergi ke arah kamar dengan berpesan bahawa ‘Pak Ak’ iaitu ayahanda guru akan keluar sebentar saja lagi. Mereka sahut pesan itu hanya dengan anggukan sahaja kerana tiada ayat yang sempat terbit dari mulut mereka, mungkin kelu seribu bahasa.

Tiba-tiba ayahanda guru muncul dari kamar dan mereka terkejut sungguh, tergamam, semakin kelu dan mata masing-masing luas terpaku kepada guru mereka, seorang Hulubalang Melayu yang sedang melangkah tertib menuju ke arah mereka, lengkap berpakaian serba kuning, kain tenunan songket dan lengkap bertanjak dan senjata keris tersisip di celah bengkung kain sampin dan hulu berisyaratkan ‘perang’.

Belum sempat guru rapat tiba, dia telah memberi isyarat agar duduk dalam suasana dan bahawa istiadat hulubalang Melayu sempena penyerahan senjata sipemakai para hulubalang telah bermula…….

[akan bersambung]

Menamakan Siapa Pengganti!

[bersambung dari 'mencari izin untuk berguru']Link

Salam aku telah disambut oleh guru dengan pertanyaan mesra, “hang mai dari mana Pon?”. Segera aku menjawab, “saya baru sampai dari Penang Pak Ak, mai dari rumah Pak Harun Long di Sg Dua”. “Emm apa khabaq orang tua tu?” soalan seterusnya dari Pak AK. Dan jawab aku ringkas, “baik Pak Ak”.

Setelah bertekap duduknya aku ini, aku mula membuka bicara kepada guru menyatakan hasrat memohon izin dari Pak Ak untuk berguru dengan Pak Harun. Aku mengesot ke arah Pak Ak dan duduk bersila sehala kedudukan berhadapan guru seolah lutut bertemu lutut megikut adabnya, lalu membuka bicara pohon izin.

Pak Ak memang teliti mendengar permohonan aku dan seraya memberi izin, “Saya izinkan hang berguru dengan Pak Harun, pi lah belajaq” kata Pak Ak. Aku sambut izin itu dengan terima kasih dan sambung bicara, “Dia nak uji bacaan fatihah saya dulu Pak Ak, jadi saya nak baca yang macam mana?”. “Bacalah yang kita bawa tu” ringkas jawab Pak AK. “Baik lah Pak Ak dan terima kasih” sambung aku juga ringkas dengan rasa lapang dada kerana mendapat keizinan guru untuk berguru. Lalu aku terus mengesot ke belakang semula setelah selesai hajat bersama guru dan dalam kotak kepala aku terbayang pula akan Pak Harun yang sedang duduk di atas kerusi sofa menegur-negur bacaan anak-anak murid mengajinya. Pak Harun ni adalah bekas Qori Al-Quran dan sekarang ini turut mengajar anak-anak di kampungnya belagar al-quran disamping menjual ubat tradisional, semestinyalah dia mahu anak muridnya pandai dan betul dalam membaca al-quran dan mungkin sebab itulah agaknya dia mahu menguji aku dalam bacaan Al-Fatihah.

“Pak Harun tu dulu nak perturunkan amalan permohonan dia ku kat saya, tapi saya mana lah boleh bawa macam dia tu, panjang sangat. Memang dia tersusun satu persatu tetapi panjang sangat, mana sempat saya nak bawa selepas magrib sebab nak keluar pi buat ijazah” cerita Pak Ak mengenai pakaian Pak Harun ketika dia pernah berubat dengan Pak Harun satu ketika dulu. “Hang ambik la, elok tu. Saya dah jadi guru silat cekak ni mana sempat lagi nak bawa amalan macam Pak Harun tu”. Sambung Pak Ak sebagai pesan kepada aku. “Saya hanya nak belajar buat ubat-ubat tradisional je Pak AK” aku cuba menjelaskan hasrat sebenar aku berguru. “Tak pa, hang belajar lah” sambung Pak Ak.

Tiba-tiba suasana diam seketika..

“Emm depa ni nak saya namakan pengganti…” Pak Ak memecah suasana diam seketika itu tetapi ayatnya terputus. Aku jadi bingung sebab bicara Pak Ak tidak langsung merujuk kepada perbualan kami tadi. “itu bukan kerja saya, tugas saya jadi guru bukan menamakan siapa pengganti!” tegas pula ayat-ayat guru aku kali ini. Aku mula mengerti apa yang cuba disampaikan oleh Pak AK, ini mesti berkaitan dengan pertukaran perlembagaan persatuan dalam tatacara menamakan guru penganti.

“habis tu macam mana Pak AK?”
satu pertanyaan aku yang sebenarnya aku sendiri tak tahu apa yang patut aku sambut kata-kata guru tadi walaupun aku tahu hal sebenarnya tajuk bicara. “Ajk Pusat ingat ini kerja saya kot, sapa nak ganti saya bukan kerja saya dan saya tak ada hak…” terputus setakat itu penjelasan Pak AK. “Saya tau juga hal ini sebab Mala ada terangkan pada saya hari tu sebagai cadangan dimasukkan dalam perlembangaan” aku cuba menerangkan pula pada guru apa yang telah diterangkan pada aku oleh si Mala, peguam dari Zaki & Co. yang bertugas dalam kes kemelut 1993 PSSCM. “kita akan ikut je kalau itu baik bagi persatuan, tapi saya nampak ini masalah nanti masa depan”, sambung Pak Ak ringkas dalam nada yang sangat perlahan.

Aku jadi bisu tanpa bicara. Keadaan pun jadi serba diam sekali lagi.

Tiba-tiba kelihatan beberapa tenaga pengajar masuk ke dalam dewan menghala tujuan ke arah kami. Aku cepat-cepat memohon izin dari guru untuk keluar kerana memberi laluan kepada rakan-rakan lain bersama guru seketika sebelum majlis ijazah malam ini bermula.

Aku melangkah keluar dewan dengan rasa gelisah berkongsi bersama gelisah guru tadi.....

'1wasilah'

Tahniah! Tahniah dan Tahniah!!! Langkah pertama projek '1wasilah' berjaya dilaksanakan semalam 31hb Julai 2010 @ Semenanjung, majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YM Raja Ahmad Aminullah. Persembahan yang cukup baik oleh semua peserta yang terdiri dari anak-anak muda yang menjadikan perjuangan memperkasakan Agama, Bangsa dan Tanah Air sebagai satu jalan utama dalam hidup mereka melalui lagu dan puisi dalam projek '1wasilah'. Tahniah sekali lagi! Syabas dan terima kasih! Turut ribuan terima kasih kita kepada rakan media dari Berita Harian dan Sinar Harian yang turut membuat liputan bersejarah ini. 10 lagu dipersembahkan dimulai dengan persembahan kumpulan nasyid 'alam ghaib' oleh pelajar sekolah menengah Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan diikuti pula lagu 'Salam' hasil ciptaan isney & aery berlirikan puisi ciptaan YM Raja Ahmad. Lagu seterusnya dipersembahkan hasil ciptaan sendiri peserta ialah '1wasilah', 'Perang Musuh Bisik', 'Kawan', 'Sekebun Bunga', 'Ratna Sari', 'Randai bersama Radziyah' - khusus untuk Mak Tam seorang isteri pejuang bangsa, 'Helah Manusia' dan lagu penutup terai ialah sebuah lagu yang cukup menghiburkan semua hadirin iaitu 'Dongeng Tok Chai Tu'.

ikuti berita selanjutnya di '1wasilah' blogspot







Antara lagu-lagu yang didendangkan pada malam itu ;

‘Salam’ : Kisah para perjuang kebenaran yang telah direhatkan, pada satu ketika dianggap penderhaka dan di masa akan datang pula akan dianggap berjasa.

Lagu ciptaan : coffeecandy & Daud Ismail / Lirik : (Puisi) Raja Ahmad Aminullah / Nyanyian : Coffeecandy / (click nyanyian)

‘1wasilah’ : Merapatkan kekuatan bangsa agar tidak dijajah lagi dengan merujuk kepada sejarah silam Tanah Air. Bangkit dengan semangat dan ilmu yang seharusnya ada di setiap anak bangsa.

Lagu ciptaan / Lirik / Nyanyian : Gitar Tua

‘Perang Musuh Bisik’ : Pada tahun 1821 tanah bumi Kedah telah dijajah oleh pihak luar secara berpakat dengan bangsa penipu. Ketika itu bumi Melayu jadi tidak bermaya sehingga rakyat tidak dapat keluar ke mesjid kerana takut pada musuh. Akhirnya dengan pakatan dari seluruh nusantara menentang musuh telah berjaya kita mengusir musuh keluar dari negeri.

Lagu ciptaan : Coffeecandy & Daud Ismail / Lirik : ponpakya / Nyanyian :
Coffeecandy / (click nyanyian)

‘Kawan’ : Ikatan persahabatan yang seharusnya tidak memperdulikan pahit maung kisah yang lalu, seharusnya bangkit berpakat saling bantu membantu sesama diri untuk terus maju.

Lagu ciptaan / Lirik / Nyanyian : coffeecandy

‘Sekebun Bunga ‘ : Bukan senang jadi ‘sekuntum bunga’, bukan senang jadi ‘sekebun bunga’, bukan senang menjadi ‘pekebun’. Jika saya ‘sekuntum bunga’, mummy-lah sekebun bunga, dan daddy-lah pekebun yang memastikan segalanya sempurna..

Lagu ciptaan : Shazana Rahayu

‘Ratna Sari’ : Mencari seorang gadis sebagai teman hidup adalah terlalu mudah akan tetapi mencari seorang yang sempurna yang dapat menyinari kehidupan bersama adalah terlalu sukar. Ratna Sari digambarkan sebagai gadis itu, membawa kesucian dalam diri yang sukar dimiliki.

Lagu ciptaan / Lirik / Nyanyian : Akmal Hakim

‘Randai bersama Radziyah’ : Radziyah merupakan seorang isteri kepada seorang perjuang bangsa yang sentiasa bersama suaminya biarpun begitu payah dalam kehidupan pada peringkat awal. Kesetianya menjanjikan kesejahteraan akhirnya.

Lagu ciptaan : CoffeeCandy / Lirik : CoffeeCandy & isa sulaiman / Nyanyian : Coffeecandy / (click nyanyian)

‘Helah SiManusia’ : Menjemput mengisi kehidupan dengan matlamat yang jelas tanpa memberi alasan.

Lagu ciptaan / Lirik / Nyanyian :
coffeecandy / Nyanyian : Coffeecandy / (click nyanyian)

‘Dongeng Tok Chai Tu’ : Sejak dari zaman dahulu kita menyaksikan ketidak hirauan bangsa kita tentang penjajahan minda, tanah air serta budaya. Kita biarkan sahaja selagi kepentingan kita tidak tergugat. Apakah kesudahan cerita ini.

Lagu ciptaan / Lirik / Nyanyian :
nevermind / Nyanyian : nevermind / (click nyanyian)





Mencari izin guru untuk berguru

Aku tetap tidak pernah lupa akan kata-kata ini :

'kalau kita ni dah berguru, nak pi berubat pun kena minta izin'.

Itu lah yang membuat aku mengadap guru ku Tn Hj Ishak Itam untuk memohon izin untuk berguru dengan Pak Harun Long.

Pada mula aku cukup tak yakin dengan ubat yang diberikan pada aku ketika aku bertandang ke rumahnya kira-kira 20 tahun yang lalu bersama dengan Pak Su Man. Apa tidaknya, aku menangung derita sakit ini selama lebih 9 tahun, tetapi Pak Harun hanya beri aku ubat tradisional yang telah dikapsulkan. "betui ka boleh baik ni" bisik hati aku dengan kurang yakin pada apa yang telah aku beli dari Pak Harun. Namun atas adat berubat, aku makan saja lah seperti pesan Pak Harun, iaitu 3 biji sebelum tidur dan 3 biji selepas bangun tidur.

Aku jadi hairan! Aku Terkejut! 9 tahun aku deritai sakit ini, tiba-tiba 3 hari sahaja aku perasan bahawa derita yang aku tanggung telah hilang segalanya. Ajaib! ramuan apa yang Pak Harun pakai ni? Terus aku merasaka bahawa sekiranya ilmunya ini tak diwarisi maka satu hari nanti pasti hilang di telan zaman.

Segala hasrat dan tujuan telah aku sampaikan pada Pak Harun. Setelah berfikir sejernak maka Pak Harun menjawab serta memberi syarat, "Ubat-ubat ni saya pelajari dari banyak guru, merata saya merantau sejak muda dan akhirnya saya dok rumah saja dan buat ubat. Orang mai ambik kat rumah dan saya tak payah-payah keluar pi jual ubat" seterusnya "saya tanggung anak bini saya dengan ubat-ubat ni lah saja", aku diam tanpa mahu meyampuk. Pak Harun teruskan lagi kisah ubatan "saya setuju nak agar tapi ada syaratnya, saya nak uji dulu fatihah kamu, dan kalau nak berniaga ubat ni hanya jangan berniaga dari Sungai Petani sehingga ke Ipoh, sebab ini kawasan saya niaga ubat ni dan saya minta RM500.00 sebagai tukar ganti dengan ilmu ubat-ubat yang saya agar". Jelas Pak harun dengan sejelasnya.

Aku setuju sangat dengan syarat Pak Harun tu. Bagi aku kalau aku dapat belajar satu ubat yang aku telah pernah gunakan pun dah cukup dengan segala syaratnya itu. Bukan mudah nak jumpa ilmu ubatan seperti ini, ya lah 9 tahun menderita sakitnya tapi baik pulih seperti sediakala hanya dalam 3 hari sahaja.

Aku pulang dari Sg Dua petang itu dengan perasaan yang cukup gembira kerana Pak Harun telah bersetuju menerima aku sebagai murid pertamanya dalam ilmu ubatan tradisional, cuma sekarang aku perlu bertemu guru aku, Pak Ak agar mendapat izinya pulak. Maka kereta aku pandu agak sedikit laju kali ini pulang ke Shah Alam, mengejar waktu agar bertemu dengan Pak Ak di seksyen 18 pada malam nanti kerana menghadirinya dia pada satu majlis ijazah silat.

Bagi aku, kalau diperkenankan oleh ayahanda guru iaitu Pak Ak maka boleh lah aku berguru pulak dengan Pak Harun Long dalam seni perubatan Melayu tradisional. Begitulah seperti aku mempelajari seni silat tari Cemandi dahulu dari Wak Koso, setelah aku memohon izin dari Pak Ak untuk aku memperlajari seni silat tari ini. Pak Ak memang sarankan sangat-sangat agar anak Melayu belajar seni silat tari ini agar dapat kekalkan budaya Melayu supaya tidak hilang di telan zaman. Tapi, Pak Ak izin dengan bersyarat, "Hang belajaq seni tari cukup lah, tak payah buah-buah silat sebab buah2 silat kita dah cukup. Belajaq tari supaya kita boleh buat sembah tari silat di majlis-majlis, kita orang silat kenalah tau tari silat juga" syarat dari Pak Ak aku dengar dengan teliti. "Cakap kat Wak Koso tu jangan buat upacara buka gelangang, kita nak belajar tari sahaja" sambung syarat utama Pak Ak agar aku sampaikan pada Wak Koso.

Wak Koso memang setuju benar dengan syarat-syarat oleh guru kita itu kerana Pak Ak itu adalah guru beliau juga. Wak Koso seorang guru silat Cemandi yang telah tamat silat cekak di zaman Pak Ak setelah diajak masuk belajar silat ini oleh anak murid Wak Koso sendiri. Demi kasih pada bangsa dan budaya silat yang berseni, Wak Koso belajar silat cekak ini walaupun telah sudah bertaraf guru silat di usia yang agak lanjut ketika itu. Kira-kira pada tahun 1990.

Pada masa aku pelajari silat tari dengan Wak Koso ini bersama 4 orang rakan lain termasuk Saiful Affendi, Syamsul, Mahathir dan arwah Pak Hashim, Wak Koso hanyalah seorang tukang gunting rambut di Pasar Jawa, Klang. Kami belatih seminggu sekali sahaja dan pada setiap kali kelas, kami sering diperhatikan oleh anak lelaki Wak Koso sambil senyum-senyumnya melihat gelagak dan gerak kaku kami. Kami berlatih di waktu malam dan pertemuan kami lebih banyak berbual tentang cerita silat dari membuat latihan dan di setiap penghujung kelas kami kerap didendangkan dek gesekan biola lagu-lagu Melayu asli oleh Wak Koso sendiri. Hari ini Wak Koso tidak lagi mengajar silat ini dan telah di sambung oleh anak lelakinya kalau tidak salah aku dan dengar khabarnya jarang-jarang sekali mengesek biola kerana Wak Koso telah menaruh masa sepenuhnya kepada tugasnya sebagai iman di mesjid (hijau) di jalan ke Kapar.

Aku tiba di dewan Tadika Kemas di seksyen 18 hampir jam 8.45 malam, aku perasan pak Ak sudah pun sampai dan baru saja masuk dewan dan belum lagi sempat duduk bertekapnya di dalam dewan. Aku bergegas masuk ke dalam dewan dengan bersalam-salaman ringkas pada sesiapa saja yang ada di antara langkah aku ke dalam dewan. Gerak aku agak cepat kerana ingin mengambil peluang segera untuk bicara dan pohon perkenan guru untuk berguru pada ketika masih belum ada yang datang duduk bersama guru dalam dewan ini.

[bersambung di 'Menamakan Siapa Pengganti']

Mencari ubat dan ketemui lading

Sekali lagi pada selasa lepas aku bergerak ke Bukit Mertajam untuk mengziarahi ayahanda guru aku Tn Hj Ishak. Kali ini bertemankan saudara Isa Sulaiman. Kehendak tuhan begitulah keadaan ayahanda guru, yang masih belum pulih sepenuhnya. Maka aku kurang berbual dengan ayahanda dan meluangkan waktu aku hanya berborak dengan Mak Tam, isteri tercinta ayahanda guru.

Hampir dua jam aku di sana, setelah selesai bersembangan pada apa yang perlu disembangkan, aku melangkah gerak ke Sg Dua pula, ke rumah arwah Harun Long pulak. Sudah lama aku tak ke sana, sudah lama aku tak ziarah anak-anak Pak Harun Long ini.

Dulu aku kerap ke sana, boleh dikatakan tiap-tiap minggu aku berulang alik dari KL ke Sg Dua, selama hampir dua tahun itu lah jadual aku. Setaip kali ke rumah Pak Harun Long dulunya, aku akan singgah ke rumah Pak Ak juga sekiranya dia berada di BM. Tapi kali ini, aku hanya sekadar ingin mengziarahi anak-anak Pak Harun dan membeli ubat tradisonal untuk seorang rakan.

Setibanya aku di rumah Pak Harun, dengan salam pembuka hebah bahawa aku tiba, aku disambut oleh Aisyah, anak Pak Harun. Kami masuk ke dalam rumah dan mula buka bicara aku pada kak Aisyah dengan pertanyaan khabar sebagai adab bertandang. Dalam bual-bual kami aku terhidu bau seperti ada benda yang terbakar seolah firasat mengatakan datang dari dapur, lantas aku bertanya kepada kak Aisyah, 'bau apa ni" lalu ringkas jawabnya "emm itu ha si Ridzwan tengah buat keris di dapur". Aku jadi teruja lantas bangun dan segera mengatur langkah ke dapur.

Bukan keris rupanya, tetapi lading! Ridzwan adik kak Aisyah sedang membetulkan ulu lading peninggalan pusaka ayah mereka, Pak Harun. Aku memang pernah melihat lading ini dahulu dan dikhabarkan milik si Ismail. Lading ini disorok oleh Pak Harun kerana lading ini dikisahkan telah banyak makan nyawa orang dalam satu peperangan satu ketika dahulu. Pak Harun tak berapa ingat sangat kisah ini tetapi begitulah katanya lebih kurang cerita dikhabar-khabarkan.

Sekarang parang lading ini dijaga rapi oleh Ridzwan, anak Pak Harun yang mewarisi kepandaian ayahnya sebagai seorang Bomoh dan pakar pula membuat senjata Melayu. "Lading ini ada adik beradiknya iaitu sebilah kerambit dan sudang", kata Ridzwan, lalu bangun mencari-cari sesuatu di dalam bilik di bawah tangga rumah itu. "Ini kerambitnya", sambil menghulurkan kerangit itu kepada aku. "sudangnya disimpan oleh Pak Chu" sambung Ridzwan. Memang benarlah bagai dikisahkan bahawa senjata-senjata itu memang lama usianya dan terdapat kesan-kesan darah pada senjata itu.

"Abang datang dari mana?" tanya Ridzwan ringkas "dari Klang, ada kerja sikit kat sini, mai ni anak ambik ubat untuk kawan ha kat kak Aisyah" jawab aku. Ilmu kepakaran membuat ubat tradisional Pak Harun pula diwarisi oleh Aisyah. Apa tidaknya, sejak dari muda lagi, si Aisyah nilah yang tukang ramu ubat-ubat itu sebagai pembantu kepada ayahnya, maka tak heranlah kalau dia sebagai pengganti pembuat ubat tradisional ini setalah pemergian ayah mereka. Hasil ubata-ubat ni lah yang menampung seluruh keluarga Pak Harun sejak dari dulu lagi.

"Kenapa tak buat sendiri" sampuk kak Aisyah yang sedang duduk di sofa menonton TV setelah mendengar kata tujuan aku datang ke rumah mereka. "malas", jawab aku ringkas dan cuba mengelak berbual panjang bab buat ubat ni. "Ayah dah perturunkan semua pada abang kan?" pintas Ridzwan pulak. "emm, jenis malas macam tu lah Ridzwan" jawapan mengelak aku lagi. "saya dah check dah, abang dapat semua dari ayah, banyak doa-doa yang abang dapat" sambung Ridzwan, tetapi aku membisu sahaja. "abang pun kan ambil sendiri dengan Ustaz Ismail...." sambung Ridzwan tetapi aku pontong pantas, "Ustaz Ismail dah tak dak, dah setahun lebih dia meninggal, saya dengar berita ni dari seorang kawan".

Ustaz Ismail merupakan seorang guru pondok di Kuala Pegang, Baling, dan merupakan guru kepada Pak Harun Long. Aku pernah bertemunya sekali sahaja ketika beliau masih menjadi guru di pondok di Kuala Pegang, aku di bawa oleh Pak Harun dengan tujuan untuk memohon izin dari Ustaz Ismail (lebih belasan tahun muda dari Pak Harun) itu agar dapat menurunkan sepenuhnya ilmu yang dipelajari dengan gurunya kepada aku. Setelah lafaz mohon izin itu maka Ustaz Ismail pun bersetuju dan terus bangun untuk mengambil sesuatu dan kemudian kembali kepada kami membawa sekeping kertas. "inilah salasilah ilmu permohonan ni" kata Ustaz Ismail sambil menghulur kertas tersebut kepada aku. Tersentak aku apabila melihat bahawa kertas itu tertera semua nama bersanad dalam ilmu ini. Dan fahamlah aku adab berguru ni, bahawa selagi guru kita masih hidup, hendak perturunkan ilmu pun kena minta izin guru yang sedia masih ada. Dan fahamlah aku lagi, setiap ilmu mesti bersanad.

[akan bersambung]

Mencari Ubat Tapi Ketemu Adab Berguru

Hampir 20 tahun yang lalu....

Satu waktu di tengah hari, aku ke rumah guru kerana ada janji di sana untuk bertemu dengan Pak Su Man.

Memang aku tiba awal dari waktu yang dijanjikan dengan Pak Su mengambil kesempatan pelawaan guru untuk makan tengah hari di rumahnya. Janji dengan Pak Su selepas zohor, bertujuan untuk ke rumah Pak Harun Long untuk mencari penawar akan sakit yg aku hadapi, sakit yang sekian lama aku deritai.

Saranan aku bertemu Pak Harun Long ini pun datangnya dari Pak Su Man sendiri kerana dia pernah menghadapi sakit yang sama selama beberapa tahun juga dan mendapat penawar akhirnya daripada Pak Harun Long.

Saranan aku bertemu Pak Su Man pula datang dari Pak Ak sendiri setelah aku meminta panduan untuk selesaikan masalah sakit aku ini. Pak Ak kenal beberapa orang yang mungkin mampu mengobati aku tetapi merujuk kepada Pak Su Man adalah yang paling elok kerana Pak Su Man memang sembuh melalui penawar Pak Harun Long. Lagi pula Pak Ak kenal akan Pak Harun Long kerana pernah juga berubat dengannya ketika sakit sebelum ke Mekah dahulu.

Setelah sedap makan bersama dengan guru, kami berpindah tempat duduk dari meja makan ke ruang tamu.. Bersembang dan bergebang mengenai pelbagai hal, bersabit tentang berubat, silat melayu dan adab-adab berguru. Sudah pastilah penceritaan Pak Ak ketika itu lebih berkisah hal beliau pernah berubat dengan Pak Haron Long.

Tengah dok syok merenung muka YM Guru dek teruja dengan cerita-cerita beliau, kami di sapa dengan salam oleh Pak Su Man. Janji yang dibuat telah sampai untuk kami tunaikan bersama.

Pak Su Man masuk seketika ke dalam rumah bersalaman mengikut adab dengan guru utama, bercerita-cerita serba sedikit di ruang sembang mengikut adat dan seterusnya meminta izin untuk beralah bersama aku kerana mengejar waktu untuk ke rumah Pak Haron Long.

Melihat Pak Su Man telah pun bersalam dan telah beredar dari ruang sembang dan langkahnya sudah sampai ke muka pintu rumah dengan gelagat matanya mencari kasut sendiri yang tertinggal di muka pintu, aku lalu bergegas menyesot tubuh kehadapan YM Guru untuk bersalam dengan lafas 'saya pi dulu Pa Ak' lalu bibir menyentuh tangan YM Guru.

Lekas-lekas aku bangun setelah adab bersalam terlunas seraya bangun untuk mengejar langkah Pak Su Man tadi. Baru beberapa langkah aku meninggalkan tempat duduk, aku di sapa YM Guru. 'Pon mai sat' panggil guru terhadap ku. Lekas-lekas aku toleh ke belakang, mengerakkan langkah pulang ke guru kerana ada perkara yang guru ingin sampaikan agaknya. Hanya saat sahaja aku tiba dihadapan guru lalu merendahkan diri mengadap guru yang masih duduk di tempat yang sama. Belum sempat punggung ku berlabuh di lantai, guru menghulurkan tangannya seolah syarat untuk bersalaman.

Aku jadi hairan! Baru beberapa saat tadi aku sudah pun bersalaman dengan YM guru sebelum berangkat pergi. Tapi dek kerana guru dah hulurkan tangan maka dengan pantas juga aku menghulur kembali. Semasa menghulur tangan aku cuba mencapai untuk berslaman dengan guru buat kedua kali, otak ku mula memberitahu hati ku mungkin YM Guru tak perasan agaknya bahawa tadi kami sudah pun bersalaman.

'Tak apalah kalau dua kali apa salahnya, mungkin dapat berkat lebih kali ini', gurau sendiri-sendiri dalam hati.

Apabila tangan kami berdua terjabat erat, aku tersentak dengan lafas yang terbit dari mulut YM Guru, 'Pon kalau kita ni dah berguru, nak pi berubat pun kena minta izin'.

Memang tersentak benar hati aku dengan lafas itu. Lantas aku terus memohon izin pinta dari guru tanpa mahu memikir panjang, 'Saya minta maaf Pak Ak, saya kurang arif dalam hal ini, saya tak tahu, saya betul tak tahu adab ni' Lantas aku cepat-cepat sambung 'saya minta izin nak pi berubat dari guru'.

Terasa lega seketika kerana terlunas akan pohon izin seperti pesan gru sebentar tadi. Pak Ak hanya tersenyum sambil memberi izin dan segerah meminta aku lekas-lekas pergi kerana Pak Su Man sudah tercegat beberapa waktu di muka pintu.

Aku lekas-lekas bangun kerana risaukan pula hati Pak Su Man yang agak lama menunggu.

Aku beredar pergi tanpa mahu berfikir apa-apa akan pesan teguran YM guru pada aku tadi kerana selepas selesai nanti urusan dengan Pak Harun Long, aku akan kembali ke rumah guru seperti pakat-pakat kami sebelum ini.

Aku akan mengadap guru semula untuk bertanya dengan sejelasnya akan adab dan syarat berguru agar aku tidak akan tersasul lagi dalam peradaban berguru.

Maka itulah yang berlaku setelah aku bertemu semula disebelah petangnya. Maka baru aku faham bahawa berguru ini banyak tarafnya dan punya adab tersusun mengikut mertabat guru-guru itu tersendiri.

Apa pun yang jelas... teguran Pak Ak tengahari tadi tersangkut di hati ini menjadi perisai dalam peradaban berguru dan menuntut ilmu.

'kalau kita ni dah berguru, nak pi berubat pun kena minta izin'.

Mencari Perjuangan Syahid Anak Melayu

[Ku temui dalam peperangan Musuh Bisik. Tulisan ini adalah sebahagian himpunan karya oleh Dato Ismail Salleh (tokoh Sejarah Negeri Kedah Darul Aman) dalam siri Musuh Bisik yang telah di serahkan kepada Majmak Budaya dan Warisan Jawi untuk di terbitkan ketika beliau masih hidup]

Nota : Perkatan Siam dalam karya ini bermaksud bangsa Thai pada masa itu, zaman peperangan musuh bisik.










SIRI MUSUH BISIK


RAMAI YANG MATI SYAHID

OLEH: ISMAIL BIN HAJI SALLEH

PERTENGAHAN bulan Mac tahun 1839, tentera Siam seramai lima belas ribu orang telah sampai di Kuala Jerlun memikul istinggar-istinggar yang bercap “East india Company”. Orang-orang Siam menggunakan beratus-ratus ekor gajah memikul bekalan makanan, meriam kecil dan ubat bedil.

Sebelum orang-orang Kedah sempat mengkaji dimana letaknya kelemahan mereka, Kota Alor Ganu dan Kota Padang Saujana telah jatuh ketangan orang-orang Siam. Kejayaan ini dapat mengasingkan orang-orang Melayu di Langgar dengan orang-orang disebelah Kuala Kedah. Siam telah menggempur Alor Ganu disebelah malam dan ramailah orang-orang Melayu yang gugur. Seorang daripadanya ialah Panglima Hitam yang dianggap keramat di Padang Saujana. Kuburnya masih menghiasi kampong itu hingga kehari ini. Syed Husin yang menjadi pengharapan Tunku Muhamad Saad di Kota ini telah terkurban bersama-saman enam ratus orang perwira.

Alor Ganu mempunyai beberapa pucuk meriam yang berjasa dan sekarang telah dapat dipergunakan oleh Siam. Dari Alor Ganu Siam menghantar rombongan-rombongan penyerang malam ke Kota Rentang dan Pulau Kerengga, tempat-tempat ini dengan senangnya diduduki Siam dan matlamat mereka hendak merebut Kota Kuala Kedah bertambah mudah apabila Gunung Keriang dapat dijadikan markas yang kedua selepas Alor Ganu. Dari Gunung Keriang mereka melancarkan serangan keatas Kota Kuala Kedah tiap-tiap malam dan berundur semula ke Gunung Keriang di waktu siang.

Sebuah lembaga Buddha tersenyum dipinggir Gunung Keriang dibina oleh tentera-tentera Siam ketika merayakan kejayaan mereka merampas negeri Kedah dari Tunku Kudin dahulu sibuk dipuja semula.

Satu ketumbukan orang Siam dihantar menyerang Langgar dan Limbong melalui Bohor, Lepai dan Sungai Mati. Datuk Lela berjuang mati-matian. Disepanjang-panjang kota dari Limbong hingga ka Kota Rentang dan terus ke Kuala Jerlun bersusun-susun mayat perajurit yang terkurban. Diatas tembok kota itulah dikebumikan dan ditalkinkan.

Sekarang ini, selain dari senjata yang berkarat, peluru-peluru meriam dan tunggul-tunggul buluh yang tuaterdapat di tembuk-tembuk kota lima belas batu ini terdapat pula batu-batu kerikil menandakan kepala dan kaki pahlawan-pahlawan yang gugur. Terdapat juga nisan yang cantik berselirak di Langgar dan di Limbong, beratus-ratus banyaknya menandakan beratus-ratus pula yang sempat dikuburkan dengan sempurna. Di Negeri Kedah ini, dimana terdapat nisan yang usang, letaknya tidak jauh dari kota tanah, tempat mereka berjuang.

Terdapat kubur seorang ulama di Serokan hampir perbatasan Kedah dan Seberang Perai, seorang pejuang yang gugur mungkin dalam pertarungan kali ini juga dan dinisannya berpahat dengan “Inna fatahna laka fathan mubina” membayangkan harapan kuat untuk orang Melayu menempa kejayaan dan senandongnya irap-irap syair orang Langkawi. Beberapa banyak nisan yang tidak bernama beratus-ratus banyaknya di Langgar dan di Limbong. Berapa banyak Panglima Hitam, Tok Serban Hijau, Tok Tungkat, Tok Janggut, Keramat Anak Dara, Tok Amar, Tok Raja dan lain-lain yang ada disana dan di Alor Ganu, di Naga, di Kuala Kedah dan di Anak Bukit, di Kalai, di Bukit Wang dan di Pulau Pisang dan di Perlis serta di Setol. Berpuluh-puluh yang berdarah raja sempat dikumpulkan didalam Kota Makam di Langgar, ramai pula yang tercicir bersama rakyat sebanyak. Banyak lagi Tok Jambi, Tok Pasai, Tok Siak dan Tok Kemboja, di merata-rata tempat yang syahid bersama orang-orang Kedah. Di Mempelam dekat Kuala Kedah tersadai mayat seorang ulama Banjar, Shaikh Mas’ud dari titisan Raja Kartasyuta Banjarmasin, tidak sempat dikuburkan hilang dibawa arus.

Alor Setar menjadi tempat pertarungan haibat yang sukar diatasi oleh angkatan Legor. Istana Sultan dan Balai Besar ialah diantara bangunan-bangunan yang kuat sekali dipertahankan. Meriam-meriam yang digunakan dalam pertahanan bandar ini masih menghiasi perkarangan Masjid Zahir. Bukanlah secara kebetulan meriam-meriam itu diletakkan diperkarangan Masjid Zahir tetapi dirancangkan kerana di tapak masjid itulah letaknya sebuah perkuburan luas para pejuang yang terkorban. Apabila Masjid Zahir didirikan disitu dalam tahun 1913, kubur-kubur para pejuang dipindahkan ke Alor Merah dan ke Akar Peluru. Tetapi masih banyak yang tidak dipindahkan bernirai-nirai di perkarangan Masjid hingga ke tebing sungai tanpa nisannya. Meriam-meriam di perkarangan masjid itu Cuma menjadi kesan peninggalan kepada tapak atau medan pertarungan antara Islam dengan bukan Islam lebih seratus tahun dahulu.

Kuburan para pejuang terdapat juga di tebing Sungai Kedah dikawasan Mahkamah Rendah sekarang. Sebuah kawasan perkuburan yang lebuh luas ialah di Tanjung Bendahara. Tok Lidah Hitam berhampiran pintu masuk ke kawasan Kolej Sultan Abdul Hamid ialah lanjutan dari perkuburan Tanjung Bendahara itu. Sepucuk meriam di hadapan bangunan asrama Kolej ditemui di kampong Tanjung Bendahara di belakang asrama tersebut. Sepucuk lagi meriam besar tetapi telah patah ada di tebing selatan Sungai Kedah bertentangan dengan Kampong Tanjung Bendahara ini.

Orang-orang Suka Menanti dan Alor Merah memberi pertentangan sengit yang menjadi buah mulut sehingga hari ini. Kota tanah di Pantai Johor ialah sebahagian dari kota pekeliling yang melengkongi Istana Anak Bukit. Meriam yang menjadi perhiasan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, di Jenan, ditemui di kuala Sungai Alor Merah.

Masa kelang padi Kerajaan di Anak Bukit hendak didirikan dalam tahun 1920 (?) dahulu, orang-orang kampong telah diupah menggali sebuah perkuburan di tapak kelang itu dan mengubah tulang-tulangnya ke tempat lain. Beratus-ratus kubur kepunyaan para pejuang yang mempertahankan Anak Bukit juga didapati jasad-jasad yang tidak reput, masih merah dan bersih, tanda-tanda orang mati syahid.

Sedang tentera-tentera Siam beransur tiba dan mencetuskan pertarungan di sana sini beratus-ratus buah perahu kecil dan besar serta rakit dan apongan dari ulu telah menghilir ke Kuala meminta perlindungan kapal perang “Hai Seng”. Kapten Warren yang diperintahkan supaya membantu Siam di dalam peperangan ini diarah dengan tegasnya pula supaya menolong orang-orang yang meminta perlindungan Inggeris. Kebengisan Siam yang di luar peri kemanusiaan termasyhur ke mana-mana.

Kapten Warren telah pun menyediakan sebuah tongkang besar, sebuah top, lima buah perahu besar dan seratus lima belas perahu-perahu kecil di keliling kapalnya untuk membawa orang-orang pelarian ke Pulau Pinang.

Sebuah kapal perang, “Emerald” yang mempunyai dua puluh lima orang kelasi Melayu telah mengiringi tiga ribu orang pelarian dari Kuala Kedah ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan mereka disertai pula oleh pelarian-pelarian dari lain-lain kuala dan kejadian seperti tahun 1821 berulang semula. Dua pertiga dari pelarian-pelarian yang berhijrah ialah wanita dan kanak-kanak serta orang-orang tua dan orang-orang yang tidak berdaya. Penghijrahan ini berlangsong selama beberapa malam berturut-turut dan Bandar Pulau Pinang gempar semula dengan kisah-kisah keganasan Siam.

Jejak Warisan Jawi

Bersyukur dan bertuah dilahirkan di Malaysia selepas melihat nasib saudara serumpun dan seagama di negara lain

PERJALANAN secara keseluruhan meliputi jarak sejauh 4,120 kilometer, bukan penjelajahan untuk berseronok tetapi memenuhi misi Jejak Warisan Melayu Jawi dari Semenanjung ke Ayutthaya, Thailand selama 10 hari, iaitu menjejaki masyarakat Melayu minoriti di Thailand yang kian terhakis budaya dan warisan mereka.

Dalam mencari semula susur galur masyarakat Melayu yang terpisah dengan Semenanjung Tanah Melayu selepas termeterainya Perjanjian Bangkok antara Thailand, British dan Tanah Melayu pada 1909, konvoi kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang disertai 22 anggota, termasuk wakil Berita Minggu bergerak merentasi sempadan menggunakan laluan darat. Ekspedisi yang melalui 14 bandar persinggahan bermula 12 hingga 21 Februari 2009 lalu memulakan perjalanan dari bandar Klang menuju bandar sempadan Bukit Kayu Hitam, seterusnya masuk ke Thailand melalui bandar kecil Danok.

Ujian tahap kesabaran terpaksa kami hadapi.... (baca artikel seterusnya di berita Minggu keluaran 28hb Mac 2010, oleh Shaarani Ismail)

atau click :

1. Berita Minggu 28.03.2010 'Menjejak Warisan Melayu'

2. blog Jejak Warisan Jawi

3. Catatan Perjalanan - Panglima Balau


VIDEO : JEJAK WARISAN JAWI

(sumbangan The Malay Press)