Tanah Kedah Tersimbah Darah

BERTEMU KISAH UNTUK DICERITAKAN

CERITA 1 :

Hari itu bumi bertuah Kedah sedang berpesta
rakyat bumi jelapang padi penuh gembira
dalam keramaian di pekarangan kota Kuala Kedah
12 November 1821 masihi, 15 Safar 1237 Hijrah

Ada majlis perkahwinan si teruna dan si dara
anak dua orang pembesar negeri tercinta
anak Dato Bendahara Paduka Seri Maharaja
dengan anak Dato Paduka Seri Raja Laksamana

Dalam temasya padat dengan riak senang hati
ada pukulan kompang, ada rebana berbunyi
ada pencak silat diiringi gendang dan serunai
menyusun sembah menyambut tetamu yang ramai


CERITA 2:

Tiba-tiba semasa istiadat menjamu pesta
Kota Kuala Kedah diserang musuh durjana
lantas bumi Kedah jadi porak peranda
ramai bertempiaran ingin selamatkan nyawa

Ada yang tidak ketahuan punca
ada yang sembunyi sambil berdoa
tapi masih ada juga wira dan hulubalang
yang bangkit pertahankan dan berjuang

Namun kekuatan tentera laut Thai Legor begitu ramai
7000 musuh tidak dapat ditentang dan dikecai
sekoyong anak jati bumi Kedah menjadi korban
termasuklah Dato Bendehara, Temenggong dan Shahbandar terkujur di tanah halaman

Tetapi masih ada nasib disebelah kita
Sultan Kedah, Sultan Ahmad Tajuddin II terselamat jua
kerana masih bersemayam di Pulau Tiga
tak berkesempatan ke majlis pesta

Bangsa Thai bermaharajalela, bersultan di mata
merampas segala harta benda yang berharga
ramai ditawan dibawa pulang ke Legor disumpat ke penjara
putuslah saudara, hilang hubungan, hendak dicari di mana

Maka bermula dari saat itu Kedah dijajah Thai Legor
yang mempertahankan tanahair telah ramai tersungkur
belakulah perhijrahan beramai-ramai anah kedah ke Seberang Prai
70000 meninggalkan Alor Setar dengan harapan telah bersepai

Kedah menjadi sepi, siapakah wira yang akan bangkit lagi.....


CERITA 3 :

1829, seorang wira diraja bernama Tunku Kudin telah hadir
bersama 5000 orang Melayu yang handal dan mahir
menyerang kejut merampas kembali Kota Kuala Kedah
agar negeri ini dapat orang Melayu semula memerintah

Tetapi musuh Thai Legor dengan Inggeris punya helah
musuh mengepung sekeliling kota Kuala Kedah
angkatan Melayu hanya bertahan selama 5 bulan
pertahanan jadi lemah dalam serba kurang makanan

Hanya beralas perut dengan nasi gerit dan manisan tebu
kekuatan menjadi semakin ragu, tubuh jadi kian lesu
lalu musuh Thai dengan kekuatan masuk menyerbu
lagi sekali angkatan kita tumbang satu persatu...

Tetapi pantang hulubalang Melayu menyerah kalah
walaupun tinggal 30 orang panglima bertegap langkah
menghadapi 7000 musuh Thai dengan 300 ekor gajah
sehingga mati mereka berperang biar badan berlumuran darah

Begitulah kisah perebutan di kota Kuala Kedah pada April 1831
sehinggakan tersemat di dalam pantun Melayu dulu-dulu
"Pulau Sembilan tinggal delapan, satu merajuk ke Kuala Kedah
Sudah nasib menimpa badan, kita di bawah Kehendak Allah"

Namun cerita Tunku Kudin tidak berakhir begitu saja
kepalanya dipenggal diletakkan di atas talam tembaga
berkaki beralas serta berenda dan dibawa dengan gajah
ditatang oleh panglima Thai yang paling tuan dengan gah

Kepala dibawa mengadap Raja Legor Nakhon Sithamarat
sambil mengesut dipersembahkan kepada raja keparat

dan berkata panglima tu:
"ni khe hua kong thap Melayu, tee thantan sayam tat kho!!!
Ni lek rau dhai rak buk wa, kong kamlang nakhon, tii kheng kreng!!!"

diterjemahkan pula:
"Ini kepala panglima Melayu yang siam kerat!!!
sebagai bukti tentera Legor lebih hebat!!!"

Pakat demi pakat nak mengambil semula Kedah semua gagal
oleh Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah yang hampir kesal
akhirnya baginda terpaksa bersemayam di negeri Melaka
kerana terlalu hampa, dicipta baginda syair 'Duka Nestapa'

"Demikian beta sehari hari, kekanda nian dibuang negeri
Jika tak boleh muda bistari, Meninggalkan bumi istana sendiri"

"Atau kemercu Gunung Jerai, Remuklah bahadi dan cangrai
Anggur nyawa badan bercerai, Emas itu sahaja ikatan urai"

"Demikianlah sudah ibarat madah, Habis kias badingan sudah
Yang diberahi itu bukan mudah, Manikam gemala di negeri Kedah"


CERITA 4 :

Ini tahun 1838, di mana terletak sejuta harapan
muncullah wira-wira pemintaan raja yang cukup sakan
bangkit berjuang supaya Kedah dapat dibebaskan
itulah Tunku Mohamad Saad bersama rakan-rakan

Bergandingan dengan Datuk Mohd Ali anak Langkawi
berjaya mengumpul 10 ribu perjuang dari serata Tanah Jawi
dari Acheh ke Sumatera, dari Perak ke Pattani
Langkawi ke Tanjung, bersatu, berdiri lurus lagi berani

Semangat wira-wira Melayu sepakat berhimpun
di pulau empat beradik strategi mula disusun
disitulah di Pulau Bidan, Telor, Bunting dan Pulau Songsong
menguatkan iman, bersilat dan siapkan angkatan perang

Pada ketika dan waktu yang sama.....
bersidanglah para ulama berjiwa panglima
lalu sepakat menyertai angkatan perang tadi
untuk melancarkan serangan terakhir sekali

Dan di antara para ulama ini;
Sheikh Abdus Samad Al Palembangi
Sheikh Abdul Kadir Tok Kadir
Sheikh Daud Al Fathani
Panglima Sheik Wan Mustapa Tok Bendang Daya
Hulubalang Sheikh Wan Jamal serta Sheikh Masu'ud Al Banjari

Dan...

Tercatat pula nama para hulubalang Melayu
yang berani-berani menghadapi musuh beribu

seperti;

Tok Morris, Tok Merah, Tok Kameh, Tok Madi, Taib Itam, Haji Long
dan mungkin juga ada, Panglima Ismail turut bergabung tenaga

Hairan..., sungguh menghairankan
macam mana depa bersungguh-sungguhan
sehingga sanggup tinggalkan anak isteri
pi berjuang dan tak hiraukan mati

Adakah ini atas nama perang sabil
dan atau seruan jihad sudah terpanggil
namun apa pun tersemat di hati mereka
ada bicara sebelum pergi meninggalkan desa

Seperti ada terselit dalam madah
ucap selamat tinggal sebelum berpisah
"Umur panjang bertemu kembali,
pantang hidup bercerminkan bangkai,
kalau ditakdirkanya menemui ajal
di surga kita bertemu
sebab mati hanya sekali
dan sekali ini ialah mati syahid"

Maka dari itu, angkatan hulubalang Melayu
telah dibahagikan kepada empat regu
yang satu hebat tahan jika dipahat mata
kedua ibarat tulang besi urat dawai adanya

Yang ketiga adalah pakatan orang-orang Patani
Keempat siap sedia menjaga pelusuk negeri
mereka semua menghambat musuh-musuh keparat
sehingga sampai ke Legor Nakhon SiThamarat

Peperangan kali ini beroleh kejayaan
sehingga diabadikan di secebis karangan
nukilan Sheikh Abdus Samad Al Palembangi
tentang kemenangan Tunku Mohamad Saad yang berbunyi;
"Putera bukan sebarang putera
putera raja siltan pilihan
negeri Kedah telah berjaya
mengecapi nikmat anugerah tuhan
agama Islam bergerak semula
begitu lama dalam tekanan"

Serta dicatat oleh seorang putera diraja Kelantan
oleh Tuan Long Salleh dalam suratnya 1254, 13 Syaaban
antaranya tertulis;
"tengah berkira, tiba-tiba Cik Jid mari dari Patani
menyatakan negeri Legor sudah binasa pada Melayu Kedah
dan negeri Singgora pun terlengkong oleh Kedah
Negeri Patani pun orang Kedah masuk penuh
Jam(b)u pun boleh kepada orang Kedah...."

Kemenangan kita dek panglima dan hulubalang
turut tercatat pada panji-panji perang
yang mengandungi baris puisi berbahasa Arab
menandakan kejayaan sudah dikecap

puisi bermaksud;
"lantaran ini maka berakhirlah pembukaan yang bersejarah
dengan pertolongan Islam kemenangan dicapai oleh negeri Kedah"


CERITA 5 :

Kemenangan kali ini tidak juga dapat bertahan lama
kerana pasukan bantuan Trengganu Kelantan tak sempat tiba
dan pada masa itu juga raja Thai Rama mengerah armada laut
supaya menyrang kembali orang Melayu dengan mengejut

seramai tiga puluh ribu dari Bangkok mula bergerak
membantu tentera Legor agar Melayu semua berselerak
sehingga angkatan Melayu menjadi semakin sesak
mereka berundur ke Kelantan serta ke Belum di Perak

Maka detik mula tragedi pada hari itu
sepilah angkatan hulubalang Melayu
turut lenyap nama-nama ulama berjiwa panglima
entah kenapa, entah ke mana untuk sekian lama

Turut terkubur seiringan dengan mereka
seni silat yang mereka bawa bersama
Umat Melayu jadi belaka tak menentu
budaya bangsa semakin lusuh dan tepu

sehinggakan keutamaan seni silat tidak lagi diambil kira
yang selama ini milik para ulama dan hulubalang kita
dijadikan benteng mempertahankan bangsa, tanah air dan agama
dan hari ini, kenikmatan hidup kita juga yang merasa.

"Harap kini, api jauh dari panggang
Harap nanti, sireh pulang ke ganggang"

ALLAH HU AKHBAR!!!

nota: karya ini pertama kali diperdengarkan pada acara pembukaan seminar 'ULAMA BERJIWA PANGLIMA' di UIAM, Gombak, 21hb Disember 2003 / 27 Syawal 1424

9 comments:

Anonymous said...

adakah punya kisah akan kehilangan hulubalang atau panglima melayu selepas sultan kembali berkuasa di kedah waktu itu????

ponpakya said...

Selepas itu ramai hulubalang bergerak ke acheh pula kerana ada perang di sana dan ada pula di bunuh curi kerna bangsa thai masih menguasai negeri.. lihat sahaja lah bahawa sultan kembali dengan izin raja thai juga... lihat sahaja lah kenapa ada wat Thai dimana-mana dan di tengah bandar pula...

Anonymous said...

Pada tahun 1821, Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah telah belot dan membawa masuk tentera-tentera musuh Chakri Sokho Thai Raja Buddha Rama II secara senyap dan menyerang Kota Meang Kuang Benua Siam Islam Kedah secara serang hendap. Khalifah Syarif Abu Bakar Syah telah dibunuh di istana Kota Meang Kuang. Dek kerana itulah tahun serangan tahun 1821 digelar “tahun musuh bisik”, ibaratkan musuh dalam selimut. Ini juga ada dicatit sebagai bukti oleh ahli sejarah inggeris iaitu Robert Adison. Tentera-tentera Thai telah mencuri harta khazanah Syarif Yang Di Pertuan seperti Bunga Emas dan membawa balik ke Bangkok. Dengan itu, hari ini sejarah kita mengatakan bahawa Bunga Emas di hantar kepada mereka di Bangkok, pada hal ia di rampas di Istana Kota Meang Kuang dalam tahun 1821.

Paduka Seri Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah telah mengikut jejak langkah ayahnya Sultan Abdullah Mukarram Shah iaitu Raja Pulau Pinang (bukan Sultan Kedah) menjadi pembelot Syarif Yang Di Pertuan Kedah. Terdahulu, Sultann Abdullah telah membuat perjanjian sulit dengan penjajah Inggeris untuk menyerahkan Pulau Pinang kepada penjajah Inggeris Francis Light pada tahun 1786 Masihi. Dia berbuat demikian adalah kerana tamak dan inginkan pihak penjajah inggeris mengiktiraf dirinya sebagai Sultan Kedah iaitu di zaman Raja Maha Besar Benua Siam Islam Kedah masih ada dan tinggal di Kota Meang Kuang Benua Siam Islam Kedah di mukim Wang Tepus daerah Kubang Pasu Kedah.


Antara yang menjadi mangsa musuh bisik oleh tentera Raja Buddha Chakri Sokho Thai Rama II pada tahun 1821 adalah seperti makam Raja Maha Besar Benua Siam Islam Kedah Boromoraja V Ekataat Dinasti Ayutia Ke-33 Syarif Yang Dipertuan Yang Maha Mulia yang dimakamkan di Makam Diraja Siam Kampung Tualang mukim Tualang Kota Setar Kedah bersama anak lelaki keduanya iaitu almarhum Raja Siam Negeri Bangkok Koya Ngah Sultan Megat Terawis. Kedua, makam Permaisuri Maha Raja Siam Tengku Suria Ibni Sultan Tengku Marin Langkat Sumatera Pasai (makamnya digelar makam Tok Jame berada di Alor Rambai Kota Meang Kuang Kubang Pasu Kedah).

http://sejarahnagarakedah.blogspot.com

Anonymous said...

hampa sudahlah...aku sedih sangat...kalau dikenang ***** ***** *****

al-fatihah untuk moyang ku yg tercinta tok moreh dan kesemuanya...

Anonymous said...

Saya rasa Tok Ali Benua saya pun mati dibunuh Thai atau talibarut Tahi juga. Tok kata Tok Ali tu asyik duk pi berperang je, selepas beliau kembali untuk menetap diKedah dari Siam. Setelah beliau pastikan anak bini dia selamat di Kedah (Spg Empat Alor Setar) beliau selalu saja bepergian ke rantau pelusuk kerajaan Kedah masa tu. Beliau gugur masa berperang dengan tentera Thai, tarikh saya tak ingat, tok pun tak sebut rasanya, dia pun tak dak lagi, ayah dia pun kecil lagi masa tu. Mungking beliau mati masa tahun 1876 masa Thai serang Kedah dan dapat tawan Kedah. Saya kata masa tu sebab tok saya pun lahir hanya pada tahun 1918. Tok ali benua tu tok wan dia. Tapi dia kata bapa dan tokwan Tok Ali adalah orang besar Kerajaan Kedah yang dihantar oleh Raja untuk tinggal di Siam (orang istana juga lah katakan). Nak minta sapa2 yang ada maklumat berkenaan Tok Ali Benua yang tok neneknya asal dari Langkawi, dan orang besar Kedah masa tu, tolong berikan pada saya. Anak Tok Ali iaitu ayah pada tok saya pun balik ketanah air asal usul ayahnya dan meninggal disana. Tok saya baru berumur 5 tahun masa ayah beliau Hassan meniggal. Nak trace Tok Ali Benua dan salasilahnya.

Anonymous said...

macam mana nak contact ponpakya?

ponpakya said...

salam kepada anon October 30, 2010 8:31 PM

Menarik sekiranya kita sama2 dapat kembangkan cerita ini untuk pengetahuan anak-cucu melayu sekelian.

Cerita2 hulubalang melayu yang berjuang mempertahankan bumi melayu, tanah jawi ini telah saya cuba perkenalkan dalam blog lain di http://hulubalang banijawi.blogspot.com

Mungkin sdr dapat hubungi saya melalui ponpakya@gmail.com

tkasih

Anonymous said...

alfatihah buat tok2 hamba...

sedih dengar kisah depa...demi anak bangsa akan dtg...

tp la...anak bgsa xda beza dengan lahanat2 inggeris...lg duk ske nak ikut "trend" depa lg ada la...yg x tahan boleh bangga dgn apa yg depa buat...

kemana hilangnya jati diri anak2 melayu masa kini...

KEMANA HULUBALANG2 MELAYU masa kini...????

Anonymous said...

Jangan risau saudara2ku.. Sudah ditakdirkan Tuhan sejarah kedah begitu, namun warisan tetap terjaga dan diwariskan.. beristikharahlah dalam mencari salasilah panglima dari istana ini, yang membawa jalan Kepahlawanan dan Islam seiring.. Sebenarnya dekat di mata namun tetapi jauh di hati, dek kerana perjuangan untuk kembali ini tersangatlah seni. jika diketahui musuh terawal sebelum waktunya, maka tak sempatlah Panglima ini menyusun strategi.. bermohonlah supaya Tuhan bukakan pintu hati supaya nampak siapakah pembawa perjuangan seni kepahlawanan ASLI dari negeri kedah di zaman moden ini.. supaya kita mampu bersama2 berjuang di saat2 akhir nanti.. Peperangan yang amat dasyat sekali, lebih dasyat dari perang2 kedah sebelum sebelum ini..

-Pengikut perjuangan Hakiki