KU TEMUI RESAM YANG LAMA TAK KEDENGARAN
Lalu aku petik untuk tatapan rakan-rakan agar kita terus berusaha mempertahankan budaya murni bangsa kita dengan harapan tidak terjunam di lapah zaman....
Yang tertinggal untuk kita ....
.....................................
Berendoi masih bergerak aktif hingga ke hari ini dan boleh ditonton kebanyakannya di negeri Perlis, Kedah, dan Perak. Di negeri Perak nyanyian berendoi ini menggunakan nama Dendang Siti Fatimah dan seni katanya berlainan dengan seni kata yang dibawa oleh kumpulan Berendoi di Perlis dan Kedah. Adat berendoi atau buai bayi ini dipersembahkan sebagai tanda keriangan atau kesyukuran menyambut kelahiran cahaya mata. Lagu-lagu Berendoi atau Dendang Siti Fatimah membawa seni kata yang memuji junjungan Nabi Muhammad s.a.w, menceritakan perihal susah payah ibu mengandung dan melahirkan anak dan juga nasihat-nasihat kepada kanak-kanak. Ada juga seni kata yang dicipta oleh kumpulan ini disesuaikan dengan keadaan semasa. Antara lagu yang dibawa dalam majlis berendoi ialah Tuhan Rabbul'alamin, Anak di dalam Buaian, Ayuhai Anak Cahaya Mata, Kebesaran Allah, dan Aduhai Anak Jangan Durhaka. Berikut ialah lagu Anak di dalam Buaian:
Ayuhai anak di dalam buaian,
Pejamkan mata jangan tangiskan,
Lagu Berendoi kami dendangkan,
Di dalam majlis tanda kesyukuran.
Lamalah sudah kami menanti,
Namun engkau tak kunjung tiba,
Dengan takdir ilahi rabbi,
Kini engkau sudah menjelma.
No comments:
Post a Comment