Nota : Perkatan Siam dalam karya ini bermaksud bangsa Thai pada masa itu, zaman peperangan musuh bisik.
SIRI MUSUH BISIK
RAMAI YANG MATI SYAHID
OLEH: ISMAIL BIN HAJI SALLEH
Sebelum orang-orang Kedah sempat mengkaji dimana letaknya kelemahan mereka, Kota Alor Ganu dan Kota Padang Saujana telah jatuh ketangan orang-orang Siam. Kejayaan ini dapat mengasingkan orang-orang Melayu di Langgar dengan orang-orang disebelah Kuala Kedah. Siam telah menggempur Alor Ganu disebelah malam dan ramailah orang-orang Melayu yang gugur. Seorang daripadanya ialah Panglima Hitam yang dianggap keramat di Padang Saujana. Kuburnya masih menghiasi kampong itu hingga kehari ini. Syed Husin yang menjadi pengharapan Tunku Muhamad Saad di Kota ini telah terkurban bersama-saman enam ratus orang perwira.
Alor Ganu mempunyai beberapa pucuk meriam yang berjasa dan sekarang telah dapat dipergunakan oleh Siam. Dari Alor Ganu Siam menghantar rombongan-rombongan penyerang malam ke Kota Rentang dan Pulau Kerengga, tempat-tempat ini dengan senangnya diduduki Siam dan matlamat mereka hendak merebut Kota Kuala Kedah bertambah mudah apabila Gunung Keriang dapat dijadikan markas yang kedua selepas Alor Ganu. Dari Gunung Keriang mereka melancarkan serangan keatas Kota Kuala Kedah tiap-tiap malam dan berundur semula ke Gunung Keriang di waktu siang.
Sebuah lembaga Buddha tersenyum dipinggir Gunung Keriang dibina oleh tentera-tentera Siam ketika merayakan kejayaan mereka merampas negeri Kedah dari Tunku Kudin dahulu sibuk dipuja semula.
Satu ketumbukan orang Siam dihantar menyerang Langgar dan Limbong melalui Bohor, Lepai dan Sungai Mati. Datuk Lela berjuang mati-matian. Disepanjang-panjang kota dari Limbong hingga ka Kota Rentang dan terus ke Kuala Jerlun bersusun-susun mayat perajurit yang terkurban. Diatas tembok kota itulah dikebumikan dan ditalkinkan.
Sekarang ini, selain dari senjata yang berkarat, peluru-peluru meriam dan tunggul-tunggul buluh yang tuaterdapat di tembuk-tembuk kota lima belas batu ini terdapat pula batu-batu kerikil menandakan kepala dan kaki pahlawan-pahlawan yang gugur. Terdapat juga nisan yang cantik berselirak di Langgar dan di Limbong, beratus-ratus banyaknya menandakan beratus-ratus pula yang sempat dikuburkan dengan sempurna. Di Negeri Kedah ini, dimana terdapat nisan yang usang, letaknya tidak jauh dari kota tanah, tempat mereka berjuang.
Terdapat kubur seorang ulama di Serokan hampir perbatasan Kedah dan Seberang Perai, seorang pejuang yang gugur mungkin dalam pertarungan kali ini juga dan dinisannya berpahat dengan “Inna fatahna laka fathan mubina” membayangkan harapan kuat untuk orang Melayu menempa kejayaan dan senandongnya irap-irap syair orang Langkawi. Beberapa banyak nisan yang tidak bernama beratus-ratus banyaknya di Langgar dan di Limbong. Berapa banyak Panglima Hitam, Tok Serban Hijau, Tok Tungkat, Tok Janggut, Keramat Anak Dara, Tok Amar, Tok Raja dan lain-lain yang ada disana dan di Alor Ganu, di Naga, di Kuala Kedah dan di Anak Bukit, di Kalai, di Bukit Wang dan di Pulau Pisang dan di Perlis serta di Setol. Berpuluh-puluh yang berdarah raja sempat dikumpulkan didalam Kota Makam di Langgar, ramai pula yang tercicir bersama rakyat sebanyak. Banyak lagi Tok Jambi, Tok Pasai, Tok Siak dan Tok Kemboja, di merata-rata tempat yang syahid bersama orang-orang Kedah. Di Mempelam dekat Kuala Kedah tersadai mayat seorang ulama Banjar, Shaikh Mas’ud dari titisan Raja Kartasyuta Banjarmasin, tidak sempat dikuburkan hilang dibawa arus.
Alor Setar menjadi tempat pertarungan haibat yang sukar diatasi oleh angkatan Legor. Istana Sultan dan Balai Besar ialah diantara bangunan-bangunan yang kuat sekali dipertahankan. Meriam-meriam yang digunakan dalam pertahanan bandar ini masih menghiasi perkarangan Masjid Zahir. Bukanlah secara kebetulan meriam-meriam itu diletakkan diperkarangan Masjid Zahir tetapi dirancangkan kerana di tapak masjid itulah letaknya sebuah perkuburan luas para pejuang yang terkorban. Apabila Masjid Zahir didirikan disitu dalam tahun 1913, kubur-kubur para pejuang dipindahkan ke Alor Merah dan ke Akar Peluru. Tetapi masih banyak yang tidak dipindahkan bernirai-nirai di perkarangan Masjid hingga ke tebing sungai tanpa nisannya. Meriam-meriam di perkarangan masjid itu Cuma menjadi kesan peninggalan kepada tapak atau medan pertarungan antara Islam dengan bukan Islam lebih seratus tahun dahulu.
Kuburan para pejuang terdapat juga di tebing Sungai Kedah dikawasan Mahkamah Rendah sekarang. Sebuah kawasan perkuburan yang lebuh luas ialah di Tanjung Bendahara. Tok Lidah Hitam berhampiran pintu masuk ke kawasan Kolej Sultan Abdul Hamid ialah lanjutan dari perkuburan Tanjung Bendahara itu. Sepucuk meriam di hadapan bangunan asrama Kolej ditemui di kampong Tanjung Bendahara di belakang asrama tersebut. Sepucuk lagi meriam besar tetapi telah patah ada di tebing selatan Sungai Kedah bertentangan dengan Kampong Tanjung Bendahara ini.
Orang-orang Suka Menanti dan Alor Merah memberi pertentangan sengit yang menjadi buah mulut sehingga hari ini. Kota tanah di Pantai Johor ialah sebahagian dari kota pekeliling yang melengkongi Istana Anak Bukit. Meriam yang menjadi perhiasan di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, di Jenan, ditemui di kuala Sungai Alor Merah.
Masa kelang padi Kerajaan di Anak Bukit hendak didirikan dalam tahun 1920 (?) dahulu, orang-orang kampong telah diupah menggali sebuah perkuburan di tapak kelang itu dan mengubah tulang-tulangnya ke tempat lain. Beratus-ratus kubur kepunyaan para pejuang yang mempertahankan Anak Bukit juga didapati jasad-jasad yang tidak reput, masih merah dan bersih, tanda-tanda orang mati syahid.
Sedang tentera-tentera Siam beransur tiba dan mencetuskan pertarungan di sana sini beratus-ratus buah perahu kecil dan besar serta rakit dan apongan dari ulu telah menghilir ke Kuala meminta perlindungan kapal perang “Hai Seng”. Kapten Warren yang diperintahkan supaya membantu Siam di dalam peperangan ini diarah dengan tegasnya pula supaya menolong orang-orang yang meminta perlindungan Inggeris. Kebengisan Siam yang di luar peri kemanusiaan termasyhur ke mana-mana.
Kapten Warren telah pun menyediakan sebuah tongkang besar, sebuah top, lima buah perahu besar dan seratus lima belas perahu-perahu kecil di keliling kapalnya untuk membawa orang-orang pelarian ke Pulau Pinang.
Sebuah kapal perang, “Emerald” yang mempunyai dua puluh lima orang kelasi Melayu telah mengiringi tiga ribu orang pelarian dari Kuala Kedah ke Pulau Pinang. Dalam perjalanan mereka disertai pula oleh pelarian-pelarian dari lain-lain kuala dan kejadian seperti tahun 1821 berulang semula. Dua pertiga dari pelarian-pelarian yang berhijrah ialah wanita dan kanak-kanak serta orang-orang tua dan orang-orang yang tidak berdaya. Penghijrahan ini berlangsong selama beberapa malam berturut-turut dan Bandar Pulau Pinang gempar semula dengan kisah-kisah keganasan Siam.
4 comments:
Alhamdulillah, semakin ramai orang Melayu yang celik sejarah, semakin banyak bukti baru telah timbul membatalkan segala mitos dan dongengan lama.
Semakin ramai Melayu yang telah sedar dan mahu melihat sejarah mereka dari sudut yang lebih positif.
Tapi sayang, dalam pada itu ada jugak orang Melayu yang sengaja tidak mahu baca dan paham sejarah. Takut kecut akan kepentingan mereka yang sedang pun tergugat. Maka mereka pun berpusing2 putar alam dalam menghalalkan sejarah versi mereka yang sudah pun tenggelam punca. Sekejap mengaku raja sekejap mengaku orang biasa.
Mereka dan para pengikut mereka itulah golongan Melayu bodoh lagi dungu yang gelap hati mereka yang bakal dicop sebagai PENGKHIANAT AGAMA ISLAM DAN PENGKHIANAT BANGSA MELAYU ALAF BARU.
Betul kata tuan, sejarah itu hidup maka mari bersama kita mencari persamaan dalam menegak kebenaran.
Herman Abdullah
harap x keberatan saya share link blog ni ngn sahabat2 yg lain.. :)
maaf bertanya,bukankah siam itu nama bagi pemerintah islam siam.kafir thai menjatuhkan kerajaan siam.setelah mereka menggantikan kerajaan islam siam mereka juga yang menyerang kedah.kerana kedah menolong kerajaan islam siam.
Tapi, ada juga yang menyatakan wilayah jajahan kerajaan islam siam luas hingga ke kedah.mungkinkah penyerangan ini termasuk menghapuskan pemerintah islam siam.
sejarah bangsa ini sungguh datang dari pelbagai arah.sehingga keliru mana satu aslinya.semoga ALLAH membuka jalan-NYA untuk bangsa ini mengetahui kebenaran tentang sejarah mereka.Ameen.
tuan pemilik blog,maaf.saya tak melihat yang ditulis oleh penulis bahawa siam disini merujuk kepada bangsa thai.maaf khilaf.
Post a Comment