Wednesday, June 2, 2010

Mencari Ubat Tapi Ketemu Adab Berguru

Hampir 20 tahun yang lalu....

Satu waktu di tengah hari, aku ke rumah guru kerana ada janji di sana untuk bertemu dengan Pak Su Man.

Memang aku tiba awal dari waktu yang dijanjikan dengan Pak Su mengambil kesempatan pelawaan guru untuk makan tengah hari di rumahnya. Janji dengan Pak Su selepas zohor, bertujuan untuk ke rumah Pak Harun Long untuk mencari penawar akan sakit yg aku hadapi, sakit yang sekian lama aku deritai.

Saranan aku bertemu Pak Harun Long ini pun datangnya dari Pak Su Man sendiri kerana dia pernah menghadapi sakit yang sama selama beberapa tahun juga dan mendapat penawar akhirnya daripada Pak Harun Long.

Saranan aku bertemu Pak Su Man pula datang dari Pak Ak sendiri setelah aku meminta panduan untuk selesaikan masalah sakit aku ini. Pak Ak kenal beberapa orang yang mungkin mampu mengobati aku tetapi merujuk kepada Pak Su Man adalah yang paling elok kerana Pak Su Man memang sembuh melalui penawar Pak Harun Long. Lagi pula Pak Ak kenal akan Pak Harun Long kerana pernah juga berubat dengannya ketika sakit sebelum ke Mekah dahulu.

Setelah sedap makan bersama dengan guru, kami berpindah tempat duduk dari meja makan ke ruang tamu.. Bersembang dan bergebang mengenai pelbagai hal, bersabit tentang berubat, silat melayu dan adab-adab berguru. Sudah pastilah penceritaan Pak Ak ketika itu lebih berkisah hal beliau pernah berubat dengan Pak Haron Long.

Tengah dok syok merenung muka YM Guru dek teruja dengan cerita-cerita beliau, kami di sapa dengan salam oleh Pak Su Man. Janji yang dibuat telah sampai untuk kami tunaikan bersama.

Pak Su Man masuk seketika ke dalam rumah bersalaman mengikut adab dengan guru utama, bercerita-cerita serba sedikit di ruang sembang mengikut adat dan seterusnya meminta izin untuk beralah bersama aku kerana mengejar waktu untuk ke rumah Pak Haron Long.

Melihat Pak Su Man telah pun bersalam dan telah beredar dari ruang sembang dan langkahnya sudah sampai ke muka pintu rumah dengan gelagat matanya mencari kasut sendiri yang tertinggal di muka pintu, aku lalu bergegas menyesot tubuh kehadapan YM Guru untuk bersalam dengan lafas 'saya pi dulu Pa Ak' lalu bibir menyentuh tangan YM Guru.

Lekas-lekas aku bangun setelah adab bersalam terlunas seraya bangun untuk mengejar langkah Pak Su Man tadi. Baru beberapa langkah aku meninggalkan tempat duduk, aku di sapa YM Guru. 'Pon mai sat' panggil guru terhadap ku. Lekas-lekas aku toleh ke belakang, mengerakkan langkah pulang ke guru kerana ada perkara yang guru ingin sampaikan agaknya. Hanya saat sahaja aku tiba dihadapan guru lalu merendahkan diri mengadap guru yang masih duduk di tempat yang sama. Belum sempat punggung ku berlabuh di lantai, guru menghulurkan tangannya seolah syarat untuk bersalaman.

Aku jadi hairan! Baru beberapa saat tadi aku sudah pun bersalaman dengan YM guru sebelum berangkat pergi. Tapi dek kerana guru dah hulurkan tangan maka dengan pantas juga aku menghulur kembali. Semasa menghulur tangan aku cuba mencapai untuk berslaman dengan guru buat kedua kali, otak ku mula memberitahu hati ku mungkin YM Guru tak perasan agaknya bahawa tadi kami sudah pun bersalaman.

'Tak apalah kalau dua kali apa salahnya, mungkin dapat berkat lebih kali ini', gurau sendiri-sendiri dalam hati.

Apabila tangan kami berdua terjabat erat, aku tersentak dengan lafas yang terbit dari mulut YM Guru, 'Pon kalau kita ni dah berguru, nak pi berubat pun kena minta izin'.

Memang tersentak benar hati aku dengan lafas itu. Lantas aku terus memohon izin pinta dari guru tanpa mahu memikir panjang, 'Saya minta maaf Pak Ak, saya kurang arif dalam hal ini, saya tak tahu, saya betul tak tahu adab ni' Lantas aku cepat-cepat sambung 'saya minta izin nak pi berubat dari guru'.

Terasa lega seketika kerana terlunas akan pohon izin seperti pesan gru sebentar tadi. Pak Ak hanya tersenyum sambil memberi izin dan segerah meminta aku lekas-lekas pergi kerana Pak Su Man sudah tercegat beberapa waktu di muka pintu.

Aku lekas-lekas bangun kerana risaukan pula hati Pak Su Man yang agak lama menunggu.

Aku beredar pergi tanpa mahu berfikir apa-apa akan pesan teguran YM guru pada aku tadi kerana selepas selesai nanti urusan dengan Pak Harun Long, aku akan kembali ke rumah guru seperti pakat-pakat kami sebelum ini.

Aku akan mengadap guru semula untuk bertanya dengan sejelasnya akan adab dan syarat berguru agar aku tidak akan tersasul lagi dalam peradaban berguru.

Maka itulah yang berlaku setelah aku bertemu semula disebelah petangnya. Maka baru aku faham bahawa berguru ini banyak tarafnya dan punya adab tersusun mengikut mertabat guru-guru itu tersendiri.

Apa pun yang jelas... teguran Pak Ak tengahari tadi tersangkut di hati ini menjadi perisai dalam peradaban berguru dan menuntut ilmu.

'kalau kita ni dah berguru, nak pi berubat pun kena minta izin'.

No comments:

Cabaran & Harapan

Buku ini merakamkan catatan pengembaraan siri Kembara Jejak Warisan Jawi (JWJ) ke luar negara yang memberi seribu cabaran dan harapan kep...