Dari Semenanjung ke Ayutthaya

TERSANGKUT DI AWAL PERJALANAN

Aku sudah mula naik rimas dengan keadaan ini, sudah begitu lama di sini tetap tidak dapat menyelesai masalah yang tidak di duga sejak awal kami cuba melepasi tempat ini.

Aku bukan setakat rimas dengan kerenah yang ada tetapi bertambah rimas apabila melihat rakan-rakan yang lain terpaksa menanti sejak awal tengah hari membawa ke petang dek kerana menunggu aku dan Anas menyelesaikan masalah kami di sempadan ini.

Rasanya, rakan-rakan lain sudah naik jemu mundar mandir di pekan kecil ini, pekan Danok, setelah hampir 5 jam tersangkut di sini kerana kenderaan pacuan empat roda aku dan Anas bawa tidak dapat melepasi sempadan kerana dokumen kederaan yang tak lengkap. Puas kami mencari akal dengan bantuan rakan-rakan lain agar dapat menyelesaikan masalah kecil ini. Hanya kerana tuan nama kenderaan dalam grannya tidak menyediakan surat kebenaran melepasi sempadan.

Nampaknya, seolah rakan-rakan yang lain semua dah jemu sangat dengan situasi ini, pakat semuanya melepak di kedai Tom Yam behampiran dengan pos imigresen Thailand. Mereka sudah makan, minum dan makan dan minum, akhirnya ada yang terlentuk di meja makan dengan harapan apabila terjaga nanti semua masalah selesailah sudah.

Rasanya pasukan yang melalui jalan ini pada tahun 1820an dulu tidak pernah merasai masalah dan kerenah seperti yang kami lalui ini. Rasanya Sheikh Abdul Samad Palembang, Panglima Muhammad Ali, Panglima Ismail, Tok Morris, Tengku Muhammad Saad dan rakan-rakan yang lain pasti tidak mengalami masalah seperti ini ketika mereka melepasi di bukit kayu hitam ketika menghambat angkatan Thai ketika dalam peperangan ‘Perang Musuh Bisik’.

Tentu mereka akan ketawa dan merasa hairan sekiranya kami ceritakan masalah ini kepada mereka. Mana tidaknya, Danok, Satun sehinggalah ke Ranong di Segenting Kra masih dalam jajahan pemerintahan Kedah ketika itu.

Sempadan kita semenanjung berada di atas Ranong sana, diberikan pada orang Melayu semenanjung untuk tadbir dek kerana Sultan Muhammad Jiwa telah berkahwin dengan Paduka Bonda, anak raja Ayutthaya satu masa dahulu.

Jadi mereka –mereka pada zaman itu tidak punya masalah dokumen untuk melepasi sempadan. Mana ada surat beranak, kad pengenalan apa tah lagi paspot untuk ke mana mana di bumi Allah ini. Malah sempadan Benua Melayu pada ketika itu adalah mengikut pertuturan bahasa, amalan budaya dan kuasa pemerintahannya. Tidak pernah mengikut garisan sempadan di dalam peta di atas kertas semata-mata.

Tetapi mungkin juga hulubalang yang mempertahankan bumi semenanjung pada ketika perang musuh bisik itu dahulu akan maki hamun kita anak-anak Melayu pada zaman moden ini kerana tidak pernah mahu memahami dan meneruskan perjuangan mereka selama ini.

Mereka korbankan segala keindahan duniawi yang ada ketika itu, meninggalkan harta benda, keluarga dan pekerjaan kerana turut bersatu dan berhimpun di pulau empat beradik, Pulau Songsong, Pulau Bunting, Pulau Bidan dan Pulau Telor di Yan, Kedah. Di pulau inilah hulubalang-hulubalang Melayu yang datang dari seluruh pelusuk benua Melayu, berlatih dan menyusun strategi untuk menghalau angkatan Thai yang telah menakluk bumi Kedah pada tahun 1821 agar pulang ke negeri sendiri. Agar umat Melayu yang berada di semenanjung kekal dengan amalan Melayu dan Islamnya. Maka Kedah pada ketika itu telah diistiharkan sempadan dan medan peperangan Jihad fi sabilillah mempertahankan Islam daripada lenyap di bumi semenanjung ini.

Syukor kita pada hari ini, umat Melayu di semenanjung yang bersempadankan dari Perlis, Kedah dan Kelantan masih menjadi mejoriti beragama Islam. Kita terselamat, tidak seperti umat Melayu di utara semenanjung seperti di Krabi, Phatalung, Puket, Ranung, Chaya dan lainnya agak ramai telah gugur Melayu serta Islamnya dek kerana terjajah oleh pemerintah yang beragama lain.

Malah bukan di utara semenanjung Melayu ini saja telah hilang ketuanan asalnya, kerajaan Ayutthaya yang pada asalnya di bawah pemerintah seorang raja Islam akhirnya turut hilang identiti Islamnya bertukar menjadi kerajaan penganut agama Buddha setelah jatuh ke tangan Bangsa Sokhothai rakan bantu kepada angkatan Burma.

Segala perstiwa yang berlaku sebelum 190 tahun yang lalu ini tidak pernah secara jelas di ceritakan oleh nenek moyang kita dahulu. Ibarat bangsa Melayu ini bagai bangsa yang dayus dan tidak pernah mempunyai tokoh dan hero yang tulin dalam mempertahankan Bumi Melayu atas nama Agama dan Bangsa.

Inilah yang membuat aku serta rakan-rakan yang tersangkut di Danok bertambah risau kerana perjalanan kami menuju ke Ayutthaya tersangkut di sini dek kerana kerenah di pos imigresen Thailand. Terasa ruang waktu 10 hari cuba menjelajah bumi Siam melihat kehidupan bangsa Melayu tinggalan dari kesan perang musuh bisk akan terjejals kerana telah bermula dengan kepayahan, namun usaha tetap diteruskan dan keputusan terakhir sekiranya tidak dapat juga membawa kedua kenderaan kami melepasi sempadan, adalah meninggalkan kedua kenderaan kami di sebelah Malaysia dan meneruskan perjalanan dengan 4 kenderaan lain.

“Okey, kita boleh gerak sekarang”, arahan datang dari Zainon yang baru menyelesaikan masalah kenderaan kami di pos imegresen. Aku dan Anas tersenyum gembira apabila melihat rombongan Zainon berserta Nik, Adnan dan Nazri yang masing-masing berwajah riang sambil menceritakan pengelaman mereka dalam menyelesaikan masalah dokumen kenderaan kami.

Rakan-rakan yang lain turut berkumpul setelah mendapat berita baik selepas hampir 6 jam menunggu. Wajah masing-masing kembali cerah kerana perjalanan kami ke Pulau Koh Klang di Krabi, destinasi seterusnya akan menjadi kenyataan.

Turut tersenyum lebar tampak di raut wajah wartawan dan jurufoto Berita Harian, saudara Shaarani dan Pak Ya serta saudara Herman dari majalah Realiti.

“Okey, rakan-rakan konvoi. Kita akan bergerak sekarang ke Koh Klang kerana penduduk Melayu di sana telah menanti kita, makanan telah lama disediakan untuk kita sejak tengah hari tadi dan malam ini kita kan berkampung di sana”, pengumuman ketua konvoi kami, Ustaz Zaid melalui radio amatur dari kenderaannya.

“Radio cek dari kenderaan lead” Zaid meneruskan

“Bangau cek” Balas Tazmizi yang lebih di kenali sebagai ‘bangau’.

“K1 cek” oleh Chip atau nama sebenarnya Saiful Affendi

“K2 cek” dari Dalim

“Zaki cek” oleh Zaki dari kenderaan Hariri

“okey sweeper cek, semua konvoi nampaknya telah bersedia sekarang dan lead kita boleh rolling sekarang, over and standby” makluman dari aku sebagai sweeper konvoi kali ini.

“Okey konvoi, kita roliing sekarang” arahan dari Zaid sebagai kepten konvoi ekspedisi ‘dari Semenanjung ke Ayutthaya’ bermula tarikh 12 sehingga 21 Februari 2010.

Maka 6 buah kenderaan pacuan 4 roda dari anggota Blackwind Adventure Team yang telah memulakan perjalanan sejak semalam dari Kelang, Selangor telah dapat meneruskan perjalanan setelah tersangkut di Danok hampir 6 jam yang lalu.

Seterusnya ke Pulau Koh Klang……..


No comments: