MENCARI KEBENARAN KATA ORANG TUA-TUA
Kata orang tua-tuan memang susah kita nak sangkal, mungkin kata-kata orang tua-tua itu datangnya dari orang-orang yang bijaksana, (bukan dari orang-orang yang terpacak ditengah bendang buat mengerunkan sitikus dan siburung).
Banyak pepatah, bidalan dan kata-kata hikmat terkeluar dari mulut mereka, demi membimbing dan membentuk anak-anak bangsa agar menjadi bangsa yang terhormat. Anak Bangsa yang penuh dengan susila, punya santun dan berbudaya. Manis di mulut bila berbicara, masih lagi di hati bila berkata-kala. Hidup mengekal adat dalam apa suasana dan tidak takut pada kemodenan yang datang menerpa. Apa pun usaha mereka-mereka yang terdahulu dari kita telah pun berjaya mengekalkan apa yang perlu agar kita bergelar bangsa Melayu. Tinggal yang gagal adalah kita di masa kini semata-mata untuk meneruskan budaya mereka.
Mana ada lagikah ciptaan terbaru karya kata bidalan ini? kalau ada pun di petik dari lirik-lirik lagu yang kerap di mainkan di radio-radio. Itu pun kita terdengar sambil-sambil memandu kereta menuju kesesuatu tempat mengejar atau terkejar kehidupan yang penuh dengan terpaksa.
Pernah sekali aku bersembang dengan seorang tua yang sedang duduk diberanda rumahnya melihat ke arah jalan raya, pembahagi antara kampung dan sawah bendang. Pak Mail namanya, usia kira-kira 70 tahun, seorang pesawah dan mahir dalam ilmu persilatan Melayu kita. Semasa lamun melihat kenderaan berpusu-pusu melintas di hadapan mata di kala waktu tengahari, terkeluarlah kata-kata, 'kalau aku kaya dan punya wang berjuta-juta, akan aku sedekahkan pada orang-orang susah..', tanya aku terus, 'masih ramaikan orang susah di kampung kita ni?'. Selamba sahaja Pak Mail menjawab,'kau lihat di sana, berapa ramai orang-orang susah.....", 'mana?' tanya aku... , lalu Pak Mail menjawab.'tengok tu, mereka pagi-pagi telah keluar rumah, nak pergi kerja, nak hantar anak-anak dulu ke sekolah, hantar bini pulak, baru pi kerja, kalau sempat makan pagi depa makan, kalau tak pukul 10 lah depa makan dengan kawan-kawan. Lepas tu tengahari terkejan pula balik rumah ambik anak pasai nak pi hantaq pi kelas mengaji. Lepas tu lari pulak ke tempat kerja. Petang lagi sekali terkejan sana, terkejan sini. Macam tu lah hari-hari'. Itulah yang terkeluar dari mulut Pak Mail dengan penuh kehairanan. 'Inilah dunia sekarang Pak Mail'. kata aku dan sambung Pak Mail ' sebab tu lah depa tak ada masa nak tengok dunia....'
Kata-kata dari orang yang memikirkan tentang orang sebegitulah yang membuat aku kadang-kadang ingin berjalan-jalan melihat dunia dan kehidupan..... agar aku sedar erti kehidupan, khususnya, perlu apa aku ini meneruskan kehidupan dan ke arah manakah aku tuju seterusnya...
Dan, dalam perjalanan aku ini aku terkejut juga kerana sedar bahawa bukan manusia sahaja mencari luas pandangan malah haiwan, sigajah pun berjalan-jalan bersiar-siar berkenderaan, mungkin melihat akan tamadun manusia, atau mungkin dihantar pulang setelah sesat dihutan batu ciptaan manusia...
'sedangkan gajah pergi berjalan, kenapa manusia tidak punya masa?'
oleh:say
No comments:
Post a Comment