Masih Mencari Panglima Ismail

KU TEMUI PULAU TEMPAT BERSEMADINYA PARA HULUBALANG MELAYU

Memang tidak semudah seperti pulut dengan serawa, mencari sesuatu yang tidak pasti di mana harus di cari. Nak di korek bumi kedah, tak ku tahu tanah di mana. Nak diselak helaian kitab sejarah, tak ku tahu lagi kitab yang mana. Nak diteliang pada nisan bertanda, tak ku pasti nisan yang mana.

Semakin jenuh langkah ku mencari, semakin lengguh kian menjadi. Apa pun pesan Ayahanda guru, “dua perkara jangan kita buat, satu putus asa dan kedua merugut semata-mata”. Langsung aku teruskan pencarian ini setelah sekian lama terhenti….

Sempat seketika pada bulan lepas setelah aku menemui gambar makam Panglima Ismail hasil dari maklumat oleh seorang saudara ku yang berasal dari kampung sebelah ibu ku, Yan, Kedah, telah mengajak aku kembali mengembara meneruskan pencarian aku akan panglima tersebut.

Pada peringkat awalnya aku agak gembira apabila ku lihat gambar itu, tetapi kemudian teringat pula pada kata Guru yang arif “Dengar dengan telinga, jangan percaya. Lihat dengan mata, jangan percaya”. Inilah yang membuat aku mengambil keputusan untuk meneruskan usaha seterusnya ke Utara semula untuk melihat sendiri kesahihan makam Panglima Ismail.

Aku berenjak pada malam jumaat bertemankan anak lelaki aku setelah melepasi jam 12 malam menaiki kenderaan 4x4 dengan dilengkapi radio cb, wakie talkie, khemah, camp bed, kelengkapan memasak… kerana aku tak pasti ke mana sebenarnya aku akan tiba, makan-minum dan bermalam.

Setelah berjam-jam bersengkang mata melawan cahaya lampu menyilaukan pandangan ku ketika memandu, maka tiba aku di Desa Rimba, Padang Rengas untuk merehatkan tubuh, tidur seketika dan bermandi manda sebelum meneruskan perjalanan ke daerah kerian, kawasan yang aku agak bersemadinya Panglima Ismail seperti di dalam photo itu.

Tiba aku di sebuah masjid lalu menekapkan mata ku pada pandangan sekeliling kawasannya cuba memastikan kawasan itu sama seperti di dalam photo itu....... Di sini agaknya bermakam Panglima Ismail, Tok Bidin dan Panglima Tok Rashid. Tanya aku pada diri sendiri, cuba memastikan sesuatu yang masih belum pasti.

Lagi sekali perasan ku semakin celaru. Apa tidaknya….. Kisah telah menyebutkan bahawa Panglima Tok Rashid yang berasal dari Sedaka, lahir dalam tahun 1863 beserta Panglima Ismail yang ketika itu dalam tahun 1890 membuat keputusan untuk berhijrah dari Mukim Dulang Yan ke Sungai Tuntung Krian, setelah berlaku satu wabak taun di Sungai Limau Yan, Dulang Besar dan Dulang Kecil.

Akan tetapi sebelum sempat berpindah, Panglima Ismail telah meninggal dunia terlebih dahulu dan jasad Panglima Ismail itu telah disemadikan di sebuah pulau yang terletak di negeri Kedah.

Mana mungkin! Mana mungkin Panglima Ismail di semadikan di kawasan yang sama dengan Tok Rashid dan anaknya Tok Bidin di tanah besar semenanjung padahal kisah tersebut tadi menyatakan Panglima Ismail telah disemadikan di sebuah pulau. Pulau yang mana? Lantas jawab aku sendiri dengan cukup yakin, pastinya pulau empat beradik. Pulau yang telah menjadi medan latihan panglima-panglima melayu beserta Ulama nusantara berhimpun menyiapkan diri, mengumpul kekuatan untuk berperang dengan tentera bangsa Thai dalam peperangan bergelar ‘Perang Musuh Bisik’.

Aku teruskan langkah ku setelah melepasi waktu Asar dari tanah Kerian untuk menuju ke daerah Yan, ke kampung tok nenek aku sendiri......... tetapi keletihan telah mengheret tubuh ku sehingga terasa terlalu lemah dan memaksa aku berhenti bermalam di Sungai Petani.

Pagi sabtu, seawal pagi telah siap aku untuk meneruskan perjalanan ke makam Merong Mahawangsa terlebih dahulu sebelum ke kawasan terletaknya pulau empat beradik tersebut. Terpaksa aku bertanya-tanyakan orang kampung untuk sampai ke makam Sultan Kedah yang pertama ini (1160-1179) . Mana tidaknya! Terpaksa melepasi kampung dan ladang kelapa sawit sebelum tiba di kaki Gunung Jerai di mana terletaknya makam tersebut.

Aku berhenti hanya seketika di sini…. Teruskan perjalanan ke kawasan pulau-pulau tersebut…….

Mengenai pulau-pulau itulah, bait-bait ini telah ku rakamkan seperti dalam karya Tanah Kedah Tersimbah Darah :

“Semangat wira-wira Melayu sepakat berhimpun
di pulau empat beradik strategi mula disusun
disitulah di Pulau Bidan, Telor, Bunting dan Pulau Songsong
menguatkan iman, bersilat dan siapkan angkatan perang”








akan bersambung…. kisah penemuan di pulau……