Monday, June 23, 2008

MENCARI PONPAKYA

KETEMUI DIA ANTARA HIDUP DAN MATI

Pagi itu cukup hening, seperti pagi yang biasanya datang menjenguk ke kampung jeniang, mampir lembut membawa kabus bersama bayu sejuk menutupi pandangan keindahan bumi tempat anak-anak desa berteduh.

Pak Ya seperti biasa juga sudah pun bangun subuh-subuh lagi, merenung keluar jendela usang dari kediaman rumah papan yang terletak di tepi bukit menghala pandangan ke sebatang jalan raya sebagai penghubung dari pekan gurun ke pekan jeniang. Rumah mertuanya ini agak jauh dari rumah jiran-jiran yang lain, rumah ini agak jauh juga dari sumber air. Mahu tidak mahu, penghuni rumah ini harus juga menyerbangi jalan raya itu untuk ke anak sungai bukit yang sudah tentunya sejuk dan deras airnya.

Itu lah yang membuat Pak Ya kerap awal bangun untuk menemani isteri tersayang dalam melaksanakan tugasnya setiap pagi, turun ke sungai untuk membasuh, mandi dan sekaligus mengambil air untuk bekalan seisi rumah setiap hari. Bukan si Pariah, isteri Pak Ya tak mampu ke sungai berulang alik untuk tidak terlalu awal membelah kabus, melintasi jalan raya, menyeliyap melalui semak-semak, tetapi suaminya sendiri yang tidak merelakan begitu. Jalan raya itu bukan lah seperti jalan di SS 2 Petaling Jaya, sibuk dengan kenderaan yang berlumba-lumba mengejar waktu ke kerja mahu pun jam masih tidur menanti jaga ketika subuh.

Jalan raya di kampung Pak Ya ini sangat jarang mendengar motokar menumpang jalan, kalau ada pun sesekali bas akan lalu antara kedua pekan itu. Itu pun hanya dua kali sehari bagi kemudahan anak desa hendak pekan, Itu pun kalau ada.

Pada tahun sebegini awal kira-kira tahun 1964, anak desa di sekitar bumi Kedah ini belum lagi kenal akan kemodenan apatah lagi memiliki jentera mobil untuk tunggangan ke mana-mana. Yang ada, yang agak berada, pun hanya memiliki sebuah gerek untuk ke tempat kerja. Itu pun sama bagi Pak Ya sebagai seorang guru di sebuah sekolah kampung, mengajar anak-anak bangsa untuk mengenal akan bangsanya juga.

Bukan apa-apa, Pak Ya melepaskan pandangan ke luar jendela setiap pagi hanya sekadar menikmati alam buana sehinggalah kabus terasa agak malu lalu membiar cerah berganti waktu. Ketika itulah Pak Ya akan mengajak kasih untuk bersiap dan turun ke sungai. Pak Ya laku ini setiap pagi, menemani isteri agar nanti pabila dia keluar ke sekolah hatinya terasa nyaman kerana isteri dan anak-anak sudah selesa di rumah menanti kepulangan Pak Ya di waktu mentari tegak di kepala. Mereka akan makan bersama, bersama kasih bertemu sayang sekeluarga.

Hari ini memang sama seperti hari-hari lainnya. Tetapi acara ke sungai agak kelainan kerana anak jantan Pak Ya sejak awal tadi sudah celik matanya dan dalam diam memerhati gelagat ayahanda serta bonda bergurau senda sambil menanti waktu untuk turun ke sungai. ‘Pon’ nama timangan, anak ketiga, anak lelaki yang pertama, anak yang bongsu, baru berusia 2 tahun sudah pun melontar senyuman pagi tangkala si ibu menatap wajahnya dalam memastikan samada semua anak-anak mereka masih nyenyak tidur.

Si ibu pura-pura tidak perasan senyuman si kecil ini kerana mahu dia terus tidur lena pagi itu agar urusan bersama suami ke sungai dapat disegerakan, supaya suami dapat segera juga ke sekolah.

Pon terasa tidak mendapat layan dari ibu lalu di pejam mata agar pilu tidak menguasi kalbu. Terbayanglah dia akan ayahanda dan bonda meniti jalan ke sungai meninggalkan mereka tiga beradik ditemani nenek dan datuk. Terbayang akan dia juga bertapa seronoknya bermain air sungai sambil melihat bonda membasuh. Maka lantas bangunlah si Pon sebelum sempat ayahanda dan bonda turut dari rumah memijak tangga yang agak reput. ‘Cek nak ikut…cek nak ikut’, terbit suara Pon dalam keresahan takut ditinggalkan…..

Akan bersambung…..

oleh-say

No comments:

Cabaran & Harapan

Buku ini merakamkan catatan pengembaraan siri Kembara Jejak Warisan Jawi (JWJ) ke luar negara yang memberi seribu cabaran dan harapan kep...