MENCARI & BERTEMU : Pasti ini lah kebenaran, bahawa sesuatu itu wajib ada permulaan... Harap ini lah permulaan bagi sesuatu yang baik. Baik bagi semua dalam usaha mencari & bertemu dan untuk kita abadikan buat selama-lamanya sehingga ke anak cucu.... "Marilah kita sama-sama bermula dari sini...."
Saturday, September 20, 2008
Kerap Mencari Jalan Seterusnya
Kerap kali sekiranya Ayahanda Guru tiba di bandar Anggerik ini, aku sedaya upaya melapangkan diri untuk dapat bersama Ayahanda Guru....walaupun kerap kalinya aku terlewat hadir, namun kerap kali aku usahakan juga... beginilah bertapa tak senonohnya seorang murid... itulah aku, yang hadir ke majlis Ayahanda Guru kerap kalinya lebih lewat daripada Ayahanda sendiri.
Bukan aku tak sedar itu. Tapi aku memang kerap kali kurang kesedaran dan kerap kali tewas dalam melaksanakan tugasan sebagai seorang murid...
Ayahanda Guru memang kerap tepat pada masanya, malah kerap menunaikan janjinya dan tanggungjawab akan beliau laksanakan begitu gitu tanpa menghiraukan apa-apa. Tidak bagi kami. kami kerap kali menghirau perkara yang lain dan kerap kali lalai akan kerja-kerja yang sebenar, kerja-kerja yang benar.
Apa pun pada khamis malam jumaat itu, tarikh 18hb September 2008, aku bersama rakan-rakan yang lain sempat duduk sesidang bersama Ayahanda di dalam kamar tertutup dan berkunci. Duduk menghadap diri menghala pada Ayahanda yang ingin meyampaikan sesuatu seolah ada pesan-pesan untuk dilaksanakan. Perkara ini kerap kali tidak berlaku... tetapi pada malam itu, selepas selesai majlis Ayahanda tidak terus bangun, matanya memerhati ke mata-mata kami, merenung jernih pada matanya bagai menyimpan sejuta rahsia tersemat dikalbunya. Ayahanda berdiam seketika seperti masa terhenti seolah membiarkan sepi mengunci waktu dan mengizinkan ruang itu dipagari dinding maya yang tebal agar apa yang akan diperkatakan tidak tertembus keluar dari kamar itu.
Melihat pada suasana itu, perlahan-lahan kami duduk bertekap dan perlahan-lahanlah Ayahanda mengeluar kata-kata memulakan bicara, cuba menyampaikan sesuatu dan akhirnya bicaranya menjadi semakin tegas tentang perjuangan anak bangsa, perjuangan nenek moyang, perjuangan serba murni, perjuangan mengembalikan 'sireh pulang ke ganggang', perjuangan suci orang-orang terdahulu, perjuangan tanah air, perjuangan tanah melayu. Perjuangan yang harus bertingkah bahu, yang harus kami tahu, yang harus kami semua bersatu, yang harus kita buat dahulu. Tanpa lalai atau abai, jangan lupa jangan alpa, usah sampai tinggalkan usah sampai ketinggalan.
Bicara pesan Ayanhanda Guru disampaikan terpuas hati-hati kami dan harapan ia terbenam terus dikalbu, harap kami kerap kali tak lupa-lupa lagi. Harap bicara tersimpan hanya antara kami, terkunci dalam kamar itu sahaja dan hanya terpindah ke telinga sahabat yang lain-lain pabila kita diizinkan masanya.
Apapun, aku tetap kerap sedar yang aku kerap kali manusia yang kerap kali kurang upaya kecuali dengan keizinan Maha Esa maka dapat aku kerap kali melaksanakan dengan sekosa-kosanya...
Wednesday, September 10, 2008
MENCARI HULUBALANG DUNIA

Mereka datang satu pasukan
Penuh amanah membawa utusan;
Di atas nama Tunku Muhammad Saad
Dan pahlawan-pahlawan
Untuk menjaga dunia
Dan
Mengatasi penjajah pengkhianat
Penuh dengan kemurkaan
Dan padat dengan kejahilan
Watikah di baca
Sebelas acara semuanya;
Perwira-perwira di syaki
Berada di tanah air tertumpah darah
Dan pengkhianat-pengkhianat telah mengambil alih Tanah Air
Urusan-urusan yang pasti bertingkah bahu
Mesti ikut syarahan-syarahan
Sedihnya keadaan di benua
Yang tertumpah dengan darah yang mengalir
Di hati yang berjiwa
Kami harus bersatu
Tingkah laku
Pesan mereka;
Orang ada
Mana nak di cari dia
Bila nak berhuru hara
Datanglah segolongan perwira-perwira
Berhajat berdusta
dengan tingkah laku yang berhuru hara
golongan perwira
percayalah dengan golongan yang kedua
inilah perjuang-perjuang dia
yang boleh di harapkan
mereka berlalu
sehingga ketemu….
(ponpakya bersama Sultan dan Sultanah Kedah Darul Aman)

Friday, September 5, 2008
MENCARI HULUBALANG MELAYU TERAKHIR
Mana pergi mereka-mereka itu?
Mana menghilang para hulubalang Melayu?
Kisah yang terdengar terlalu hebat!
Berjuang mereka tanpa erti mengenal penat...
Bagai di kata;
KALAU ROBOH KOTA MELAKA
PAPAN DI JAWA HAMBA DIRIKAN
KALAU SUNGGUH BAGAI DIKATA
NYAWA DAN BADAN HAMBA SERAHKAN
Mereka berjuang bermati-matian;
BERPUTIH TULANG HARAM BERPUTIH MATA
Hanya mereka ini lah....
DICAMPAK KE DARAT MENJADI GUNUNG
DICAMPAK KE LAUT MENJADI PULAU
Namun apa pun bicara kita....
Merekalah...merekalah.... sahaja......
Sehinggakan kita masih dapat bertapak dan berpijak di bumi ini
Yang telah di kurniakan tuhan YA RABBI
Tuhan tujuh petala langit, Tuhan tujuh petala bumi
kepada bangsa kita, anak-anak Melayu, Bani JAWI.
Ini sajalah sebidang tanah yang tinggal.....
Yang harus kita pertahankan kekal!!!
Tanah ini yang kita pijak milik kita
Jangan sesekali kita lupa
Ini tanah bergelar Tanah Melayu
Hak miliknya ALLah yang tentu
Tapi... Mana mereka-mereka sekarang ini?
Sedang kala anak Melayu lemah dan mangli
Takut nanti bumi yang semakin tergadai
tak terbus oleh anak-cucu yang lalai
Maka terjual semenanjung tanah ini
merempat kita di bumi kita sendiri
dan sekiranya kita di halau pergi!!
Kemana hala kita...?
Tanah Besar Cina?
Negeri India? Korea? Jepun? atau
Tanah Arab?
Jangan kita mengharap.....
memohon akan simpati?
atas kelemahan untuk sedarkan diri!!!
Mana?
Mana pergi mereka-mereka itu?
Mana menghilang para hulubalang Melayu?
yang ku temui hanyalah bait-bait pantun yang semakin kelu......
Pantun tersusun dalam BUDAYA MELAYU
Pantun Gagah Berani
(Pantun gagah berani mengacu kepada laki-laki yang taat kepada hukum, kesatria, tidak malu mengakui jika dirinya berbuat kesalahan dan tidak mundur ketika bertemu musuh. Dari berbagai keberanian inilah kemudian laki-laki menjadi disegani dan patut menjadi pelindung terhadap keluarga dan kelompok dalam wilayah yang ditempatinya).
Jantan tempat orang berteduh
Jantan berani menentang musuh
Kepada hukum ianya patuh
Didalam gelap, menjadi suluh
Iman teguh sikap pun patut
Ilmunya banyak rajin menuntut
Menghadapi lawan berpantang surut
Menempuh bahaya tak pernah takut
Membesarkan anak berpenat lelah
Mau berkering tahan berbasah
Hati berani sikap pun gagah
Kasihnya panjang, sayang tak sudah
Gagah berani menentang musuh
Rendah hati pantang mengeluh
Hidup rukun pantang bergaduh
Bekerja tidak mengira peluh
Hidup menjunjung tuah dan marwah
Baik di tepi, mulia ditengah
Gagah berani jadi pusaka
Dikenang orang sepanjang masa
Taat setia memegang adat
Iman teguh, beramal kuat
Nama terpuji, beramal kuat
Sampai mati orang mengingat
Bekerja rajin berat dan ringan
Berani tidak memilih lawan
Berkata keras, tegas tindakan
Dihormati kawan, disegani lawan
Rupa gagah hati berani
Hati pukal percaya diri
Kokoh berdiri di kaki sendiri
Menghadapi musuh berpantang lari
Kuat menolong ikhlas memberi
Amalan banyak bertanam budi
Gagah menjadi payung negeri
Namanya harum serta abadi
Membela yag benar berpantang lesi
Hidup ternama, mati terpuji
Dikenang orang sampailah mati
Tuahnya nampak payung negeri
Budi baik, perangai pun elok
Fikiran panjang, akal tak suntuk
Melawan musuh pantanglah tunduk
Tegap berdiri, sempurna duduk
Lahir dan batin ianya handal
Gagah berani tahan dipenggal
Berani berkorban, taat beramal
Hidup dan mati namanya kekal
Semangat rendah hati pengecut
Bersua lawan nyawa kebuntut
Kerja menyalah, laku tak patut
Hasutan iblis yang ia ikut
pantun ini dipetik dari melayuonline.com
oleh-say
Monday, June 23, 2008
MENCARI PONPAKYA
Pagi itu cukup hening, seperti pagi yang biasanya datang menjenguk ke kampung jeniang, mampir lembut membawa kabus bersama bayu sejuk menutupi pandangan keindahan bumi tempat anak-anak desa berteduh.
Pak Ya seperti biasa juga sudah pun bangun subuh-subuh lagi, merenung keluar jendela usang dari kediaman rumah papan yang terletak di tepi bukit menghala pandangan ke sebatang jalan raya sebagai penghubung dari pekan gurun ke pekan jeniang. Rumah mertuanya ini agak jauh dari rumah jiran-jiran yang lain, rumah ini agak jauh juga dari sumber air. Mahu tidak mahu, penghuni rumah ini harus juga menyerbangi jalan raya itu untuk ke anak sungai bukit yang sudah tentunya sejuk dan deras airnya.
Itu lah yang membuat Pak Ya kerap awal bangun untuk menemani isteri tersayang dalam melaksanakan tugasnya setiap pagi, turun ke sungai untuk membasuh, mandi dan sekaligus mengambil air untuk bekalan seisi rumah setiap hari. Bukan si Pariah, isteri Pak Ya tak mampu ke sungai berulang alik untuk tidak terlalu awal membelah kabus, melintasi jalan raya, menyeliyap melalui semak-semak, tetapi suaminya sendiri yang tidak merelakan begitu. Jalan raya itu bukan lah seperti jalan di SS 2 Petaling Jaya, sibuk dengan kenderaan yang berlumba-lumba mengejar waktu ke kerja mahu pun jam masih tidur menanti jaga ketika subuh.
Jalan raya di kampung Pak Ya ini sangat jarang mendengar motokar menumpang jalan, kalau ada pun sesekali bas akan lalu antara kedua pekan itu. Itu pun hanya dua kali sehari bagi kemudahan anak desa hendak pekan, Itu pun kalau ada.
Pada tahun sebegini awal kira-kira tahun 1964, anak desa di sekitar bumi Kedah ini belum lagi kenal akan kemodenan apatah lagi memiliki jentera mobil untuk tunggangan ke mana-mana. Yang ada, yang agak berada, pun hanya memiliki sebuah gerek untuk ke tempat kerja. Itu pun sama bagi Pak Ya sebagai seorang guru di sebuah sekolah kampung, mengajar anak-anak bangsa untuk mengenal akan bangsanya juga.
Bukan apa-apa, Pak Ya melepaskan pandangan ke luar jendela setiap pagi hanya sekadar menikmati alam buana sehinggalah kabus terasa agak malu lalu membiar cerah berganti waktu. Ketika itulah Pak Ya akan mengajak kasih untuk bersiap dan turun ke sungai. Pak Ya laku ini setiap pagi, menemani isteri agar nanti pabila dia keluar ke sekolah hatinya terasa nyaman kerana isteri dan anak-anak sudah selesa di rumah menanti kepulangan Pak Ya di waktu mentari tegak di kepala. Mereka akan makan bersama, bersama kasih bertemu sayang sekeluarga.
Hari ini memang sama seperti hari-hari lainnya. Tetapi acara ke sungai agak kelainan kerana anak jantan Pak Ya sejak awal tadi sudah celik matanya dan dalam diam memerhati gelagat ayahanda serta bonda bergurau senda sambil menanti waktu untuk turun ke sungai. ‘Pon’ nama timangan, anak ketiga, anak lelaki yang pertama, anak yang bongsu, baru berusia 2 tahun sudah pun melontar senyuman pagi tangkala si ibu menatap wajahnya dalam memastikan samada semua anak-anak mereka masih nyenyak tidur.
Si ibu pura-pura tidak perasan senyuman si kecil ini kerana mahu dia terus tidur lena pagi itu agar urusan bersama suami ke sungai dapat disegerakan, supaya suami dapat segera juga ke sekolah.
Pon terasa tidak mendapat layan dari ibu lalu di pejam mata agar pilu tidak menguasi kalbu. Terbayanglah dia akan ayahanda dan bonda meniti jalan ke sungai meninggalkan mereka tiga beradik ditemani nenek dan datuk. Terbayang akan dia juga bertapa seronoknya bermain air sungai sambil melihat bonda membasuh. Maka lantas bangunlah si Pon sebelum sempat ayahanda dan bonda turut dari rumah memijak tangga yang agak reput. ‘Cek nak ikut…cek nak ikut’, terbit suara Pon dalam keresahan takut ditinggalkan…..
Akan bersambung…..
oleh-say
Thursday, June 5, 2008
Mencari Panglima Ismail

Tersebutlah kisah bermula beratus tahun dahulu
Dialunkan cerita dalam irama yang penuh rindu
Menyebut kisah orang-orang yang terbilang
Agar tersemat di jiwa moga kasih tak hilang
Bermula kasih menyebut nama seorang sultan
Pemerintahannya adil di negeri Kedah Darul Aman
Putera pada Sultan Ataullah Muhammad Shah
Memakai gelaran Sultan Abdullah Al-Mu’adzam Shah
Raja Abdullah putera dari bondanya Tunku Maheran
Pada tahun 1110 hijrah ditabalkan menjadi sultan
Pada asalnya anak raja ini yang gemar mengembara
Merata arah mencari ilmu ketuhanan dalam beragama
Enam tahun berkelana di serata bumi nusantara
Menjejak kaki hingga ke Sumatera, Jawa dan India
Dalam perjalanan baginda bertemu ulama terbilang
Terus berguru dengan Syeikh Abdul Jalil di Palembang
Anak jati Kedah akhirnya kembali kelubuk juga
Mengambil tanggungjawab mentadbir rakyat jelata
Dalam riwayat hidup Wan Nong dijadikan isteri
Dianugerahkan dua orang putera dan seorang puteri
Tunku Muhammad Jiwa, Ahmad Tajuddin dan Aishah
Yang bakal menjadi sultan pemerintah di negeri Kedah
Begitulah kisah tentang seorang sultan yang berilmu
Yang turut mengamanahkan puteranya agar begitu
………….
Kisah kedua menyebut nama Tunku Muhammad Jiwa
Yang mengikut jejak ayahanda turut pergi berkelana
Berhasrat mencari guru yang sama di Palembang
Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani yang tersayang
Setelah bertemunya guru itu yang dicari-cari
Bermohonlah putera raja untuk mengabdi diri
Hasrat diperkenan guru untuk dijadikan khadam
Guru dari Yaman bebangsa Arab penyebar Islam
Tengku Muhammad Jiwa berguru dengan penuh rahsia
Bahawa dirinya sebenar membawa gelran putera raja
Ikut saja putera ke mana perginya Sheikh Abdul Jalil
Menyebarkan syariat Islam agama yang penuh adil
Bergerak berdua insan ke serata pelusuk tempat
Agar agama Islam tersebar luas dijadikan hasrat
Tibalah mereka berdakwah di kota dan desa diceruk India
Sehingga bertemu seorang pemuda Hafisab gelarannya
Pemuda India menjadi sahabat dan menjadi murid setia
Seraya teruslah mengembara daripada dua sekarang bertiga
Setelah sekian lama anak putera raja berguru di rantauan
Terkadang terasa rindu mesra dan cinta tanah kelahiran
Berlandaskan pula sebuah hadis dijadikan peganggan
“Mencintai tanahair adalah sebahagian daripada iman”
Khabarlah Tunku Muhammad Jiwa pada guru dikasihi
Mengenai sebuah negeri yang indah di Tanah Jawi
Dalam samar-samar berceritalah kemakmuran Kedah
Elok dijadikan arah seterusnya untuk berdakwah
Keindahan khabar menarik minat yang mulia guru
Bersiap-siaplah mereka ke Kedah hala mereka tuju
Menaiki kapal berbangsa Maskat mereka bertiga
Kebetulan kapal singgah di India nak ke Tenggara
Dalam pelayaran mereka singgah di Murgi, Burma
Disini kisah terhenti seketika untuk ke Kedah semula
…………….
Kisah ketiga kisah menyayat hati seluruh rakyat
Mendengar berita Sultan ‘Abdullah telah pun mangkat
Malang sekali berita kesedihan tak dapat disampaikan
Kepada Tunku Muhammad Jiwa yang ada dirantauan
Kepergian ayahanda Sultan harus digantikan segera
Ditabalkan saudara sekandung mengambil alih tahta
Maka Tunku Ahmad Tajuddin di gelar Sultan Kedah
Setelah mangkat ayahanda pada tahun 1118 hijrah
Namun belum sempat rakyat Kedah riang gembira
Seluruh negeri kembali muram yang tidak terhingga
Sultan yang baru tiga tahun mengantikan ayahnya
Mangkat juga di atas kehendak Tuhan Yang Maha Esa
Seluruh rakyat Kedah menjadi semakin mengelabah
Siapakah pula yang akan memerintah negeri Kedah
Kerana Tunku Ahmad Tajuddin kembali tanpa pengganti
Seumur hidup baginda tidak punya putera mahu pun puteri
Yang sedih, muram bertambah tambahlah durja
Kerana kini kerajaan Kedah sudah tidak beraja
Kalau adapun yang layak mengambil alih tahta
Itulah Tunku Muhammad Jiwa yang entah di mana
Segala pembesar negeri kerap duduk berbincang
Macam mana dengan keadaan negeri ini sekarang?
Para pembesar Kedah akhirnya membuat maufakat
Bagai kata pujangga “ sepakat membawa berkat”
Keputusan dibuat sekata takkan berenjak lagi
‘Bahawa Tunku Muhammad Jiwa harus kita cari’
Walaupun enam tahun bakal Sultan menghilang
Usaha harus dilaksana untuk dijemput pulang
Biarpun kesetiap ceruk dan pelusuk dunia yang ada
Mereka harus mencari Sultan mereka sampai jumpa
Mereka tidak mahu semua keturunan raja kedah hilang
Maka perintah dilaksanakan oleh dua hulubalang
Dato’ Kerma Jaya mencari ke arah jurusan Sumatera
Dan Dato’ Indera Mambang naik ke Burma dan India
Masing-masing pergilah mereka dengan harapan
Agar negeri Kedah kembali mempunyai sultan
Untuk sementara Raja Bendahara yang diamanahkan
Sebagai pemangku Sultan Kedah dia diberi jawatan
Disinilah cerita yang awal akan disambung semula
Kisah yang tadi terhenti di pelabuhan Murgi, Burma
……………
Kisah keempat menyebut kisah Dato’Indera Mambang
Berusaha mencari bakal Sultan yang telah menghilang
Setelah puas Dato’Indera Mambang mencari merata
Berjalan belayar dan akhirnya tiba di Murgi,Burma
Ditakdirkan Illahi telah sampai ke pelabuhan yang sama
Di mana rombongan Tunku Muhammad Jiwa berada
Namun Dato’Indera tidak mengenal akan putera raja
Ada mungkin rupa dan parasnya sudah berubah semua
Maklumlah telah bertahun mengembara bersama guru
Barangkali tidak lagi berpakaian asal budaya Melayu
Tetapi bagi Tunku Muhammad Jiwa tidak akan lupa
Pada wajah-wajah pembesar dari negeri ayahandanya
Bertegur sapalah Tunku pada Dato’Indera Mambang
Dalam suara kelu bertanya apa gerangan Dato’datang
Dalam gembira Dato’Indera berceritakan khabar duka
Akan kemangkatan ayahanda dan saudara Tunku juga
Menangislah Tunku Muhammad Jiwa penuh pilu
Sehinggakan Syeikh Abdul Jalil bertanya apa berlaku
Segala kemusykilan guru, mula putera raja menjawab
Satu persatu diceritakan dalam kemahiran bahasa Arab
Barulah tahu Syeikh Abdul Jalil bahawa sekarang ini
Yang muridnya adalah bakal Sultan Kedah sendiri
Barulah tahu akan Dato’ Indera utusan dari Kedah
Bahawa bakal Sultan fasih berbahasa orang di Mekah
Barulah akan tahu semua rakyat negeri Kedah nanti
Bakal Sultan pulang bawa pentadbiran Islam sekali
Barulah akan tahu kita cerita dan kisah selanjutnya
Setelah mereka semua berangkat ke Kedah segera
……………
Kisah kelima kisah pemerintahan Kedah Darul Aman
Tunku Muhammad Jiwa telah ditabal sebagai Sultan
Pada tahun 1122 Hijrah mula memerintah dengan ikhlas
Melaksanakan tugas Sultan Kedah yang ke sembilan belas
Maka bermusyawarahlah Sultan dengan para pembesar
Ingin memberi pangkat dan tugas agar Islam lebih mekar
Dilantiknya Hafisap rakan seguru menjadi Qadhi
Dan gurunya Syeikh Abdul Jalil pula menjadi Mufti
Bermula dari sinilah Kedah semakin berubah cara
Dalam mentadbir negeri ajaran Islam diambil kira
Dengan gelaran Sultan Muhammad Jiwa Zainal Azilin
Dalam pemerintah banyaklah perubahan yang penting
Sukatan timbang berubah dan ukuran keluasan juga
Maka diukur pada penambang,tali,jemba dan hasta
Matawang dikira duit, pitis, tera, rial, jempal diilham
Akan kupang dan wang perak mula dinamakan ‘derham’
Jajahan takluk baginda sudah pun mula meluas belaka
Termasuk Ranong daerah Siam sehingga Murgi, Burma
Pada pemerintahan bangindalah Bandar Kota Setar terbina
Balai Besar Negeri didirikan mengikut kiblat akan arahnya
Pada zaman yang sama kisah Mahsuri di Pulau Langkawi
Cerita sumpah tujuh keturunan dengan Aishah di akhiri
Zaman inilah satu zaman penuh dengan kegemilangan
Kisah Sultan menjadikan guru dan Islam sebagai panduan
Dalam cerita Paduka Bonda Cik Puan menjadi pilihan
Sebagai isteri Baginda Sultan sehingga ke akhir zaman
Hasil pengkongsian hidup dan kasih yang kekal abadi
Baginda dianugerahkan tiga putera dan seorang puteri
Dan Seraya mengenang akan jasa pada guru baginda sendiri
Wan Zainab dijodohkan buat Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani
Pada mereka dua orang putera telah dikurniakan oleh Allah
Wan Abdul Qadir dan seorang lagi bernama Wan Abdullah
Wan Abdullah didarjatkan gelaran Seri Maharaja Putera Dewa
Begitulah kisah keturunan guru yang negeri Kedah adanya
Disinilah kisah kasih berganjak pula ke tanah seberang
Mengambil kisah seorang tokoh dalam daerah Palembang
………………….
Kisah keenam meneruskan kisah Syeikh Abdul Jalil Mufti
Yang berulang alik antara Palembang dan Kedah sesekali
Pada suatu ketika Mufti baru saja berkahwin dengan Wan zainab
Telah datang seorang murid dari Palembang menghadap
Memohon jasa baik guru Syeikh Abdul Jalil Al-Mahdani
Pulang ke Palembang merawat murid-murid yang merindui
Di Palembang Raden Siran pula bersusah payah berusaha
Mencari jodoh untuk dikahwinkan untuk guru mereka
Maka berkahwinlah pula akan guru dengan Raden Ranti
Lalu dikurniakan seorang anak yang menjadi tokoh disegani
Syeikh Abdus Shamad Al Falembangi diberi nama
Terkenal sebagai ulama shufi diseluruh Asia tenggara
Bergitulah kisah akan anak guru mufti di Palembang
Yang akan selepas ini kita bercerita dengan panjang
Bergitulah ceritanya Syeikh Abdul Jalil Kedah
Yang akhirnya dimakamkan di Jitra pada 1196 hijrah
…………
Kisah ketujuh mengenai Syeikh Abdus Shamad seterusnya
Kisah berguru dalam pengembaraan sahabat-sahabat setia
Tersebutlah beberapa nama sahabat seperjuangan mereka
Dari Banjar, Pelembang, Bugis, Fatani dan lainnya juga
Termasuklah Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari
Syeikh Daud yang berasal dari Tanah Melayu Fatani
Dilanjutkan cerita maka pergilah mereka mencari ilmu
(lepas itu aku belum sempat bercerita……..)
Bersambung....
Karya ini mungkin bisa satu hari aku sambung dengan izin dan kehendakNya jua.... Buat seketika, aku ingin ucapkan jutaan kasih pada Ayahanda Guru ku Tn Hj Ishak Itam sebagai sumber pendorong ilham untuk aku berkarya dan membuat penyelidikkan sehingga ramai tokoh dan Ulama terbilang ku temui dalam lipatan sejarah bangsa kita, Bangsa Jawi..
Seterusnya pada mereka-mereka yang turut membantu mencari arah ku, di mana Panglima Ismail.
Khususnya;
1. Allahyarham Hj. Wan Mohd. Shaghir Abdullah
2. Hj Muhammad b Abdullah (anak murid Pak Hj Zain)
3. Dato' Ismail Saleh
serta tidak pernah ku lupa pada Ayahanda tercinta Almarhum Yahaya Husin @ Chin atau nama samarannya Jihaty Abadi, yang kerap membakar jiwa aku untuk berkarya.
dan akhir kata kasih tak teralih buat Bonda, Almarhumah Pariah Taib yang selalu impikan puteranya suatu hari nanti akan menjadi seperti suaminya yang tersayang.
Hidup berkarya untuk Bangsa yang tercinta.
oleh:say
Sunday, June 1, 2008
Mencari Hati Yang Sejiwa
Memang sukar sekiranya mahligai yang dibina hanya dari gumpalan-gumpalan pasir yang bakal roboh apabila di balun ombak yang kerap mengusik pantai.... Hati pasti akan terluka melihat kehancuran itu dan kenangan boleh lebih menikam sekiranya kita memaksa diri mengenang akan perilaku itu.... Jangan sesekali menyiksa diri, bertahan pada yang rapuh, ia bisa menyiksa dan jalan kita akan tersangkut akibat meramas jiwa mengejar yang pasti terlepas.
Begitulah kisah dalam diri seorang sahabat yang terpaksa membawa diri bersama anak-anaknya kerana mahligai yang dibina roboh dan tak mampu berkerat rotan mempertahankan maruah sebagai seorang lelaki.... namun apapun, kata orang tua-tua, bunga tidak lah sekuntum yang sentiasa kembang di taman indraloka... yang perlu hanyalah tabah diri dan sesekali menoleh dan memasangkan akan telinga.... Insyallah ketemu jua akhirnya.
Atas izin dan kehendak Nya.... yang kaseh itu bertemu dan mengikat janji di Masai.
Selamat Pengantin Baru wahai Sahabat.

Cabaran & Harapan
Buku ini merakamkan catatan pengembaraan siri Kembara Jejak Warisan Jawi (JWJ) ke luar negara yang memberi seribu cabaran dan harapan kep...

-
KUTEMUI SALSILAH GURU KU Sukar! Memang sukar mencari Panglima Ismail, ku telah selak helaian sejarah, ku rujuk pakar dan ahli sejarah di uta...
-
BERTEMU KISAH UNTUK DICERITAKAN CERITA 1 : Hari itu bumi bertuah Kedah sedang berpesta rakyat bumi jelapang padi penuh gembira dalam keramai...
-
Beginilah keadaannya... Bah mai dan pi, sejak dari dulu sampai la ni.. macam tu lah keadaan di tempat tumpah darah ku ni. Bila saja aku deng...