Friday, June 25, 2010

Mencari izin guru untuk berguru

Aku tetap tidak pernah lupa akan kata-kata ini :

'kalau kita ni dah berguru, nak pi berubat pun kena minta izin'.

Itu lah yang membuat aku mengadap guru ku Tn Hj Ishak Itam untuk memohon izin untuk berguru dengan Pak Harun Long.

Pada mula aku cukup tak yakin dengan ubat yang diberikan pada aku ketika aku bertandang ke rumahnya kira-kira 20 tahun yang lalu bersama dengan Pak Su Man. Apa tidaknya, aku menangung derita sakit ini selama lebih 9 tahun, tetapi Pak Harun hanya beri aku ubat tradisional yang telah dikapsulkan. "betui ka boleh baik ni" bisik hati aku dengan kurang yakin pada apa yang telah aku beli dari Pak Harun. Namun atas adat berubat, aku makan saja lah seperti pesan Pak Harun, iaitu 3 biji sebelum tidur dan 3 biji selepas bangun tidur.

Aku jadi hairan! Aku Terkejut! 9 tahun aku deritai sakit ini, tiba-tiba 3 hari sahaja aku perasan bahawa derita yang aku tanggung telah hilang segalanya. Ajaib! ramuan apa yang Pak Harun pakai ni? Terus aku merasaka bahawa sekiranya ilmunya ini tak diwarisi maka satu hari nanti pasti hilang di telan zaman.

Segala hasrat dan tujuan telah aku sampaikan pada Pak Harun. Setelah berfikir sejernak maka Pak Harun menjawab serta memberi syarat, "Ubat-ubat ni saya pelajari dari banyak guru, merata saya merantau sejak muda dan akhirnya saya dok rumah saja dan buat ubat. Orang mai ambik kat rumah dan saya tak payah-payah keluar pi jual ubat" seterusnya "saya tanggung anak bini saya dengan ubat-ubat ni lah saja", aku diam tanpa mahu meyampuk. Pak Harun teruskan lagi kisah ubatan "saya setuju nak agar tapi ada syaratnya, saya nak uji dulu fatihah kamu, dan kalau nak berniaga ubat ni hanya jangan berniaga dari Sungai Petani sehingga ke Ipoh, sebab ini kawasan saya niaga ubat ni dan saya minta RM500.00 sebagai tukar ganti dengan ilmu ubat-ubat yang saya agar". Jelas Pak harun dengan sejelasnya.

Aku setuju sangat dengan syarat Pak Harun tu. Bagi aku kalau aku dapat belajar satu ubat yang aku telah pernah gunakan pun dah cukup dengan segala syaratnya itu. Bukan mudah nak jumpa ilmu ubatan seperti ini, ya lah 9 tahun menderita sakitnya tapi baik pulih seperti sediakala hanya dalam 3 hari sahaja.

Aku pulang dari Sg Dua petang itu dengan perasaan yang cukup gembira kerana Pak Harun telah bersetuju menerima aku sebagai murid pertamanya dalam ilmu ubatan tradisional, cuma sekarang aku perlu bertemu guru aku, Pak Ak agar mendapat izinya pulak. Maka kereta aku pandu agak sedikit laju kali ini pulang ke Shah Alam, mengejar waktu agar bertemu dengan Pak Ak di seksyen 18 pada malam nanti kerana menghadirinya dia pada satu majlis ijazah silat.

Bagi aku, kalau diperkenankan oleh ayahanda guru iaitu Pak Ak maka boleh lah aku berguru pulak dengan Pak Harun Long dalam seni perubatan Melayu tradisional. Begitulah seperti aku mempelajari seni silat tari Cemandi dahulu dari Wak Koso, setelah aku memohon izin dari Pak Ak untuk aku memperlajari seni silat tari ini. Pak Ak memang sarankan sangat-sangat agar anak Melayu belajar seni silat tari ini agar dapat kekalkan budaya Melayu supaya tidak hilang di telan zaman. Tapi, Pak Ak izin dengan bersyarat, "Hang belajaq seni tari cukup lah, tak payah buah-buah silat sebab buah2 silat kita dah cukup. Belajaq tari supaya kita boleh buat sembah tari silat di majlis-majlis, kita orang silat kenalah tau tari silat juga" syarat dari Pak Ak aku dengar dengan teliti. "Cakap kat Wak Koso tu jangan buat upacara buka gelangang, kita nak belajar tari sahaja" sambung syarat utama Pak Ak agar aku sampaikan pada Wak Koso.

Wak Koso memang setuju benar dengan syarat-syarat oleh guru kita itu kerana Pak Ak itu adalah guru beliau juga. Wak Koso seorang guru silat Cemandi yang telah tamat silat cekak di zaman Pak Ak setelah diajak masuk belajar silat ini oleh anak murid Wak Koso sendiri. Demi kasih pada bangsa dan budaya silat yang berseni, Wak Koso belajar silat cekak ini walaupun telah sudah bertaraf guru silat di usia yang agak lanjut ketika itu. Kira-kira pada tahun 1990.

Pada masa aku pelajari silat tari dengan Wak Koso ini bersama 4 orang rakan lain termasuk Saiful Affendi, Syamsul, Mahathir dan arwah Pak Hashim, Wak Koso hanyalah seorang tukang gunting rambut di Pasar Jawa, Klang. Kami belatih seminggu sekali sahaja dan pada setiap kali kelas, kami sering diperhatikan oleh anak lelaki Wak Koso sambil senyum-senyumnya melihat gelagak dan gerak kaku kami. Kami berlatih di waktu malam dan pertemuan kami lebih banyak berbual tentang cerita silat dari membuat latihan dan di setiap penghujung kelas kami kerap didendangkan dek gesekan biola lagu-lagu Melayu asli oleh Wak Koso sendiri. Hari ini Wak Koso tidak lagi mengajar silat ini dan telah di sambung oleh anak lelakinya kalau tidak salah aku dan dengar khabarnya jarang-jarang sekali mengesek biola kerana Wak Koso telah menaruh masa sepenuhnya kepada tugasnya sebagai iman di mesjid (hijau) di jalan ke Kapar.

Aku tiba di dewan Tadika Kemas di seksyen 18 hampir jam 8.45 malam, aku perasan pak Ak sudah pun sampai dan baru saja masuk dewan dan belum lagi sempat duduk bertekapnya di dalam dewan. Aku bergegas masuk ke dalam dewan dengan bersalam-salaman ringkas pada sesiapa saja yang ada di antara langkah aku ke dalam dewan. Gerak aku agak cepat kerana ingin mengambil peluang segera untuk bicara dan pohon perkenan guru untuk berguru pada ketika masih belum ada yang datang duduk bersama guru dalam dewan ini.

[bersambung di 'Menamakan Siapa Pengganti']

Mencari ubat dan ketemui lading

Sekali lagi pada selasa lepas aku bergerak ke Bukit Mertajam untuk mengziarahi ayahanda guru aku Tn Hj Ishak. Kali ini bertemankan saudara Isa Sulaiman. Kehendak tuhan begitulah keadaan ayahanda guru, yang masih belum pulih sepenuhnya. Maka aku kurang berbual dengan ayahanda dan meluangkan waktu aku hanya berborak dengan Mak Tam, isteri tercinta ayahanda guru.

Hampir dua jam aku di sana, setelah selesai bersembangan pada apa yang perlu disembangkan, aku melangkah gerak ke Sg Dua pula, ke rumah arwah Harun Long pulak. Sudah lama aku tak ke sana, sudah lama aku tak ziarah anak-anak Pak Harun Long ini.

Dulu aku kerap ke sana, boleh dikatakan tiap-tiap minggu aku berulang alik dari KL ke Sg Dua, selama hampir dua tahun itu lah jadual aku. Setaip kali ke rumah Pak Harun Long dulunya, aku akan singgah ke rumah Pak Ak juga sekiranya dia berada di BM. Tapi kali ini, aku hanya sekadar ingin mengziarahi anak-anak Pak Harun dan membeli ubat tradisonal untuk seorang rakan.

Setibanya aku di rumah Pak Harun, dengan salam pembuka hebah bahawa aku tiba, aku disambut oleh Aisyah, anak Pak Harun. Kami masuk ke dalam rumah dan mula buka bicara aku pada kak Aisyah dengan pertanyaan khabar sebagai adab bertandang. Dalam bual-bual kami aku terhidu bau seperti ada benda yang terbakar seolah firasat mengatakan datang dari dapur, lantas aku bertanya kepada kak Aisyah, 'bau apa ni" lalu ringkas jawabnya "emm itu ha si Ridzwan tengah buat keris di dapur". Aku jadi teruja lantas bangun dan segera mengatur langkah ke dapur.

Bukan keris rupanya, tetapi lading! Ridzwan adik kak Aisyah sedang membetulkan ulu lading peninggalan pusaka ayah mereka, Pak Harun. Aku memang pernah melihat lading ini dahulu dan dikhabarkan milik si Ismail. Lading ini disorok oleh Pak Harun kerana lading ini dikisahkan telah banyak makan nyawa orang dalam satu peperangan satu ketika dahulu. Pak Harun tak berapa ingat sangat kisah ini tetapi begitulah katanya lebih kurang cerita dikhabar-khabarkan.

Sekarang parang lading ini dijaga rapi oleh Ridzwan, anak Pak Harun yang mewarisi kepandaian ayahnya sebagai seorang Bomoh dan pakar pula membuat senjata Melayu. "Lading ini ada adik beradiknya iaitu sebilah kerambit dan sudang", kata Ridzwan, lalu bangun mencari-cari sesuatu di dalam bilik di bawah tangga rumah itu. "Ini kerambitnya", sambil menghulurkan kerangit itu kepada aku. "sudangnya disimpan oleh Pak Chu" sambung Ridzwan. Memang benarlah bagai dikisahkan bahawa senjata-senjata itu memang lama usianya dan terdapat kesan-kesan darah pada senjata itu.

"Abang datang dari mana?" tanya Ridzwan ringkas "dari Klang, ada kerja sikit kat sini, mai ni anak ambik ubat untuk kawan ha kat kak Aisyah" jawab aku. Ilmu kepakaran membuat ubat tradisional Pak Harun pula diwarisi oleh Aisyah. Apa tidaknya, sejak dari muda lagi, si Aisyah nilah yang tukang ramu ubat-ubat itu sebagai pembantu kepada ayahnya, maka tak heranlah kalau dia sebagai pengganti pembuat ubat tradisional ini setalah pemergian ayah mereka. Hasil ubata-ubat ni lah yang menampung seluruh keluarga Pak Harun sejak dari dulu lagi.

"Kenapa tak buat sendiri" sampuk kak Aisyah yang sedang duduk di sofa menonton TV setelah mendengar kata tujuan aku datang ke rumah mereka. "malas", jawab aku ringkas dan cuba mengelak berbual panjang bab buat ubat ni. "Ayah dah perturunkan semua pada abang kan?" pintas Ridzwan pulak. "emm, jenis malas macam tu lah Ridzwan" jawapan mengelak aku lagi. "saya dah check dah, abang dapat semua dari ayah, banyak doa-doa yang abang dapat" sambung Ridzwan, tetapi aku membisu sahaja. "abang pun kan ambil sendiri dengan Ustaz Ismail...." sambung Ridzwan tetapi aku pontong pantas, "Ustaz Ismail dah tak dak, dah setahun lebih dia meninggal, saya dengar berita ni dari seorang kawan".

Ustaz Ismail merupakan seorang guru pondok di Kuala Pegang, Baling, dan merupakan guru kepada Pak Harun Long. Aku pernah bertemunya sekali sahaja ketika beliau masih menjadi guru di pondok di Kuala Pegang, aku di bawa oleh Pak Harun dengan tujuan untuk memohon izin dari Ustaz Ismail (lebih belasan tahun muda dari Pak Harun) itu agar dapat menurunkan sepenuhnya ilmu yang dipelajari dengan gurunya kepada aku. Setelah lafaz mohon izin itu maka Ustaz Ismail pun bersetuju dan terus bangun untuk mengambil sesuatu dan kemudian kembali kepada kami membawa sekeping kertas. "inilah salasilah ilmu permohonan ni" kata Ustaz Ismail sambil menghulur kertas tersebut kepada aku. Tersentak aku apabila melihat bahawa kertas itu tertera semua nama bersanad dalam ilmu ini. Dan fahamlah aku adab berguru ni, bahawa selagi guru kita masih hidup, hendak perturunkan ilmu pun kena minta izin guru yang sedia masih ada. Dan fahamlah aku lagi, setiap ilmu mesti bersanad.

[akan bersambung]

Wednesday, June 2, 2010

Mencari Ubat Tapi Ketemu Adab Berguru

Hampir 20 tahun yang lalu....

Satu waktu di tengah hari, aku ke rumah guru kerana ada janji di sana untuk bertemu dengan Pak Su Man.

Memang aku tiba awal dari waktu yang dijanjikan dengan Pak Su mengambil kesempatan pelawaan guru untuk makan tengah hari di rumahnya. Janji dengan Pak Su selepas zohor, bertujuan untuk ke rumah Pak Harun Long untuk mencari penawar akan sakit yg aku hadapi, sakit yang sekian lama aku deritai.

Saranan aku bertemu Pak Harun Long ini pun datangnya dari Pak Su Man sendiri kerana dia pernah menghadapi sakit yang sama selama beberapa tahun juga dan mendapat penawar akhirnya daripada Pak Harun Long.

Saranan aku bertemu Pak Su Man pula datang dari Pak Ak sendiri setelah aku meminta panduan untuk selesaikan masalah sakit aku ini. Pak Ak kenal beberapa orang yang mungkin mampu mengobati aku tetapi merujuk kepada Pak Su Man adalah yang paling elok kerana Pak Su Man memang sembuh melalui penawar Pak Harun Long. Lagi pula Pak Ak kenal akan Pak Harun Long kerana pernah juga berubat dengannya ketika sakit sebelum ke Mekah dahulu.

Setelah sedap makan bersama dengan guru, kami berpindah tempat duduk dari meja makan ke ruang tamu.. Bersembang dan bergebang mengenai pelbagai hal, bersabit tentang berubat, silat melayu dan adab-adab berguru. Sudah pastilah penceritaan Pak Ak ketika itu lebih berkisah hal beliau pernah berubat dengan Pak Haron Long.

Tengah dok syok merenung muka YM Guru dek teruja dengan cerita-cerita beliau, kami di sapa dengan salam oleh Pak Su Man. Janji yang dibuat telah sampai untuk kami tunaikan bersama.

Pak Su Man masuk seketika ke dalam rumah bersalaman mengikut adab dengan guru utama, bercerita-cerita serba sedikit di ruang sembang mengikut adat dan seterusnya meminta izin untuk beralah bersama aku kerana mengejar waktu untuk ke rumah Pak Haron Long.

Melihat Pak Su Man telah pun bersalam dan telah beredar dari ruang sembang dan langkahnya sudah sampai ke muka pintu rumah dengan gelagat matanya mencari kasut sendiri yang tertinggal di muka pintu, aku lalu bergegas menyesot tubuh kehadapan YM Guru untuk bersalam dengan lafas 'saya pi dulu Pa Ak' lalu bibir menyentuh tangan YM Guru.

Lekas-lekas aku bangun setelah adab bersalam terlunas seraya bangun untuk mengejar langkah Pak Su Man tadi. Baru beberapa langkah aku meninggalkan tempat duduk, aku di sapa YM Guru. 'Pon mai sat' panggil guru terhadap ku. Lekas-lekas aku toleh ke belakang, mengerakkan langkah pulang ke guru kerana ada perkara yang guru ingin sampaikan agaknya. Hanya saat sahaja aku tiba dihadapan guru lalu merendahkan diri mengadap guru yang masih duduk di tempat yang sama. Belum sempat punggung ku berlabuh di lantai, guru menghulurkan tangannya seolah syarat untuk bersalaman.

Aku jadi hairan! Baru beberapa saat tadi aku sudah pun bersalaman dengan YM guru sebelum berangkat pergi. Tapi dek kerana guru dah hulurkan tangan maka dengan pantas juga aku menghulur kembali. Semasa menghulur tangan aku cuba mencapai untuk berslaman dengan guru buat kedua kali, otak ku mula memberitahu hati ku mungkin YM Guru tak perasan agaknya bahawa tadi kami sudah pun bersalaman.

'Tak apalah kalau dua kali apa salahnya, mungkin dapat berkat lebih kali ini', gurau sendiri-sendiri dalam hati.

Apabila tangan kami berdua terjabat erat, aku tersentak dengan lafas yang terbit dari mulut YM Guru, 'Pon kalau kita ni dah berguru, nak pi berubat pun kena minta izin'.

Memang tersentak benar hati aku dengan lafas itu. Lantas aku terus memohon izin pinta dari guru tanpa mahu memikir panjang, 'Saya minta maaf Pak Ak, saya kurang arif dalam hal ini, saya tak tahu, saya betul tak tahu adab ni' Lantas aku cepat-cepat sambung 'saya minta izin nak pi berubat dari guru'.

Terasa lega seketika kerana terlunas akan pohon izin seperti pesan gru sebentar tadi. Pak Ak hanya tersenyum sambil memberi izin dan segerah meminta aku lekas-lekas pergi kerana Pak Su Man sudah tercegat beberapa waktu di muka pintu.

Aku lekas-lekas bangun kerana risaukan pula hati Pak Su Man yang agak lama menunggu.

Aku beredar pergi tanpa mahu berfikir apa-apa akan pesan teguran YM guru pada aku tadi kerana selepas selesai nanti urusan dengan Pak Harun Long, aku akan kembali ke rumah guru seperti pakat-pakat kami sebelum ini.

Aku akan mengadap guru semula untuk bertanya dengan sejelasnya akan adab dan syarat berguru agar aku tidak akan tersasul lagi dalam peradaban berguru.

Maka itulah yang berlaku setelah aku bertemu semula disebelah petangnya. Maka baru aku faham bahawa berguru ini banyak tarafnya dan punya adab tersusun mengikut mertabat guru-guru itu tersendiri.

Apa pun yang jelas... teguran Pak Ak tengahari tadi tersangkut di hati ini menjadi perisai dalam peradaban berguru dan menuntut ilmu.

'kalau kita ni dah berguru, nak pi berubat pun kena minta izin'.

Cabaran & Harapan

Buku ini merakamkan catatan pengembaraan siri Kembara Jejak Warisan Jawi (JWJ) ke luar negara yang memberi seribu cabaran dan harapan kep...