Tuesday, July 17, 2007

S.T.Melayu bermula di Segenting Kra

MENCARI SEMPADAN SEMENANJUNG TANAH MELAYU

Nenek moyang aku telah bercerita, ayah aku pun pernah khabarkan, malah ramai juga aku temui orang yang cukup bersemangat menceritakan bahawa 'Tanah Melayu dahulunya tidak bermula di sempadan negeri Perlis, lebih jauh dari situ', akan tetapi apa daya ku, tidak punya kesempatan dan peluang untuk mencari di mana sempanan negeri tanah tumpah darah ku.

Apa pun, sehinggalah aku ketemui Dato’ Ismail Salleh, seorang ahli sejarah negeri Kedah, seorang kenalan pada arwah ayahanda ku sendiri. Dia banyak menceritakan bahawa orang Melayu kita masih ramai di selatan bumi Siam yang asal nya dahulu tanah air kita juga di bawah naungan Sultan Muhammad Jiwa, dari Setoi hinggalah ke Ranong sana, termasuklah Puket, Haadyai, Trang, Krabi, Phangnga, Phatthalung dan banyak lagi tempat adalah bumi milik orang Melayu….

Kisahnya, kalau kita ke Ranong terletak di Segenting Kra, akan terlihatlah kita di tepi jalan sebuah batu tanda yang membenarkan cerita ini. ‘Tanah Melayu Bermula Di Segenting Kra’.

Pada awal tahun 2007, cuti Tahun Baru Cina, aku mengambil kesempatan ini bersama seorang sahabat, sdr Riz, kami membelah bumi Malaysia yang tercinta bermula dari Shah Alam untuk ke Ranong hanya dengan kereta kancil sahaja. Ramai kenalan yang lain kata kami buat kerja gila! Apakan daya, itu sahaja kereta yang kami ada, mungkin satu hari nanti kami beli lah sebuah kenderaan 4x4, dan mungkin kami akan pergi lebih jauh lagi mencari sesuatu yang lebih bermakna untuk bangsa kita.

Destinasi pertama: kami sampai di Bukit Kayu Hitam, melepasi sempadan dan berhenti makan di Danok, jam sudah melewati 9.00 malam. Memang seronok dan sedap makan di restoran di pekan kecil ini, ya lah orang di sini masih bertutur bahasa Melayu ala Kelantan, makanannya murah lagi sedap.. Tom Yam pun rasa keasliannya, rasa Tom Yam bukan rasa air panas dicampur garam dan sos ikan serta diperahkan limau…mungkin kerana orang siam (Melayu) sendiri yang masak.

Destinasi kedua: kami sampai di Phatthalung kira-kira jam 1.00 pagi. Mulalah kami gelabah cari tempat bermalam, pusing-punya-pusing di dalam pekan Phatalung akhirnya jumpa juga sebuah hotel. Murah lah kalau nilai duit kita RM40 semalam, ada aircon dan TV pulak tu. Selepas mandi kami turun berjalan kaki mencari makan, Riz kena makan sebelum tidur malah aku pun kena makan juga, takut nanti kalau mimpi jalan jauh tak makan, nanti lapar pula.

Inilah kepayahan pertama, payah cari makanan halal. Nampak ada perempuan berniaga mee celup, pakai tudung tapi tak tau boleh ka makan ni, cuba bertanya, muka Melayu tapi sayang seribu kali sayang, dia tak tau bertutur bahasa kita. Cakap dia, cakap Siam, akhirnya kami naik ke bilik dan telan air sejuk sahaja, moga-moga dapat bertahan sampai pagi. Susah juga di bumi ini, yang dahulunya adalah bumi milik kita juga
.

Destinasi ketiga: Bergerak keluar dari Phatthalung seawal jam 9.30 pagi dan menuju ke Suratthani dengan harapan terjumpalah peniaga makanan Islam di tepi-tepi jalan, buat santapan pagi bagi meneruskan perjalanan. Jalan-punya-jalan tak jumpa-jumpa juga sehinggalah kami tiba di pekan Suratthani kira-kira jam 12.30 tgh. Kami pusing sekeliling pekan untuk mengisi tank perut kami….malang sungguh nasib kami, payah kami nak jumpa orang berniaga makan yang ada lambang bulan & bintang’. Akhir kata, kami singgah di pasar dan balun saja buah epal untuk alas perut sebelum meneruskan perjalanan.

Destinasi keempat: Hajat kami mahu ke Chumphon dan kemudian terus saja ke Ranong untuk melihat Batu Tanda yang dikatakan titik sempadan Semenanjung Tanah Melayu… tapi tak tahulah kami akan sampai atau pun tidak, memandangkan perut belum diisi dengan nasi. 'Orang Melayu ni kalau tak makan nasi, tak sah, dan bukan orang Melayu lah'. Tapi tak semua orang yang makan nasi tu orang Melayu… jangan silap pulak!

Kereta kami deras menuju hala ke Chumphon di atas 'highway' (tanpa tol) sambil mata tajam memerhati sekeliling, mana lah tahu kami masih ada harapan bertemu orang berniaga sesuatu untuk kami jamah.... akhirnya terjumpa juga, ada orang jual buah kelapa...ini boleh kami makan buat bertahan sehinggalah kami jumpa nasi nanti. Kami berhenti, beli, teruskan perjalanan dahulu dan cadang akan makan bila terjumpa tempat rehat.

Tiba kami di kawasan rehat di tepi highway dan terdapat ramai perniaga menjual jajan dan buah-buahan, kami berhenti di sini dan sudah pastilah kami makan buah kelapa yang comel-comel tadi. Waduh....sedapnya buah kelapa ini ada jeli di dalamnya....Memang sedap! Tengah dok syok menikmati buah nyok tu, tiba-tiba mata terpadang pada gerai menjual jajan yang hujung sekali, nampak macam penjualnya orang Melayu sahaja, terus terpandang pula pada papan tanda gerai tersebut... Pasti! Sudah pasti, itu gerai orang Melayu kerana ada lambang 'bulan-bintang'. Lekas-lekas aku dan Riz berjalan laju menuju ke gerai itu untuk lebih pasti dan untuk melihat apa lagi yang boleh kami cari untuk makan.

'Alhamdullillah' abang yang berniaga ini tahu cakap sedikit-sedikit bahasa Melayu. Kami dipetuakan untuk menghala arah ke kedai makanan orang Melayu-Islam yang tidak jauh dari situ, hanya kira-kira 5km sebelum sampai di pekan Chaya..... Tanpa lengah kami terus gerak mencari sesuap nasi..... Kami tiba di gerai tersebut, berkejan ke bahagian hidangan lauk pauk dan hanya mampu tunjuk-tunjuk sahaja apa yang kami mahu makan kerana mereka di sini tak tahu juga berbahasa Melayu. Apa pun, makan di sini sedap kerana ada sup tulang kerbau panas-panas. Di sini juga kami bertemu ramai orang-rang Malaysia yang singgah makan dalam percutian mereka, ada yang berkereta dan ada juga yang bermotor besar, kebanyakan mereka menghala ke Ranong.

Destinasi kelima: Kami meneruskan perjalanan setelah perut kami dah buncit, menuju ke pekan Chaya, sebuah pekan kecil yang diceritakan pada kami bahawa Chaya merupakan pengeluar Telur Masin yang terbaik di Thailand, hasil oleh orang-orang Melayu-Islam, malah ada sebuah masjid di kepala pekan Chaya. Tiba kami di masjid tersebut, berehat dan melaksanakan kewajiban, kemudian kami keluar bersiar-siar melihat suasana kawasan ini. Memang ramai lagi orang Melayu di sini, sebuah negeri Melayu dahulunya.... tapi tak seorang pun yang kami temui boleh bertutur bahasa orang-orang Jawi.

Destinasi keenam: Keluar dari pekan Chaya, kami ketemu jalan potong antara timur ke barat selatan Siam menuju ke Ranong, jalan ini pun telah dipetuakan kepada kami oleh mat-mat motor besar dari Perlis semasa bersembang panjang di gerai makan tadi. Jalan potong ini sungguh menarik, jalan membelah kawasan gunung-ganang yang permandangannya menyucuk jiwa, terpegun dengan keindahan alam ciptaan Tuhan. Mahu tidak mahu, sesiapa yang melalui jalan ini pasti akan terhenti juga perjalanan mereka untuk berdiri seketika menikmati indahnya alam buana ini. Begitu jugalah dengan kami. Terhenti di sini seketika pada jam kira-kira 4.30 petang.

Kami meneruskan perjalanan menuju ke Ranong dengan yakin agar kami akan tiba sebelum malam supaya sempat kami mencari tempat menginap kerana perjalanan tidaklah begitu jauh, hanya lebih kurang 100 km sahaja lagi.

Kami selamat tiba di Ranong dengan rasa penuh syukor dan banyak berterima kasih pada kereta kancil buat Malaysia ni, sudah hampir 1000 km masih lagi setia membawa kami ke mana sahaja. Tiba sahaja di pintu gerbang pekan Ranong, kami sudah ternampak pasar malam di sudut sebelah kiri pintu tersebut. Aku tengok Riz, Riz pun tengok aku, sudah faham di hati kami bahawa kami tidak mahu lepas peluang untuk berhenti di sini, pergi ke pasar malam mencari sesuatu untuk dimakan sekiranya makanan yang halal terhidang untuk kami.

Betullah kata Dato’ Ismail Saleh, bahawa di Ranong memang mudah bertemu orang Melayu. Gerai pertama yang kami temui pun sudah membuktikan kebenaran itu dan seperti biasa pertuturan peniaga itu agak kekok berbahasa Melayu. Apa pun kami dapat makan serta mendapat panduan untuk mencari hotel, tempat menginap. Horay! Kami sudah sampai di Ranong, kami sudah dapat hotel yang murah lagi selesa dan kami akan keluar pagi-pagi esok untuk ke tempat Batu Tanda yang kami idam-idamkan melihatnya dan membawa pulang gambar-gambar buat tatapan rakan-rakan dan untuk seluruh umat Melayu yang tak berpeluang datang ke sini.

Malam masih awal di Ranong, kami mahu keluar makan tom yam lagi dan kemudian pulang ke hotel segera untuk tidur sahaja. Tiba di hotel setelah kenyang, jam 10.30 malam…kami sudah mahu tidur…. ‘selamat malam semua’. Boom, tidur…..z z z z z z . . .

Destinasi ketujuh: Menuju ke Batu Tanda. Awal pagi lagi kami sudah siap berkemas untuk keluar dari hotel, tapi pertama-tama kali kami mahu ke pasar Ranong dahulu untuk makan, yang dikatakan ada orang Melayu berniaga makan. Betul, memang betul, kami makan sepuasnya seperti orang takut tak dapat makan selepas itu. Alamak! Sdr Riz nak terkucil pulak! Macam mana ni? Dah lah makan tadi main tujuk-tunjuk saja, nak terkucil ni, nak tunjuk apa pulak? Suatu sausana yang sungguh mengelirukan sekali!

Riz bergegas pergi dan seketika kemudian dia kembali…’Apa macam?’ Tanya aku. ‘OK’ jawab Riz tersenyum. Ini bukan kali pertama berlaku peristiwa sebegini, kali pertama ialah di kota Paris, semasa aku bercuti dengan isteri ku. Apa pun, isteri ku bisa menyelesaikannya walaupun dia tidak pakar dalam bahasa Inggeris dan tidak tahu berbahasa Peranchis. Sekiranya di tanya pada isteriku bagaimana dia lakukan, dia tetap menjawab, ‘Rahsia’. Walau bagaimana pun aku tetap tersedar bahawa ayat pertama yang harus kita belajar dalam bahasa asing ialah, ‘Mana Tandas?’.

Sekarang ini, semua sudah selesai di pekan Ranong, kami mula bergerak menghala ke Chumpon kerana itulah arah mengahla ke Batu Tanda. Kami pandu kereta dengan perlahan, memastikan tidak terlepas pandang apa yang kami cari-cari. Sedar-sedar sudah melebihi 30 km dari Ranong, akhirnya kami dapat kesan juga tempat tersebut. Memang mudah, Batu Tanda tersebut agak besar bagai sebuah tugu, terletak hanya di tepi jalan dan di Segenting Kra yang tersempit sekali. Itulah tempat yang memisahkan Siam dan Semenanjung Tanah Melayu dan terdapat pula sebatang sungai bersebelahan selebar 50 meter yang memisahkan pula dengan Burma.

Puas, kami sudah puas dan banyak sekali kami bergambar, ‘Inilah dia sempadan kita’.



Destinasi kelapan: Cadang nak pulang sahaja apabila tercapai hasrat ini, tapi apabila melihat jarak ke Chumpon hanya kira-kira 70 km walaupun terletak di sebelah pantai timur, selatan Siam, kami buat keputusan melawati Chumpon dahulu sebelum berpatah balik melalui jalan di pantai barat untuk singgah di Phuket, ingin juga melihat kesan-kesan Tsunami sekiranya masih ada.

Akan di sambung….. oleh:say




7 comments:

theriderinblack said...

Assalamualaikum,
Memanglah amat bermakna sekali kalau dapat orang-orang kita melihat kembali sejarah bangsa kita. Lihatlah betapa kelemahan kita telah menyebabkan hilangnya tanah air ke tangan orang. Syabas atas artikel yang menarik ni.

bangau said...

macam drama bersiri pulak.... ada sambungan.

Anonymous said...

Sultan Muhammad Jiwa tu perdana menteri Kedah di zaman Khalifah Syarif Abu Bakar Syah Maharaja Siam Islam Dynasti Ayutia yang ke 33 (yang terakhir) bersemayam di Kota Mengkuang.

gelaran paduka seri'sultan' memang diguna pakai hatta perdana menteri sekalipun...jadi walaupun sultan, pangkat perdana menteri je.

Lepas Khalifah Syarif Abu Bakar berundur dari Ayuthia, dia buat sempadan pertahanan Malayu islam dari serangan Buddha Burma (Sukhotai).

Tapi 1821 Khalifah Syarif ni mati syahid kena serang hendap dek Thai di Istana Kota Mengkuang. Lalu anak dan cucu dia Panglima Bukit Gantang pertahan tanah Semenanjung ni dari serangan Buddha. Tendang balik depa sampai lepas sempadan Malayu Cape tu.

Tahun 1909 barulah dipotong semenanjung ni dalam perjanjian Bangkok Perlis dapat kat British dan hak atas tu seme dapat kat Thai...

Patut masa merdeka Tunku Rahman bawak sekali depa masuk Malaya, tapi Raja Thai x setuju...lalu jadila sejarah yang macam hari ni.

begitulah kira-kiranya.

TMP

Anonymous said...

Nama lain khalifah syarif Abu Bakar Syah ni adalah Panglima Besar Siam.

Memang dia ada ura2 nak ambik balik Ayuthia dari Thai tetapi ada sabotaj dari Sultan Ahmad Tajudin Laksamana Kedah. lalu usaha tu terbantut, dalam pada tu dia pula di bunuh..maka berkecai la usaha Malayu Siam nak ambil balik Ayuthia...sampai laaa...

hat ni dalam sejarah Kedah takde...dalam Attarikh Salasilah Negeri Kedah 1923 pun xde...yang ni bukti kena cari dalam UUK...

Tok Pul hang jangan marah nooo..:-) aku nak perbetul sejarah je..hehe

ponpakya said...

Syabas, ada beberapa perkembangan fakta sejarah yang harus diperbetulkan dalam hal ni. Batu sempadan semenanjung. Apa pun perkhabaran yang ingin dinyatakan kepada umum sebenarnya adalah sejarah kita harus, malah mesti diperkemaskan untuk anak cucu agar mereka tahu mana tanah asal kita sebenarnya... seterusnya pertahankan. Kalau tidak tanah kita akan menjadi sempit dan anak cucu kita semakin tidak punya ruang untuk berkampung nanti.

Sama-sama lah kita mencari kebenaran dan seterusnya berusaha sekosa-kosa kita mengembalikan hak kita. Atau sekurang-kurangnya terus pertahankan hak yang masih ada pada kita. Seterusnya, sama-samalah kita terokai agar kita tak terhina nanti oleh anak-cucu kita.....

Pada tempat itu. kalau kita dapat ke sana.. kita akan terbaca sejarah bahawa seorang sultan melayu telah cuba memutuskan genting itu mengunakan gajah semata.... sayangnya mereka seluruh kerabat akhirnya dibunuh.... ikutilah kisah ini kalau dapat sampai ke sana nanti....

Anonymous said...

hebat..dengan kancil sahaja boleh sampai segenting kra..macam mana hari tu ada problem tak bawak kancil sampai sana??nak try pergi jgak..kalau boleh sampai bangkok dgn kancil...

ponpakya said...

salam kpd anon,

Emmmm, syukor semuanya selamat... kerana terlalu menarik penjalanan tu akhirnya kami adakan xpdc sehingga ke ayutthaya melepasi bangkok dengan 4x4 pada februari 2010.

sila rujuk http://jejakwarisanjawi.blogspot.com

Cabaran & Harapan

Buku ini merakamkan catatan pengembaraan siri Kembara Jejak Warisan Jawi (JWJ) ke luar negara yang memberi seribu cabaran dan harapan kep...