Cabaran & Harapan


Buku ini merakamkan catatan pengembaraan siri Kembara Jejak Warisan Jawi (JWJ) ke luar negara yang memberi seribu cabaran dan harapan kepada peserta ekspedisi tersebut. Catatan pengalaman ini dipetik oleh para pemberita dari Berita Harian, Utusan Melayu, Bernama dan RTM yang turut bersama sepanjang siri pengembaraan JWJ ini. Segala kisah dan pengalaman ini kemudiannya dikongsikan pula bersama dengan seluruh masyarakat Melayu khususnya di Malaysia melalui artikel berbentuk laporan atau rencana yang diterbitkan dalam media tempatan.

Siri Kembara JWJ ini telah mula mengorak langkah sejak tahun 2010 lagi dan pelbagai artikel mengenainya disiarkan di dalam media tempatan seperti Utusan Malaysia, Utusan Melayu, Berita Harian, Harian Metro, Kosmo, The Star, Majalah Realiti dan turut dipetik oleh media antarabangsa melalui agensi Bernama. Pihak RTM pula telah menyiarkan laporan khas dalam Berita Utama TV1 sebanyak 18 siri mengenai kisah pengembaraan JWJ2, ekspedisi merentas 7 negara.

Terbitan buku ini menghimpunkan beberapa artikel terpilih sebagai dokumentasi kekal agar menjadi rujukan mudah kepada semua pihak. Semua artikel dimuatkan dengan gambar-gambar yang dirakamkan oleh pihak pemberita dan juga sumbangan anggota ekspedisi yang mana rakaman itu juga merupakan pengkongisan kenangan dan kisah-kisah menarik di sepanjang perjalanan Kembara JWJ.

Justeru, buku ini diharap memperkayakan lagi khazanah penerbitan buku berkisar kisah pengembaraan anak-anak Melayu sekali gus menyuntik semangat kepada generasi muda masa kini untuk meneroka seterusnya mengenai sejarah, warisan dan kedaulatan bangsa Melayu.



BAKAL TERBIT. LEBIH 250 MSURAT. LEBIH 300 PHOTO