Panglima Ishak Itam

KU TEMUI SEORANG PANGLIMA DALAM DIRI SEORANG GURU




Sekiranya kita kenal benar dengan diri YM Tuan Haji Ishak bin Itam dan setelah diteliti sejarah perjalanan hidup beliau dari muda sehinggalah ke hari ini... maka pengorbanan dan tanggungjawab beliau selama ini terhadap bangsa Melayu telah mengiktirafkan beliau sebagai Hulubalang Bani Jawi dengan gelaran Panglima Ishak Itam

KE MANA HILANG ISTIADAT HULUBALANG MELAYU (II)

KU TEMUI DI ANTARA NAMPAK DAN TIDAK (II)

Sambungan dari [click] Upacara kedua ...

Setelah beberapa purnama berlalu, setelah puas menghasilkan beberapa bilah senjata mengikut segala syarat dan petua sebagai pakaian hulubalang, mereka memutuskan untuk bersiap semua peralatan adat untuk mengadap YM Ayahanda Guru secara beradat Hulubalang Melayu.

Tepak sireh sudah pun disusun rapi perkakasnya, berikat kain merah, bersimpul ‘undang’, terletak di atas dulang dan kepala tepak menghala ke arah tuju sebagai penanda ‘kepala adat’. Begitulah juga dengan senjata ‘lading’ telah kemas tersusun melintang di atas dulang beralaskan ‘sejadah’. Dan sedulang lagi tersusun pula senjata ‘wali jantan’ dan ‘badik teruna’ sebagai pakaian sikembar parang lading.

Mereka tiba pagi itu mengikut rencana yang telah ditetapkan oleh Ayahanda Guru. Mereka lengkap berpakaian tradisi Melayu dari hujung kepala sehingga ke hujung kaki. Langkah permula turun dari rumah cukup pula dengan syaratnya seperti pesan-pesan yang telah di beri.

Waktu dan ketika yang dinantikan telah tiba, setiba mereka itu berdiri di hadapan rumah Ayahanda Guru dengan keadaan sedikit gementar kerana upacara sebegini belum pernah sama sekali di lalui oleh mereka-mereka itu.

Entah apa dan entah bagaimana agaknya upacara ini akan berlaku mengikut aturan Guru. Tidak siapa pun tahu kerana mereka juga tergolong di antara anak-anak Melayu yang daif tentang istiadat para Hulubalang Melayu.

Apa pun waktu tidak mengizinkan mereka itu berfikir panjang melayan lamunan dan perasaan kerana mereka telah agak lama tercegat di hadapan pintu rumah Ayahanda Guru. Mahu atau tidak mahu, lafas salam terbit dari salah seorang dari mereka itu.

Lafas salam hanya sekali terbit dan tanpa sempat untuk diulang, pintu rumah di buka lembut oleh isteri Ayahanda Guru dengan sambut jawaban salam yang telah diberi. Tanpa sempat bertanya khabar pada bonda Radziyah, isteri guru, mereka di minta menunggu sebentar di luar rumah dan dengan lekas pintu ditutupkan kembali tetapi tidak lah rapat. Mereka faham isyarat itu, mereka faham ada sesuatu yang masih belum selesai di dalam dan mereka harus menunggu buat seketika waktu….. Ini lah yang membuat mereka semakin gelabah dan gementar…. Apa sebenarnya akan berlaku pada pagi itu. Adakah mereka akan berlaku songsang dalam upacara istiadat hulubalang Melayu? Satu pertanyaan sesama mereka yang sempat dibicarakan sementara menanti kedatangan seterusnya menjemput masuk ke dalam rumah.

Bonda Radziyah muncul sekali lagi dan membuka dua kelopak pintu luas-luas seraya menjemput masuk. Mereka cepat-cepat bersalaman dengan bonda walaupun agak kekok kerana mereka bertiga dalam keadaan menatang dulang membawa perkakas.

Lalu bonda berlalu pergi ke arah kamar dengan berpesan bahawa ‘Pak Ak’ iaitu ayahanda guru akan keluar sebentar saja lagi. Mereka sahut pesan itu hanya dengan anggukan sahaja kerana tiada ayat yang sempat terbit dari mulut mereka, mungkin kelu seribu bahasa.

Tiba-tiba ayahanda guru muncul dari kamar dan mereka terkejut sungguh, tergamam, semakin kelu dan mata masing-masing luas terpaku kepada guru mereka, seorang Hulubalang Melayu yang sedang melangkah tertib menuju ke arah mereka, lengkap berpakaian serba kuning, kain tenunan songket dan lengkap bertanjak dan senjata keris tersisip di celah bengkung kain sampin dan hulu berisyaratkan ‘perang’.

Belum sempat guru rapat tiba, dia telah memberi isyarat agar duduk dalam suasana dan bahawa istiadat hulubalang Melayu sempena penyerahan senjata sipemakai para hulubalang telah bermula…….

[akan bersambung]