Dari Semenanjung ke Ayutthaya

TERSANGKUT DI AWAL PERJALANAN

Aku sudah mula naik rimas dengan keadaan ini, sudah begitu lama di sini tetap tidak dapat menyelesai masalah yang tidak di duga sejak awal kami cuba melepasi tempat ini.

Aku bukan setakat rimas dengan kerenah yang ada tetapi bertambah rimas apabila melihat rakan-rakan yang lain terpaksa menanti sejak awal tengah hari membawa ke petang dek kerana menunggu aku dan Anas menyelesaikan masalah kami di sempadan ini.

Rasanya, rakan-rakan lain sudah naik jemu mundar mandir di pekan kecil ini, pekan Danok, setelah hampir 5 jam tersangkut di sini kerana kenderaan pacuan empat roda aku dan Anas bawa tidak dapat melepasi sempadan kerana dokumen kederaan yang tak lengkap. Puas kami mencari akal dengan bantuan rakan-rakan lain agar dapat menyelesaikan masalah kecil ini. Hanya kerana tuan nama kenderaan dalam grannya tidak menyediakan surat kebenaran melepasi sempadan.

Nampaknya, seolah rakan-rakan yang lain semua dah jemu sangat dengan situasi ini, pakat semuanya melepak di kedai Tom Yam behampiran dengan pos imigresen Thailand. Mereka sudah makan, minum dan makan dan minum, akhirnya ada yang terlentuk di meja makan dengan harapan apabila terjaga nanti semua masalah selesailah sudah.

Rasanya pasukan yang melalui jalan ini pada tahun 1820an dulu tidak pernah merasai masalah dan kerenah seperti yang kami lalui ini. Rasanya Sheikh Abdul Samad Palembang, Panglima Muhammad Ali, Panglima Ismail, Tok Morris, Tengku Muhammad Saad dan rakan-rakan yang lain pasti tidak mengalami masalah seperti ini ketika mereka melepasi di bukit kayu hitam ketika menghambat angkatan Thai ketika dalam peperangan ‘Perang Musuh Bisik’.

Tentu mereka akan ketawa dan merasa hairan sekiranya kami ceritakan masalah ini kepada mereka. Mana tidaknya, Danok, Satun sehinggalah ke Ranong di Segenting Kra masih dalam jajahan pemerintahan Kedah ketika itu.

Sempadan kita semenanjung berada di atas Ranong sana, diberikan pada orang Melayu semenanjung untuk tadbir dek kerana Sultan Muhammad Jiwa telah berkahwin dengan Paduka Bonda, anak raja Ayutthaya satu masa dahulu.

Jadi mereka –mereka pada zaman itu tidak punya masalah dokumen untuk melepasi sempadan. Mana ada surat beranak, kad pengenalan apa tah lagi paspot untuk ke mana mana di bumi Allah ini. Malah sempadan Benua Melayu pada ketika itu adalah mengikut pertuturan bahasa, amalan budaya dan kuasa pemerintahannya. Tidak pernah mengikut garisan sempadan di dalam peta di atas kertas semata-mata.

Tetapi mungkin juga hulubalang yang mempertahankan bumi semenanjung pada ketika perang musuh bisik itu dahulu akan maki hamun kita anak-anak Melayu pada zaman moden ini kerana tidak pernah mahu memahami dan meneruskan perjuangan mereka selama ini.

Mereka korbankan segala keindahan duniawi yang ada ketika itu, meninggalkan harta benda, keluarga dan pekerjaan kerana turut bersatu dan berhimpun di pulau empat beradik, Pulau Songsong, Pulau Bunting, Pulau Bidan dan Pulau Telor di Yan, Kedah. Di pulau inilah hulubalang-hulubalang Melayu yang datang dari seluruh pelusuk benua Melayu, berlatih dan menyusun strategi untuk menghalau angkatan Thai yang telah menakluk bumi Kedah pada tahun 1821 agar pulang ke negeri sendiri. Agar umat Melayu yang berada di semenanjung kekal dengan amalan Melayu dan Islamnya. Maka Kedah pada ketika itu telah diistiharkan sempadan dan medan peperangan Jihad fi sabilillah mempertahankan Islam daripada lenyap di bumi semenanjung ini.

Syukor kita pada hari ini, umat Melayu di semenanjung yang bersempadankan dari Perlis, Kedah dan Kelantan masih menjadi mejoriti beragama Islam. Kita terselamat, tidak seperti umat Melayu di utara semenanjung seperti di Krabi, Phatalung, Puket, Ranung, Chaya dan lainnya agak ramai telah gugur Melayu serta Islamnya dek kerana terjajah oleh pemerintah yang beragama lain.

Malah bukan di utara semenanjung Melayu ini saja telah hilang ketuanan asalnya, kerajaan Ayutthaya yang pada asalnya di bawah pemerintah seorang raja Islam akhirnya turut hilang identiti Islamnya bertukar menjadi kerajaan penganut agama Buddha setelah jatuh ke tangan Bangsa Sokhothai rakan bantu kepada angkatan Burma.

Segala perstiwa yang berlaku sebelum 190 tahun yang lalu ini tidak pernah secara jelas di ceritakan oleh nenek moyang kita dahulu. Ibarat bangsa Melayu ini bagai bangsa yang dayus dan tidak pernah mempunyai tokoh dan hero yang tulin dalam mempertahankan Bumi Melayu atas nama Agama dan Bangsa.

Inilah yang membuat aku serta rakan-rakan yang tersangkut di Danok bertambah risau kerana perjalanan kami menuju ke Ayutthaya tersangkut di sini dek kerana kerenah di pos imigresen Thailand. Terasa ruang waktu 10 hari cuba menjelajah bumi Siam melihat kehidupan bangsa Melayu tinggalan dari kesan perang musuh bisk akan terjejals kerana telah bermula dengan kepayahan, namun usaha tetap diteruskan dan keputusan terakhir sekiranya tidak dapat juga membawa kedua kenderaan kami melepasi sempadan, adalah meninggalkan kedua kenderaan kami di sebelah Malaysia dan meneruskan perjalanan dengan 4 kenderaan lain.

“Okey, kita boleh gerak sekarang”, arahan datang dari Zainon yang baru menyelesaikan masalah kenderaan kami di pos imegresen. Aku dan Anas tersenyum gembira apabila melihat rombongan Zainon berserta Nik, Adnan dan Nazri yang masing-masing berwajah riang sambil menceritakan pengelaman mereka dalam menyelesaikan masalah dokumen kenderaan kami.

Rakan-rakan yang lain turut berkumpul setelah mendapat berita baik selepas hampir 6 jam menunggu. Wajah masing-masing kembali cerah kerana perjalanan kami ke Pulau Koh Klang di Krabi, destinasi seterusnya akan menjadi kenyataan.

Turut tersenyum lebar tampak di raut wajah wartawan dan jurufoto Berita Harian, saudara Shaarani dan Pak Ya serta saudara Herman dari majalah Realiti.

“Okey, rakan-rakan konvoi. Kita akan bergerak sekarang ke Koh Klang kerana penduduk Melayu di sana telah menanti kita, makanan telah lama disediakan untuk kita sejak tengah hari tadi dan malam ini kita kan berkampung di sana”, pengumuman ketua konvoi kami, Ustaz Zaid melalui radio amatur dari kenderaannya.

“Radio cek dari kenderaan lead” Zaid meneruskan

“Bangau cek” Balas Tazmizi yang lebih di kenali sebagai ‘bangau’.

“K1 cek” oleh Chip atau nama sebenarnya Saiful Affendi

“K2 cek” dari Dalim

“Zaki cek” oleh Zaki dari kenderaan Hariri

“okey sweeper cek, semua konvoi nampaknya telah bersedia sekarang dan lead kita boleh rolling sekarang, over and standby” makluman dari aku sebagai sweeper konvoi kali ini.

“Okey konvoi, kita roliing sekarang” arahan dari Zaid sebagai kepten konvoi ekspedisi ‘dari Semenanjung ke Ayutthaya’ bermula tarikh 12 sehingga 21 Februari 2010.

Maka 6 buah kenderaan pacuan 4 roda dari anggota Blackwind Adventure Team yang telah memulakan perjalanan sejak semalam dari Kelang, Selangor telah dapat meneruskan perjalanan setelah tersangkut di Danok hampir 6 jam yang lalu.

Seterusnya ke Pulau Koh Klang……..


Rentas 7 Negara - Jejak Warisan Jawi 2011




FALSAFAH TERSIRAT BUNGA TERATAI :

Bunga Teratai (Nymphaea famili Nymphaeaceae) sering dikelirukan dengan bunga Seroja.Seroja memiliki tangkai bunga tegak dan bunganya tidak mengapung di permukaan air, sebagaimana pada teratai.Pada zaman dulu, orang memang sering mencampuradukkan antara tanaman ‘genus Nelumbo’ seperti seroja dengan ‘genus Nymphaea’ (teratai). Pada bunga jenis Nelumbo, bunga terdapat di atas permukaan air (tidak mengapung), kelopak berwarna merah (teratai berwarna putih hingga kuning), daun berbentuk lingkaran penuh dan rimpangnya biasa digunakan.Jika Seroja amat rapat dalam menerangkan pencerahan dan kebijaksanaan dalam agama Buddha,apabila umat Melayu menerima Islam,bunga Teratai menjadi ganti menerangkan falsafah yang kompleks.

Bunga Teratai menjadi perlambangan kepada ajaran Islam dan konsep ketuhanan sebagaimana kajian seorang pengkaji,Abdullah Bin Mohemed (lahir 1931) tentang konsep bunga Teratai di Alam Melayu:

Bagi tingkat ketuhanan tangkai adalah adalah lambang Zat Allah yang kuat berpegang kepada sekuntum bunga. Zat Allah yang dimaksudkan ialah Zat Allah yang berada pada “Tingkat al-Ahadiyah”. Bila terjadi perdampaan di antara dua sifat Jamal dan Jalal maka lahirlah seketul “kudup” bunga teratai, Ketika ini tangkai itu menjadi ghaib dan wujudnya bersama kudup.

Kudup adalah melambangkan “Hakikat Muhammadiyah” yang mula-mula lahir dalam alam hakikat, sebelum lahirnya hakikat-hakikat segala sesuatu. Sebagaimana pada diri Hakikat Muhammdiyah terhimpun hakikat-hakikat segala sesuatu, begitu juga pada kudup yang kuncup itu terhimpun segala kelopak, stamen, rahim bunga, stigma dan lain-lain. Selepas segala kelopak berkembang, segala stamen terbuka dan segala-galanya wujud beberapa banyak, menjadi sekuntum bunga yang berkembang. Bunga yang berkembang dari hakikat-hakikat segala sesuatu yang terkeluar dari diri Hakikat Muhammadiyah.

Bagi lambang kejadian alam dalam tingkat kealaman, menurut Abdullah, zat Tuhan kepada tangkai adalah sifat alam kejadian, apabila berlakunya kejadian maka lahirlah kudup bunga teratai. Ketika itu tangkai akan ghaib dan wujud bersama kudup. Kudup adalah melambangkan manusia atau alam kecil yang mula kelahiran sebelum lahirnya alam besar. Bagi tingkat kealaman ini Kudup bunga adalah sebagi lambang ‘Nur Muhammad’. Sementara Sekuntum bunga teratai yang berkembang adalah sebagai lambang alam besar. Setiap kelopak bunga itu adalah melambangkan tiap-tiap peribadi makhluk.

Abdullah juga dalam kajian falsafah Teratai menyatakan bahawa bunga teratai adalah lambang kejadian alam dan lambang bentuknya adalah suatu amalan tradisi yang lama dalam masyarakat Melayu. Penggunaan motif atau bunga teratai digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Menurut beliau sejak zaman raja Ahmad bentuk bunga teratai digunakan dalam upacara tradisi dan mempunyai makna-makna tertentu.

Banjir Lagi di Kampung Ku




Beginilah keadaannya... Bah mai dan pi, sejak dari dulu sampai la ni.. macam tu lah keadaan di tempat tumpah darah ku ni.

Bila saja aku dengar berita ni, aku cuba hubungi saudara mara yang masih setia menjadi penjaga di tanah hak keturunan kami, sebidang tanah yang terletaknya sebatang sungai besar di belakang tanah ini dan mengadap sawah bendang di hadapannya.

Tanah pusaka ini telah diterokasi oleh moyang aku, Tok Sudin setelah merajuk lalu bawa diri dari Istana Bukit Pinang. Entahlah apa yang dia ni merajuk sangat sehingga sanggup bawa anak bini memugar tanah di kawasan Titi Baru ni.

Saudara mara aku telah beberapa hari berpindah dan di tempatkan di masjid, kawasan yang agak tinggi setelah hujan lebat turun tanpa henti berhari yang lalu. Berginilah nasib mangsa-mangsa banjir terpaksa hadapi bencana ini dan terkadang terasa juga sedih di hati memandangkan harta benda akan rosak segala.... Apa pun mereka ini terpaksa juga lalui dan dengan harapan padi musim akan datang menjadi sakan agar dapat memulihkan keadaan.

Tahun ini bukan setakat banjir saja melanda tanah air kita, malah telah di selang selikan dengan ribut dan puting beliung. Anak-anak tanah air ini harus tabah dan sama-sama berkeyakinan bahawa esok pasti cerah semula dalam kehidupan.

Benarlah bagai kata orang arif bahawa "sesuatu kurnia akan diterima oleh orang-orang tertentu sahaja, sesuatu bala akan diterima oleh ramai orang".